E-Mel Pembaca: Ibu Desak Anak Kahwini Pilihan Ibu Jika Mahu Ibu Kembali Ke Pangkuan Ayah
Pilihan Hati Ibu Atau Pilihan Hati Sendiri?
Ibu Ugut Putuskan Hubungan dengan Ayah
Jika Anak Tidak Mahu Menerima Bakal Menantu Pilihan Ibu
Ibu Ugut Putuskan Hubungan dengan Ayah
Jika Anak Tidak Mahu Menerima Bakal Menantu Pilihan Ibu
Asalamualaikum,
Saya ada kisah yang mahu dikongsi bersama. Saya seorang wanita, yang menerima ujian daripadaNYA. Masalah keluarga, masalah cinta, ibu dan ayah akan berpisah. Saya yang menjaga adik-adik yang masih kecil ketika ini. Saya pikul tanggungjawab itu sekarang. Demi adik-adik, agar mereka dapat menjadi insan yang sempurna.
Saya menyayangi seorang lelaki. Kami berkawan hampir 3 tahun, tetapi ibu dan ayah tidak merestui pilihan saya. Ibu dan ayah ada pilihan lain buat saya.
Pilihan ibu dan ayah sememangnya dikenali, tetapi saya tidak dapat menerima dia. Entah mengapa hati saya, perasaan saya begitu sukar untuk menyayangi dia.
Ibu berjanji dengan saya, sekiranya saya terima pilihan ibu, dia akan kembali kepada ayah saya. Namun janji tinggal janji, ibu tidak menunaikan janjinya.
Saya bertunang dengan pilihan ibu dengan rela demi menyatukan ibu dan ayah. Saya korbankan perasaan saya biarpun saya terluka. Sehingga kini saya masih tidak dapat menyaayangi tunang saya. Bagaimana saya mahu teruskan perjuangan yang penuh kepuraan-puraan ini?
Kadang saya rasa bersalah tetapi apakan daya, saya tidak mampu. Teman lelaki yang saya tinggalkan itu masih memburu kasih saya. Dia meminta saya putuskan hubungan saya. Saya memang sayangkan dia, tetapi saya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Saya bimbang pelbagai dugaan yang akan saya dapat nanti.
Untuk pengetahuan semua, saya masih menjalinkan hubungan dengan teman lelaki saya. Ibu, ayah, nenek dan juga tunang saya pun mengetahui hal ini.
Bagi saya tunang saya adalah lelaki yang baik tetapi saya tidak mampu menyayangi dia. Sehingga kini, bersama dengannya, bersama dia terasa say bersama dengan kawan-kawan. Tidak lebih daripada itu. Saya bimbang andainya saya tidak mampu menjadi permaisuri terbaik buat dia.
Bantulah saya. Pimpinlah saya ke jalan yang benar. Saya perlukan teman-teman yang dapat membantu saya.
Yang benar,
Sutrakasih
Maklum balas Amiene Rev:
Waalaikumussalam.
Selepas membaca apa yang saudari Sutrakasih tulis di atas, saya dapati saudari Sutrakasih telah melakukan pengorbanan paling besar dalam hidup saudari. Demi ibu dan bapa saudari, dan demi adik-beradik saudari, saudari telah meninggalkan kebahagiaan hidup saudari.
Pada pandangan saya, jodoh adalah urusan Tuhan. Saya ada menulis mengenai cinta dan jodoh menerusi topik ini: Falsafah Kehidupan Amiene Rev (Klik Di Sini)
Maafkan saya. Dalam kes saudari, saya rasa saudari perlu berterus terang dengan tunang saudari. Tidak elok jika saudari terus menipu perasaan saudari dan perasaan tunang saudari. Sekiranya kekasih lama saudari itu benar-benar insan yang boleh memberi kebahagiaan hidup kepada saudari, maka kembalilah kepada dia seadanya.
Saya tidak tahu kenapa ibu saudari sanggup bertindak seolah-olah mengugut saudari supaya menerima pilihan hatinya. Apakah hubungan cinta dan kehidupan saudari adalah milik ibu bapa saudari?
Jodoh adalah urusan Tuhan. Andai kata jodoh ibu dengan bapa saudari setakat itu sahaja, maka setakat itu sahajalah ikatan itu akan wujud. Namun jika ditakdirkan jodoh antara ibu dengan ayah saudari kekal panjang, maka akan kekallah ia.
Dalam kes ini, saudari telah mengorbankan diri saudari, usia muda saudari semata-mata kerana masalah hubungan kekeluargaan saudari. Dari sudut pandangan saya, saya merasakan yang saudari adalah termasuk dalam golongan insan yang teraniaya.
Saya berharap agar saudari sentiasa mendoakan kebahagiaan ibu bapa saudari, ahli-ahli keluarga saudari dan diri saudari sendiri. Tidak ada gunanya hidup dalam kepura-puraan. Tuhan telah tetapkan jodoh bagi setiap insan. Sekiranya kehendak Tuhan, saudari berkahwin dengan si A, maka jadilah si A suami saudari. Sekiranya kehendak Tuhan supaya saudari berkahwin dengan si B, maka jadilah saudari isteri kepada si B.
Elakkan kepura-puraan. Saya cuma boleh mencadangkan kepada saudari supaya menerangkan perkara sebenarnya kepada tunang saudari, kerana ini melibatkan soal hati. Soal hati jika tidak diambil tindakan segera akan menjadi semakin lama semakin serius. Sekiranya benar saudari mencintai si dia, maka ambil tindakan yang seadilnya. Jangan menzalimi diri saudari.
Saya sendiri tidak pasti kenapa ibu saudari tidak suka dengan pilihan hati saudari. Sekiranya dia memiliki akhlak yang baik, dan dia saling cinta-mencintai dengan saudari, kenapa mesti saudari tinggalkan dia? Tidak wajar semata-mata ugutan cinta daripada seorang ibu, saudari yang menerima tempiasnya. Maaf kata, tindakan ibu saudari sungguh mementingkan diri sendiri. Saya cadangkan masalah ibu dan bapa saudari ini dibawa ke Pejabat Kadi. Zalim, apabila seorang ibu mengugut untuk terus memutuskan hubungan dengan suaminya semata-mata mahukan si anak menurut kata-katanya. Jangan biarkan ibu saudari tenggelam dengan kezalimannya. Berdoalah dan usahakan sesuatu untuk membuka pintu hatinya.
Ini cuma pandangan peribadi saya terhadap masalah saudari. Jika saudari benar-benar mencintai seseorang dan si dia benar-benar mencintai saudari, maka, berusahalah ke arah itu dengan cara yang baik. Jangan teruskan kepura-puraan. Kita berusaha sedaya upaya, tetapi kuasa yang menentukan di tangan Tuhan.
Sekali lagi, saya memohon maaf sekiranya pandangan saya ini tidak memuaskan hati saudari. Apa pun terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman saudari di sini.
Saya doakan agar saudari mendapat kebahagiaan dalam hidup.
Yang benar,
Amiene Rev
E-mel Pembaca: Ruangan Pos Masalah Anda
Sekiranya anda ada masalah untuk dikongsi dan mahukan pandangan daripada Amiene Rev, bolehlah menggunakan pautan di bawah untuk mengisi borang Pos Masalah Anda (Surat Pembaca). Anda diminta tidak menggunakan Bahasa SMS dan seangkatan dengannya. Setiap surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu.
|