BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, November 14, 2006

Pandangan Peribadi Mengenai Kempen Budi Bahasa Dan Nilai-nilai Murni

Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni
Fasa II 2006

SUMBER:
www.heritage.gov.my


VISI: Budi Bahasa Intisari Jatidiri Bangsa Malaysia
MISI: Melahirkan Masyarakat Malaysia Yang Berbudi Bahasa
OBJEKTIF: Menanam, Menghayati dan Mengamalkan Nilai-nilai Murni
TEMA: Bagi tahun 2006, nilai murni yang dipilih sebagai tema ialah Kesopanan. Ia selaras dengan prinsip kelima Rukun Negara iaitu 'Kesopanan dan Kesusilaan' dan diterjemahkan ke dalam aktiviti-aktiviti kekeluargaan, pembelajaran, kemasyarakatan dan perkhidmatan.

Ulasan: Tema yang dipilih iaitu kesopanan adalah sangat tepat. Sejak akhir-akhir ini sering kita lihat masyarakat kita bertindak kurang sopan, kasar dan liar tidak kira dalam apa jua urusan sosial. Lebih menyedihkan lagi apabila golongan yang bertindak kurang sopan, kasar dan liar ini terdiri daripada golongan dewasa itu sendiri. Kejadian yang memalukan ini biasa dilihat dalam sektor pekerjaan yang melibatkan perkhidmatan awam.



Aktiviti-aktiviti Selari Dengan Tema

1. Mengenang Jasa Ibu Dan Bapa (Kekeluargaan)
Mengadakan aktiviti seperti makan sekeluarga, menghormati ibu dan bapa, meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa, pertandingan sajak, pertandingan bergambar dan minggu keluarga.

Ulasan: Aktiviti yang berkaitan dengan menghormati ibu bapa, hubungan dengan ibu bapa perlu dijelaskan lagi. Contohnya mencium dahi, pipi dan tangan ibu bapa. Memeluk ibu bapa. Saya tahu dan pernah lihat anak orang yang enggan atau malu untuk berbuat demikian. Patut kita semaikan dalam acara seperti ini.


2. Pelajar Berbudi Bahasa (Pembelajaran)
Mengadakan pertandingan pidato, bahasa, pantun, drama, sketsa, choral speaking, boria, dikir barat, kuiz, nasyid, Kembara Budi Bahasa, melukis, animasi, Anugerah Asrama Terbilang dan Kem Jatidiri.

Ulasan: Saya tak nampak elemen-elemen kesopanan terhadap guru dan masyarakat dalam aktiviti yang dinyatakan di atas. Bagaimana aktiviti pidato, melukis itu dapat membentuk kelakuan sopan pelajar terhadap guru? Mungkin secara pernyataan ayatnya tidak ada, tetapi objektif, matlamat dan hasilnya akan dapat dilihat apabila kita melibatkan diri dalam aktiviti ini. Setakat ini anak-anak murid saya mencium tangan dan mengucap salam apabila bertemu guru. Juga perlu ditegaskan di sini, cara mengemukakan soalan, tingkah laku dalam kelas, kawalan diri murid semasa guru mengajar, cara menjawab panggilan guru dan sebagainya.


3. Berbudi Bahasa (Kemasyarakatan)
Mengadakan aktiviti seperti Minggu Budi Bahasa, Kenali Jiran Anda dan Kempen Pemanduan Bersopan.

Ulasan: Aktiviti-aktiviti yang diwujudkan belum cukup memadai. Perlu ditegaskan dan dijelaskan dengan secara langsung di sini apakah itu Minggu Budi Bahasa. Bukan sekadar kenali jiran anda, malah kenali orang yang lebih tua daripada anda, kenali rakan-rakan anda juga patut dilakukan. Sikap mementingkan diri sendiri di kalangan pemandu masih boleh dikesan semasa musim perayaan baru-baru ini. Masih ramai pemandu yang menggunakan laluan paling kiri untuk cepat sampai ke destinasi dan hal ini menimbulkan kesesakan lalu lintas.


4. Senyum dan Terima Kasih (Perkhidmatan)
Mengadakan kempen 'Kenali Saya' bagi anggota penguatkuasaan dan perkhidmatan kaunter supaya mengamalkan budaya senyum, memperkenalkan diri dan mengucapkan terima kasih.

