Panduan Menjadi Juara Akademi Fantasia - Siri 1
Elakkan Sifat Tunjuk Pandai
atau Rasa Diri Sudah Jadi Superstar
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sebagai seorang peserta Akademi Fantasia, anda perlu tahu Akademi Fantasia adalah sebuah rancangan realiti di mana para peserta yang terpilih bukanlah peserta yang hebat-hebat. Akademi Fantasia bukanlah seperti Malaysian Idol, Gangstarz dan seumpamanya yang sememangnya khusus untuk mereka yang sedia berbakat. Saya melihat bagaimana Ramli MS mencipta Akademi Fantasia sebagai sebuah akademi. Bakat bukan perkara utama dalam Akademi Fantasia tetapi, kegigihan, sifat hormat-menghormati, tekun belajar, jujur dan ikhlas dalam menghiburkan para pengajar, pengkritik dan penonton merupakan perkara penting yang perlu disempurnakan oleh para pelajar Akademi Fantasia.
Tips-tips yang ditulis oleh saya (Amiene Rev) ini juga barangkali sesuai untuk rancangan realiti selain Akademi Fantasia juga. Semoga apa yang saya tulis ini dapat memberikan manfaat kepada sesiapa yang bercadang menyertai apa-apa rancangan realiti TV. Saya juga berharap janganlah ada sesiapa yang menciplak artikel-artikel saya, tidak menyertakan sumber asal (iaitu kredit kepada saya selaku penulisnya). Saya tak tahulah sebab apa ada orang suka ciplak-menciplak ni. Hormatlah hakcipta penulisan orang lain ya? Tapi takkanlah sebab ada orang ciplak penulisan saya, saya pun merajuk tak nak menulis lagi. Itu tak patut berlaku sebab seekor penciplak, satu blog ditinggalkan terus sebab merajuk. Hormat penulis asal ya? Tak mahu ada ciplak-ciplak lagi ya?
Berbalik kepada topik asal: Anda adalah pelajar. Jika anda berbakat, tonjolkan bakat anda selaku anda seorang pelajar, selaku anda seorang murid yang berusaha gigih untuk memenuhi kehendak tugasan yang diberikan.
Keyakinan itu perlu ada, tetapi jangan tonjolkan diri anda sebagai seorang yang memandang rendah tugasan diberikan (walaupun anda memang berbakat).
Stacy, seorang pelajar Akademi Fantasia yang memiliki bakat yang hebat tetapi imejnya merendah diri. Saya rasa Stacy merupakan pelajar wanita paling menonjol dari segi bakatnya setakat ini dan saya juga tahu Stacy ada pengalaman dalam Gangstarz.
Perhatikan 'trademark' Stacy. "Wah, terlebih sudah!"
'Trademark' yang digunakan oleh Stacy ini menunjukkan dirinya sentiasa beringat-ingat supaya tidak berlebih-lebihan dalam menonjolkan diri semasa membuat persembahan. Hasilnya kita lihat semua persembahan Stacy boleh dikatakan seimbang, semula jadi dan asli. Saya tidak nampak sebarang tindakan yang dibuat-buat melainkan yang asli sahaja daripada Stacy.
Barangkali, pencipta dan penulis lirik lagu "Aku Stacy" sedar akan sifat semulajadi yang ada dalam diri Stacy semasa membuat persembahan, maka mereka mencipta lagu yang diberi judul "Aku Stacy!"
Memang tepat sekali! Lagu ini mencerminkan Stacy sebagai Stacy, seorang yang berbakat besar dalam bidang hiburan, boleh menari, boleh menyanyi, tetapi memiliki sifat sederhana dan tidak berlebih-lebihan dari segi kata-kata atau pun tindakan kelakuan.
Ini, memang ciri-ciri Juara. Tidak hairan juga kenapa Toi boleh bertahan sehingga ke pertandingan akhir, sebab Toi juga ada ciri-ciri bersahaja.
Pendek kata, bakat memungkinkan anda layak ke final, tetapi ingat, anda adalah peserta Akademi Fantasia yang perlu memenangi hati pengundi. Anda perlu ada sifat bersahaja dan bersederhana seperti Stacy, Toi dan juga Mawi.
Jumpa lagi dalam Siri ke-2 Panduan Menjadi Juara Akademi Fantasia pada masa akan datang!
|