Parodi Cerita Seram - Siri 1
Hantu Siling Berambut Panjang
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com
Cerita ini ditulis khusus untuk para peminat blog Amiene Rev. Setiap minggu akan terdapat satu cerita baru. Jadilah pembaca pertama yang membaca cerita ini dan menangilah hadiah berupa habuk dan debu yang boleh dikutip di tempat sendiri. Sokongan anda sangat dihargai. Jangan lupa muat turun Majalah Digital Amiene Rev yang boleh dimuat turun secara percuma menerusi blog ini.
Budak itu bercerita kepadaku. Ketika itu dia berada di tingkatan satu. Waktu itu, sudah tengah malam, sekitar pukul 12 ketika kisah ini berlaku. Budak itu cuba tidur, tetapi dia tidak dapat tidur. Dia cuba berdengkur, tetapi tidak mengantuk juga. Dia cuba minum susu panas, tetapi tidak dapat tidur juga. Oh, ya, susu panas itu dibuatnya sendiri menggunakan air panas yang tersimpan di dalam termos. Semua asrama ada cerek elektrik dan oleh itu jangan kata dia mencuri masuk ke kantin atau dewan makan sekolah untuk memasak air.
Dia kata, malam tu dia dengar ada bunyi benda berjalan-jalan dekat atas siling dalam bilik asrama. Dalam asrama tu ada enam orang sahaja. Semua tengah tidur lena, tetapi budak ini, iaitu budak itu tidak dapat tidur lena. Dia ketakutan. Dia pun menyanyi. Kemudian dia ketawa secara solo.
"Ha! Ha! Ha!" Dia berasa dirinya agak berani sedikit selepas ketawa dengan agak kuat.
"Hi! Hi! Hi!" Satu suara kedengaran.
Budak itu berasa takut. Oh, ya. Awak rasa budak ni lelakikah atau perempuankah? Dia budak perempuanlah.
Budak perempuan itu berasa takut. Dia pun ketawa semakin kuat.
"Ha! Ha! Ha! Keluarlah engkau jembalang syaitan! Penunggu dari gunung dan banjaran! Dari Titiwangsa hingga ke Gunung Fuji, jangan harap aku akan takut kepadamu!" Jerit budak perempuan itu dengan ganasnya. Dia takut tetapi dia tetap tidak mahu mengalah.
"Hi! Hi! Hi!" Suara itu ketawa lagi. Kali ini, lebih ngeri.
Budak perempuan itu semakin takut. Dia pun memberanikan dirinya sekali lagi lalu berkata, "Hi! Hi! Hi! Banyak cantik? Kalau masuk Akademi Fantasia awak ingat boleh menang. Suara garau, 'pitching' awak lari. Ton suara awak tak sampai. Awak tak menghayati makna ketawa. Awak patut tersingkir malam ini!"
Adapun, bagaimana kita tahu yang hantu juga memiliki hasrat untuk masuk ke Akademi Fantasia. Tiba-tiba suara itu semakin kuat. Kedengaran bunyi ketuk-mengetuk di atas siling asrama. Budak perempuan itu memandang ke atas. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat ada wajah hantu berambut panjang di atas siling.
"Haiya, siapa yang solek muka awak? Hantu, awak patut pakai pencuci muka. Muka awak banyak menggerutu. Buruk." Budak perempuan itu begitu berani mengutuk wajah hantu yang berada di dinding.
"Kurang ajar. Awak tahu tak, seburuk-buruk wajah aku, aku tetap makhluk ciptaan Tuhan. Tak baik awak menghina rupa paras aku. Malaslah aku nak main dengan awak," lalu hantu itu pun berlalu pergi dengan wajah yang kecewa.
Budak perempuan itu berasa sungguh gembira kerana berjaya menghalau hantu tanpa menggunakan khidmat bomoh atau pawang. Dia juga tidak perlu memakai kalungan bawang. Hantu sudah tidak ada.
Namun, malam selepas itu, dia diuji lagi. Ketika budak perempuan itu hendak melelapkan matanya, ketika itulah dia mendengar bunyi ketawa yang sungguh kuat dari bumbung. Budak perempuan itu terbeliak matanya apabila melihat bukan satu, tetapi berbelas-belas ekor kepala hantu berambut panjang muncul di siling asrama. Setiap wajah yang menggerutu itu memancarkan sepasang mata berwarna merah saga bercahaya dengan gigi-gigi tajam yang berwarna kuning dan berkarat, juga lidah panjang yang sengaja dijelir-jelirkan ke kiri, dan ke kanan.
Budak perempuan itu sangat takut lalu menjerit, "Hantu Tak Gosok Gigi!!!!!!!!!"
"Eeeeeeeee!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!"
Raungan itu bergema ke seluruh pelosok asrama dan menyebabkan unggas-unggas malam berterbangan lari sambil melatah dan memaki hamun tuan punya jeritan kerana menyebabkan mereka semua terkejut beruk.
SEKIAN.
SUMBER ASAL: http://dukeamienerev.blogspot.com
Sekiranya awak berminat untuk mengirimkan cerita ini kepada kawan, pastikan awak menyertakan sumber asal blog ini. Janganlah awak menjadi ahli neraka dengan menciplak, memplagiat atau menyebarkan cerita ini tanpa memenuhi kehendak penulis asal, ya? Saya tulis ni untuk blog saya, bukan untuk bagi orang lain senang-senang nak ciplak, plagiat atau salin semula dalam blog dia orang (dan lebih teruk memadamkan sumber asal iaitu tidak menyertakan nama penulis dan alamat blog ini.).
|