Nilai-nilai Kreatif, Imaginatif dan Estetika dalam Bahasa SMS
Nilai-nilai Kreatif, Imaginatif dan Estetika dalam Bahasa SMS
Penulis/Pengkaji: Amiene Rev (C) 2008
Penulis/Pengkaji: Amiene Rev (C) 2008
Sepanjang saya mengkaji bahasa SMS, saya mendapati, bahasa SMS ini memiliki nilai-nilai yang sedemikian rupanya:
Kreatif
Saya anggap Bahasa SMS ini kreatif kerana ia merupakan satu pembaharuan dalam evolusi bahasa. Bahasa pada masa akan datang barangkali akan wujud sebagai satu simbol, di mana huruf vokal sudah boleh diabaikan dalam struktur-struktur ejaan baru.
Imaginatif
Saya anggap Bahasa SMS ini imaginatif kerana ada ejaan yang dicipta menggunakan simbol-simbol yang juga diilhamkan daripada huruf dan nombor. Contohnya, perkataan 'tidak' diwakili dengan tanda pangkah yang menggunakan huruf 'x'. Penggunaan emotikon yang dijelmakan daripada huruf-huruf juga merupakan satu bentuk bayangan mengenai apa yang penulis itu rasa. Gabungan satu atau dua huruf sahaja sudah boleh memberitahu apa yang penyampai mesej itu rasa. Contohnya perasaan gembira boleh diwakili oleh simbol (",) atau :D yang seolah-olah menunjukkan seseorang itu tersenyum atau suka. Perkataan-perkataan yang dieja menggunakan Bahasa SMS adalah sesuatu yang boleh diimaginasikan secara langsung daripada objek sebenar menerusi simbol-simbol dan huruf-huruf.
Estetika
Bahasa SMS juga merupakan satu seni dalam menulis atau mengeja sesuatu perkataan. Cuba teliti struktur ejaan Jawi, struktur tulisan Cina, dan Jepun. Ada perkataan yang diwakili oleh simbol-simbol tertentu. Saya teringat dalam satu novel grafik Ma Weng Seng (juga disebut Ma Wing Sing) yang terkenal iaitu Pedang Setiawan, perkataan 'Juara' itu lahir dengan menggabungkan perkataan 'Pedang' dan 'Awan'. Dua perkataan baharu, apabila digabungkan membentuk satu perkataan baru yang memberi maksud yang langsung tidak berkaitan dengan dua perkataan sedia ada. Perkara yang hampir sama juga berlaku dalam struktur bahasa SMS.
Perkataan '10sen' misalnya terdiri daripada gabungan dua perkataan iaitu 'ten' dan 'cent'. Dalam konteks ini perkataan '10sen' adalah gabungan bahasa Inggeris (ten - angka 10) dan Melayu (sen - nilai mata wang) untuk membentuk perkataan baru iaitu 'tension' .
Ini menunjukkan setiap huruf atau simbol yang digabungkan untuk membentuk satu-satu perkataan dalam Bahasa SMS memiliki nilai keindahan yang tersendiri yang barangkali dikaburi dengan imej pemberontakan terhadap struktur ejaan bahasa. Suatu pembaharuan yang mungkin memiliki nilai-nilai yang berpengaruh dan popular terhadap golongan tertentu.
Persoalan dan kebarangkalian
Adakah kemungkinan ketiga-tiga nilai di atas merupakan antara faktor-faktor yang mempengaruhi remaja untuk terus menggunakan bahasa SMS? Bahasa SMS barangkali bukan sekadar bahasa pemberontakan jiwa remaja, atau bahasa yang lahir daripada arus teknologi sistem pesanan ringkas, tetapi juga merupakan satu cara untuk remaja menggunakan kreativiti masing-masing. Adalah tidak dapat dinafikan barangkali wujud perasaan bangga di kalangan remaja itu sendiri kerana dapat menggunakan bahasa SMS.
NOTA: Jurnal kajian mengenai Bahasa SMS di atas adalah lahir daripada pengalaman dan pemerhatian saya sendiri (Amiene Rev) dan bukanlah suatu kajian yang mendalam. Saya akan menulis catatan-catatan saya mengenai bahasa SMS pada masa akan datang.
|