Ulasan: Kempen ini masih gagal sebahagian besarnya. Masih ada pemandu bas, pemandu teksi, pelayan kafe, tukang gunting rambut, penjual yang kasar, kerani yang panas baran, kasar dan biadab. Satu usaha yang serius perlu dilakukan. Jika budaya berbudi bahasa dapat diwujudkan di kalangan masyarakat Malaysia, maka itulah tarikan pelancongan yang paling utama. Juga dapat mengurangkan tekanan emosi semasa bekerja di kalangan rakyat Malaysia.


5. Cintai Alam Sekitar, Flora dan Founa
Mengadakan aktiviti seperti gotong-royong 'Sungaiku Bersih Alamku Permai',' Tandas Bersih', 'Kampung Indah Masyarakat Ceria', 'Anugerah Bandar Berbudi Bahasa', 'Anugerah Gerai/Pasaraya Terbaik' dan 'Anugerah Untuk Perusahaan Kecil'.

Ulasan: Masih tidak terlaksana dengan baik terutama di bandar-bandar. Hal ini menimbulkan kesan wabak denggi percuma untuk penduduk setempat. Prosedur-prosedur ringkas tetapi fleksibel harus diwujudkan supaya mudah difahami dan diikuti oleh penduduk setempat. Wang yang digunakan mengubati penyakit denggi dan usaha pembersihan tampak lebih tinggi berbanding usaha untuk melantik orang-orang tertentu bagi mengawasi tindak tanduk penduduk tempatan dari membuang sampah di merata-rata tempat.


Pandangan daripada laman web asal:

Kempen ini perlu diadakan kerana kedapatan di kalangan masyarakat masa kini nilai-nilai dan amalan hidup yang kasar, yang langgar bahasa, yang tidak mengendahkan tatasusila dan beradab. Cara memberi khidmat, cara melayani pelanggan atau orang ramai oleh kakitangan kaunter hadapan di jabatan-jabatan kerajaan seterusnya menimbulkan tidak puas hati di kalangan orang ramai.

Ada yang menjawab telefon dengan kasar dan acuh tak acuh (atau langsung tidak terjawab), surat-menyurat rakyat yang lambat dijawab, merosotnya amalan gotong-royong dan kecenderungan menolong orang lain dalam kesusahan, menghilangnya amalan hormat-menghormati identiti manusia dan pihak-pihak tertentu yang dahulunya dihormati, keterlaluan mengejar kemajuan kebendaan sehingga kita lupa akan betapa pentingnya tatasusila berhemah diamalkan semula secara menyeluruh. Tuntutan Rukunegara tentang ketatasusilaan yang baik harus diisi semula. Bangsa Malaysia yang dicita-cita harus terus berbekal amalan-amalan murni.


PETlKAN DARIPADA UCAPAN YAB PERDANA MENTERI
Sempena Majlis Pelancaran Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni Peringkat Kebangsaan

"Pembangunan modal manusia menjadi sangat penting kepada negara pada masa depan dan mereka ini mestilah berkualiti, kualiti bukan sahaja dari segi pendidikan, kepakaran.. .tetapi juga dari segi nilai moral yang tinggi, bertanggungjawab dan mengutamakan nilai-nilai murni dalam kehidupan"

"Negara akan menjadi agung jika warganya terdiri daripada insan-insan yang mengamalkan budaya murni"


Kesimpulan: Rancangan-rancangan yang dilakukan untuk menjayakan Kempen Budi Bahasa wajar dipuji, namun dari segi pelaksanaannya masih tidak berjaya sepenuhnya. Sehingga ke hari ini masih wujud sikap yang melanggari hasrat dan objektif yang ditanamkan oleh kerajaan melalui Kempen Budi Bahasa. Penekanan secara praktik harus dibuat di mana perlu ada satu program di mana semua peserta yang terdiri daripada warganegara Malaysia, tidak kira tua, muda, berpelajaran atau tidak, harus menyertainya dan mempraktikkan tingkah laku sopan dan berbudi bahasa di bawah pemerhatian dan pengawasan pihak berkuasa. Mungkin boleh dijalankan secara kelompok besar di serata Malaysia.

Tidak rugi jika wang dihabiskan untuk tindakan sedemikian sebab seorang manusia yang berbudi bahasa, bertanggungjawab dan suka berbakti itu jauh lebih bernilai daripada wang satu juta ringgit. Usaha kita seharusnya ke arah ini!

Klik kanan: Muat Turun Teks Ucapan Berkaitan Kempen Budi Bahasa (PDF)