Dalam Kegelapan Suram Tragis Berguguran Hujan
Kelihatan bangunan-bangunan runtuh di persekitaran. Seolah-olah ditimpa bencana. Langit gelap dengan awan hitam. Kelihatan lopak-lopak air. Namun tidak ada hujan yang turun. Aku berada dalam kelompok manusia yang satu orang pun tidak aku kenal. Namun mereka semua seolah-olah telah lama mengenaliku.
Ketika itu aku melihat ada satu jasad berupa manusia. Tubuhnya kecil sahaja seperti kanak-kanak. Berwarna hijau pucat bercampur biru dan kelabu pucat. Duduk terbaring dalam bingkisan daun hijau gergasi. Pohon-pohon menjalar meliliti tubuhnya. Rambutnya kelihatan seperti jurai-jurai tumbuhan menjalar. Ini sudah pasti bukannya manusia. Aku lalu menghampirinya dan menyentuhnya. Tiba-tiba jasad itu bercahaya dengan warna hijau kekuningan. Namun tetap tidak terbuka matanya. Masih dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Kau telah menyembuhkannya." Tiba-tiba di kalangan orang ramai itu terdengar seseorang bersuara.
Tiba-tiba di kalangan orang ramai itu berlaku perbincangan. Aku tidak kenal mereka ini tetapi aku rasa rapat dengan mereka. Mesra dengan mereka. Mereka seolah-olah mahu pergi ke suatu tempat. Ketika itulah datang pula unggas-unggas dan juga kelawar yang besar-besar berterbangan rawak di angkasa. Terbang rendah dan berhinggapan.
Kemudian datang kepadaku, seekor haiwan yang rupanya seakan-akan harimau dan seakan-akan singa. Lalu aku naik ke atas badannya dan menunggangnya. Juga datang pula seekor binatang seperti beruang rupanya. Lalu makhluk aneh yang bercahaya hijau kekuningan itu diletakkan di atas badan binatang yang seakan-akan beruang itu.
Selepas itu kedua-dua haiwan itu berlari laju ke suatu arah. Aku menunggang haiwan yang seakan-akan harimau itu. Manakala makhluk aneh itu masih tidak sedarkan diri berada di atas binatang yang berupa beruang itu. Aku terasa seolah-olah rapat dengan binatang-binatang ini. Namun aku tidak kenal siapa mereka? Lalu kami melalui kawasan-kawasan yang kelihatannya seperti sebuah dataran ladang, dengan tumbuhan-tumbuhan seakan-akan nenas atau kelapa sawit renek. Juga kelihatan beberapa tempat yang kelihatan lopak-lopak air.
Dan kami terus memecut laju, naik ke atas sebuah bukit yang makin tinggi dan makin tinggi. Sampai di puncak bukit itu, kedua-dua binatang itu berhenti. Makhluk aneh itu masih tidak sedarkan diri. Aku pula masih duduk di atas binatang yang berupa harimau itu. Kami memandang dari atas bukit itu. Tiba-tiba di suatu arah, kelihatan matahari sedang terbit.
Sementara itu di pinggir pantai, kelihatan beribu-ribu binatang seperti cacing dan ulat bulu naik ke pesisiran pantai. Suasana masih diselubungi kegelapan, seperti mendung hendak hujan. Dan, aku masih duduk di atas badan haiwan itu seolah-olah memahami sesuatu akan berlaku lagi.
Jangan ketawakan saya. Ini cuma mimpi. Entah kenapa tiba-tiba saya mendapat mimpi seaneh ini. Saya rasa mimpi ini patut diabadikan dalam blog ini.
|