BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Februari 16, 2007

Petikan Novel: The Managers - Amiene Rev 1997

The Managers
Hakcipta Terpelihara Amiene Rev (1997)

Ketika itu musim salji di New Picardy. Sebuah kereta salji melungsur laju ke arah Barat. Beberapa ekor anjing serigala berlari-lari dengan tali yang terikat pada badan masing-masing.

Kereta salji itu berhenti. Anjing-anjing penarik kereta salji itu mengeluh sesama sendiri. Keluar seorang wanita rupawan, berusia lewat 30-an. Baju tebal daripada kulit rubah merah, kasut tumit tinggi berwarna hitam, dan topi ahli sihir Sparrow Witch dari Canopy Peak. Itulah dia salah seorang daripada empat pengurus Walcowax yang terkenal di Amiens.

"Selamat datang, Cik Anne." Para pengawal bersuit kelabu bertalu-talu memberi ucapan selamat. Masing-masing menanggalkan topi, memberi tunduk hormat kepada Cik Anne.

"Hari yang cukup baik," Cik Anne tersenyum, menjeling ke arah setiap pekerjanya, sambil berjalan masuk ke Menara Outfalls yang tertinggi di dunia pada ketika itu.

"Oh! Kucing saya!" Cik Anne melopong terkejut, kedua-dua belah tangannya yang berkuku biru berkilat diletakkan ke mukanya. Kucing yang bernama Fatburn itu mengiau-ngiau lemah dengan suara yang agak tenggelam.

Dia melihat Fatburn digantung di atas kipas yang sedang berpusing-pusing. Sambil mengetap bibir, Cik Anne menutup suis kipas. Lalu menanggalkan riben yang mengikat kucing montel itu, sambil memeluk sayang kucingnya.

"Siapa yang menceroboh ke bilik saya? Hall!!!!" Muka merah padam Cik Anne memang menakutkan. Usianya sudah menjangkau 35 tahun tetapi masih belum berkahwin.

"Hall!!!" Cik Anne mencium Fatburn lalu meletakkannya di atas meja.

"Kring!!!" Telefon antik yang terletak di meja coklat itu berbunyi. Fatburn terperanjat, lalu melompat turun dari atas meja, menjatuhkan beberapa fail merah dan hitam ke lantai kayu yang berkilat-kilat, secara tidak sengaja.

"Hello? Ya, Cik Anne di sini?" Terdengar suara berkumat-kamit di gagang telefon.

"Apa? Ya!" Sekali lagi air muka Cik Anne berubah. "Ini hari yang teruk!"

Ketika itu, seorang wanita muda, tukang bersih pejabat, menyuruk di celah pintu yang terbuka sedikit. "Angin Cik Anne tidak begitu baik hari ini. Lebih baik aku..."

"Hall!!! Saya boleh mencium bau anda, Hall! Keluarlah" Ahli sihir Anne terjerit-jerit lagi. Dia sudah mengamuk!

"Ya! Ya! Saya masuk!" Dengan suara yang terketar-ketar, Cik Hall menjawab, sambil berjalan teragak-agak, masuk ke bilik pengurus.

Cik Anne sudah membeliakkan matanya. Memandang tepat ke arah Hall seperti seekor singa liar dari Savannah. Sekarang, dia betul-betul sudah 'menjelma' menjadi ahli sihir wanita yang sangat-sangat garang...!

Nota: Cerita ini ditulis pada tahun 1997, ketika aku berada di tingkatan 3. Boleh kata, ini adalah pandangan seorang budak berusia 15 tahun, mengenai dunia usahawan. Apa pandangannya, apa yang difikirkannya mengenai dunia usahawan. Ketika itu aku sedang berkira-kira untuk menjadi seorang usahawan. Menjadi usahawan adalah salah satu cita-cita aku. Juga salah satu percaturan untuk menjana kewangan bagi membina sebuah institusi khas untuk anak-anak yatim pada masa akan datang.