BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Januari 29, 2009

Gangguan Seksual Oleh Wanita Misteri Menerusi Telefon Bimbit

Memang menggerunkan! Itulah yang dapat saya katakan sejak sehari yang lalu. Seorang wanita misteri didapati mula membuat panggilan misteri dan gangguan seksual terhadap saya. Pada mulanya saya ingatkan wanita ini normal, tetapi nampaknya selepas itu dia semakin berani.

Wanita ini mengatakan yang dia tertarik apabila mendengar suara saya. Dia semakin berminat dengan saya dan mahu mengajak saya berkahwin! Pada mulanya saya ingatkan dia ini sekadar bergurau, tetapi nampaknya selepas itu dia semakin serius. Dia merayu-rayu supaya dapat menjalinkan hubungan intim dengan saya. Wanita ini semakin menakutkan saya.

Tanpa sebarang rasa segan silu, dia terus memperkenalkan dirinya, alamat rumahnya dan sebagainya. Katanya, dia mahu menemukan saya dengan ibu bapanya. Dia juga mahu mengeratkan hubungan keluarganya dengan keluarga saya. Oleh kerana berasa sangat terganggu saya mencari jalan untuk menyekat panggilan telefon daripadanya. Saya harap kaedah tersebut berjaya.

Secara psikologi, saya dapati wanita ini sebenarnya menghadapi masalah mental. Daripada gaya percakapannya, saya boleh menggambarkan penderitaannya terhadap hubungan cinta dan seksual. Seperti manusia biasa, dia juga tentu mempunyai perasaan untuk menjalinkan hubungan dan memiliki pasangan hidup. Terdesak dengan kehendak dan naluri semula jadi, dia mula mencari teman atau orang yang dirasakan boleh memberikan apa yang dia ingini. Saya menjadi mangsa.

Apa yang merisaukan saya ialah apabila dia semakin menonjolkan sifat dan kehendaknya terhadap perkahwinan. Dia mula memanggil saya sebagai 'Sayang'. Sebelum ini saya boleh terima kenapa saya memiliki ramai saudara angkat perempuan. Adik angkat, kakak angkat, ibu angkat dan sebagainya. Namun kali ini saya rasa agak keterlaluan apabila seorang yang saya tidak kenal menggunakan panggilan nama intim terhadap saya. Ini pasti boleh menimbulkan masalah pada kemudian hari. Justeru, sebelum masalah itu timbul, lebih baik saya tamatkannya seberapa segera.

Nampaknya selepas ini saya sudah boleh melakukan kerja-kerja harian saya seperti biasa. Kisah wanita ini pasti akan tenggelam dalam kesibukan kerja-kerja harian. Saya ada masa depan untuk diteruskan dan tanggungjawab untuk diteruskan. Saya juga berharap agar wanita malang itu juga akan mendapat kebahagiaan hidup pada kemudian hari.