KITAB: Tersungkurnya Sang Presiden
Dua orang berbeza matlamat, berbeza fakulti, berbeza persatuan. Seorang individu dan seorang presiden persatuan. Seorang mahu menghidupkan persatuannya, seorang lagi mahu mengajar anak-anak Desa Bakti secara percuma. Namun presiden persatuan itu menyerah kalah, meletakkan jawatan dan meninggalkan segala-galanya, gara-gara salah satu program yang dikendalinya tersekat-sekat (bukan KITAB). Walau pun pakatan antara penulis blog itu dengan presiden itu sudah ditamatkan, KITAB kini sedang menghala ke satu fasa baru. Presiden itu rebah, KITAB walau bagaimana pun terus maju didokong oleh penulis blog, seorang penasihat persatuan yang lain dan belasan orang junior-juniornya.
Kini, penulis itu tidak lagi bergerak sendirian. Dia sudah memiliki rakan-rakan seperjuangan dari fakultinya sendiri. Mara! Terus mara!
"Dulu, tak pernah ada orang nak ambil berat..."
"Ini adalah rahmat..."
Semoga program ini mampu membawa kebaikan kepada semua pihak. Amin. Jumlah bilangan tutor terus meningkat secara mendadak selepas dijalankan secara tunggal. Persatuan itu mempunyai banyak masalah dalaman dan masalah komitmen, yang menjadi batu penghalang dalam usaha melaksanakan KITAB. Kini halangan itu tidak ada lagi. Walaupun agak menyedihkan, namun bak kata orang:
"Hanya orang mahu menolong dirinya sendiri, yang layak ditolong."
Presiden persatuan itu telah silap percaturan, tidak tegas, tidak prihatin, tidak peka, tidak pandai menguasai situasi dan politik dalam persatuannya. Ini adalah satu pengajaran buatnya. Kesilapan yang besar adalah kerana menjaga kepentingan diri, sehingga mengabaikan kepentingan terhadap orang lain. Kesudahannya, presiden itu tersungkur... dan dibelenggu perasaan serba-salah.
"Jangan main-main apabila membuat keputusan dan jangan main-main apabila membuat perjanjian, kelak, kamu akan binasa."
Entri kali ini sengaja tidak disunting. Menunjukkan penulis sedang penat. Sambil tersenyum pahit. Satu, kerana misi sudah mula menampakkan hasil. Kedua, kecewa dengan sikap presiden itu. Perbuatan presiden itu menyebabkan dia menjadi bahan ketawa orang lain.
"Jangan main-main apabila mencalonkan diri dalam pilihan raya. Ini adalah pengajaran terbaik untuk kamu. Dahulu saya kecil hati dengan sikap kamu mempermain-mainkan perkara yang serius. Berkali-kali kamu berbuat demikian sehingga aku meninggalkan, mengelak daripada bertemu dengan kamu. Ini adalah pengajaran untuk kamu."
Ya. Sudah tidak ada masa untuk aku melayan ketersungkuran seorang presiden. Sekarang aku perlu mengatur strategi untuk program murni ini. Apa yang harus aku utamakan ialah persediaan untuk kelas bimbingan percuma itu nanti.
Jalan dulu... sampai jumpa lagi.
|