E-mel Pembaca: Ingin Cari Maksud Sahabat Dunia dan Akhirat
Ingin Cari Makna Kawan Dan Sahabat
Sifat-sifat Sahabat Dunia dan Akhirat
Sifat-sifat Sahabat Dunia dan Akhirat
Salam untuk Cikgu Amien. Saya suka baca buletin yang Cikgu tulis. Penuh dengan makna tersirat. Cuma saya teringin nak cikgu jelaskan maksud sahabat dunia dan akhirat. Dan macam mana kita nak tahu yang dia ni sahabat kita?
Salam hormat.
Harry,
Kota Tinggi.
Maklum balas Amiene Rev:
Salam untuk Harry juga. Terima kasih kerana menyukai tulisan Cikgu. Sahabat kita adalah seseorang yang memiliki rasa tanggungjawab terhadap diri kita. Walau bagaimana pun, sahabat dunia dan akhirat membawa maksud yang lebih spesifik.
Pada pandangan Cikgu, untuk menilai seseorang itu layak untuk dikategorikan sebagai sahabat dunia dan akhirat maka kita perlu menilai pada enam sifat utama yang melibatkan hal-hal akhirat juga. Dalam konteks ini, saya menilai akhirat mengikut persepsi seorang muslim.
Kejayaan dan kebahagiaan umat Islam terletak pada agama yang sempurna. Sebagai umat Islam, kita wajib percaya pada agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Seseorang sahabat dunia dan akhirat perlulah memiliki sifat-sifat di bawah:
1. Yakin (beriman) kepada Allah dan Rasul
Sahabat dunia dan akhirat kita tentulah seorang Muslim. Ini kerana seorang Muslim adalah sentiasa bersaudara dengan setiap Muslim yang lain. Persaudaraan adalah asas persahabatan. Seorang sahabat dunia dan akhirat akan mengeluarkan kebesaran atau ketaksuban terhadap satu-satu makhiuk dari hatinya, dan sentiasa memasukkan keyakinan hanya kepada Allah SWT.
Sahabat dunia dan akhirat yakin bahawa satu-satunya cara untuk mendapatkan kejayaan di dunia dan akhirat adalah dengan mengikuti cara hidup Rasullullah SAW, tidak kira cara bercakap, cara bergaul, cara berjalan, cara berfikir dan sebagainya. Dia menurut sunnah Rasulullah dan sentiasa menggalakkan kita untuk mengikut sunnah Rasulullah.
2. Solat yang khusyuk dan merendahkan diri kepada Allah
Salah satu ciri sahabat dunia dan akhirat ialah sentiasa merendah diri kerana Allah. Sahabat dunia dan akhirat akan sentiasa taat kepada Allah, dan sentiasa mendoakan kejayaan, kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat buat diri kita.
3. Beramal dengan ilmu
Seorang sahabat dunia dan akhirat sentiasa mencari ilmu kerana Allah. Apabila dia memiliki ilmu, maka dia akan menyampaikan kepada kita agar kita tidak berada dalam kesesatan. Apabila dia melihat kita melakukan kesilapan atau kesalahan, maka dia akan menegur dan membetulkan kita dengan ilmunya, kerana Allah.
4. Memuliakan sesama muslim
Seorang sahabat akan menunaikan hak-hak saudara muslim tanpa menuntut hak-hak kita daripada mereka. Seorang sahabat tidak akan mengaibkan kita, dia akan sentiasa menyembunyi atau menutup keaiban kita. Seorang sahabat akan hanya menceritakan perkara-perkara yang baik mengenai kita. Seorang sahabat juga akan menjaga kebajikan kita. Apabila kita dalam kesusahan dan memerlukan bantuannya, maka dia akan berusaha sedaya upayanya untuk mencari penyelesaian bagi kesusahan kita. Seorang sahabat juga apabila memiliki sesuatu kelebihan, maka dia akan menggunakan kelebihannya untuk membantu kita.
5. Membetulkan niat
Seorang sahabat akan selalu memberi faedah atau kebaikan kepada kita tanpa ada sebarang niat yang menyeleweng selain daripada mencari keredhaan Allah SWT. Apabila dia melakukan sesuatu atau mengucapkan sesuatu kepada kita, segala-galanya adalah kerana Allah. Oleh sebab segala perbuatannya adalah kerana Allah, maka sudah semestinya bicaranya adalah bernas dan menyejukkan hati, tidak kira sama ada dia menegur, menceritakan sesuatu, berjenaka dan sebagainya. Serang sahabat juga akan sentiasa membetulkan niatnya dalam persahabatan. Niat bagi persahabatan yang dijalinkan adalah kerana Allah dan bukan kerana ada kelebihan, keistimewaan, keunikan atau kepentingan tertentu.
6. Dakwah dan Tabligh
Seorang sahabat dunia dan akhirat akan sentiasa menyampaikan ajaran Islam sama ada mengenai hadis, Al Quran dan ajaran Islam, kerana Allah. Seorang sahabat bukan sahaja menjaga kepentingan kita untuk dunia dan akhirat, malah seluruh masyarakat manusia di muka bumi ini.
Begitulah pandangan Cikgu mengenai sahabat dunia dan akhirat. Sesungguhnya terdapat perbezaan antara sahabat (definisi global) dengan sahabat dunia dan akhirat (definisi khusus). Semoga jawapan Cikgu ini dapat memberi idea kepada saudara Harry.
Untuk rujukan yang lain, Cikgu mencadangkan topik-topik di bawah kepada Harry. Semoga topik-topik di bawah dapat membantu. Lillahi Taala.
- Perbezaan Maksud Antara Sahabat, Kawan, Rakan dan Kenalan
- Koleksi Hadis dan Ayat Quran Berkaitan Dengan Kawan, Persahabatan dan Persaudaraan Menurut Islam
E-mel Pembaca: Ruangan Pos Masalah Anda
Sekiranya anda ada masalah untuk dikongsi dan mahukan pandangan daripada Amiene Rev, bolehlah menggunakan pautan di bawah untuk mengisi borang Pos Masalah Anda (Surat Pembaca). Anda diminta tidak menggunakan Bahasa SMS dan seangkatan dengannya. Setiap surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu.
|