BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Februari 16, 2007

Kaedah Penulis Unggul 3

Malam tadi aku terlelap, tiba-tiba aku mimpi ada seekor kuda di halaman rumah. Kuda itu melompat-lompat, lalu aku mendekatinya dan menunggangnya. Kuda ini berwarna perang merah. Anehnya, pada kuda ini terdapat empat tempat duduk.

Aku menunggang kuda ini, melalui jalan-jalan yang aku sendiri tidak kenal. Kuda ini sangat hebat! Berlari dengan cukup laju.

Aku sedar dari lena. Malam masih menjengah. Lambat betul hendak siang. Aku terfikirkan lagi. Tiba-tiba teringatkan mimpi aku yang dahulu, menunggang harimau yang sangat besar, seolah-olah singa betina. Tapi aku yakin itu adalah harimau, bukan singa. Ganjil sungguh, masakan ada harimau sebesar itu. Itukan mimpi. Apa pun boleh jadi.

Jadi aku sambung tidur lagi. Pagi ini aku terjaga. Aku masih lagi terfikir-fikir akan mimpi yang menarik tadi. Barangkali, mimpi itu menyuruh aku menunggang kuda. Cuti-cuti sebegini, semua orang sudah balik ke kampung. Aku pula berfikir tiga perkara, mengenai Program KITAB, mengenai penulisan tesis, mengenai kaedah penulis unggul. Nampaknya, pemikiran aku akan terus bekerja dan bekerja.

Sekarang sudah sampai masanya...

Bercakap mengenai kuda, aku teringat salah satu cerita kanak-kanak yang pernah aku tulis, berkaitan dua beradik kembar yang memiliki kuda-kuda yang setia, beberapa tahun lepas. Terasnya masih ada.

Mengingatkan hari cuti, aku teringatkan sebuah keluarga, di mana, dahulu aku menjadi seorang anak yang paling tua dalam keluarga itu. Mereka semua sudah tidak ada. Apa pun, aku harus bersyukur dengan keluarga yang aku ada sekarang. Mereka adalah keluarga sebenar aku.

Mengingatkan hari cuti, tiba-tiba aku teringatkan sepupu aku. Adakah dia sudah kembali ke benua Eropah? Lebih kurang satu dekad yang lepas, selepas perceraian ibu bapanya, dia tidak lagi berkawan baik dengan aku.

"It's not you. It's your mom. Your mom asked you to phone me just to incite me to leave my mother!" Katanya kepada aku ketika aku menelefonnya, suatu hari, untuk bertanya khabar.

Kecil hati dengan jawapan itu, aku tidak lagi berhubung dengannya. Tidak ada lagi spageti atau macaroni. Beberapa tahun kemudian, ayahnya datang memberi aku telefonnya. Katanya mahu aku bercakap dengan dia.

"It's all about fraternity, not rivalry!"

Dahulu aku sering mengalah kepada dia. Namun sejak dia tidak ada lagi, aku sudah mula memajukan diri aku. Meninggalkan dia jauh terus ke belakang tanpa aku sedari. Dia mengetahui perkembangan diri aku dan mahu menyaingi aku kembali. Dalam erti kamus hidup dia, dia tidak mahu aku melebihi dia. Aku tak kisah pun. Dahulu aku bukanlah orang yang suka bersaing. Aku adalah orang yang jenis memandang matlamat hidup aku, tidak mempedulikan apa jua jenis persaingan.

Ya. Sekarang pun begitu. Hidup aku cuma memandang matlamat aku. Persaingan soal kedua. Apa yang harus aku capai, itu yang aku tumpukan. Sebab, hayat manusia terlalu pendek, aku harus mencapai apa yang patut aku capai. Urusan aku dengan Tuhan.

Ini baru dinamakan sebagai, perjuangan. Perjuangan hidup. Aku akan terus menunggang kuda dan harimau menuju kejayaan!!!