Voodoo - Kempen Makan Budu bersama Amiene Rev. Ha! Ha! Ha!
Pada suatu hari seorang Mat Saleh datang melancong ke Kelantan. Dia melihat botol-botol berisi sesuatu yang kelihatannya aneh sekali.
"What is that thing in the bottle?" Betul atau tidak tatabahasa orang putih itu bercakap, kita lupakan dulu, yang penting anda faham mesejnya.
"Oh, ini budu," jawab penjual budu.
"Voodoo!" Mat Saleh itu kelihatan terkejut. Dia menunjukkan reaksi yang membawa maksud dia berasa gerun.
"Ya. Budu." Dalam hati, penjual budu tu ketawa kerana mendengar sebutan budu yang tidak betul. Lidah Mat Saleh memang macam tu, fikirnya.
"You want to try it?" Penjual budu itu mengucapkan ayat yang sudah terbiasa disebutnya. Salah satu perbualan asas bagi seorang penjual budu.
"Oh... no! no!" Mat Saleh itu menjauhkan dirinya. Penjual budu berasa agak lucu. Barangkali Mat Saleh itu ingat rasa budu ini teruk. Belum cuba belum tahu!
Penjual budu itu pun menghulurkan satu botol budu kepada Mat Saleh itu.
"Eeewww! Owww! Watch out!" Mat Saleh melompat-lompat ketakutan. Semua orang yang berada di sekitar tertarik dengan babak yang agak aneh dan kreatif itu. Belum pernah dilihat seorang pelancong takutkan botol budu.
Kemudian, penjual budu itu mencapai satu bungkus nasi kerabu. Mat Saleh itu pun kembali menjenguk ke dalam gerai. Melihat apa yang dibuat oleh penjual budu itu.
Penjual budu menuangkan sedikit budu ke atas permukaan nasi kerabu yang berwarna kebiruan itu. Lalu menambah beberapa keping keropok ikan yang masih segar digoreng. Telur masin, lada solok, bawang jeruk dan dengan enaknya dia memakan nasi kerabu itu.
"Nyam! Nyam! Enaknya nasi kerabu bersama budu!" Penjual Budu bercakap sambil menunjukkan ibu jarinya kepada si Mat Saleh.
"Wow! That Voodoo must be neutralized." Mat Saleh itu terlopong.
"Kelantanese is so fantastic. Malaysian people are incredible! A very dangerous black magic like Voodoo has been turn into a delicious food!" Mat Saleh bertepuk tangan. Orang ramai yang mengelilingi Mat Saleh itu juga turut bertepuk tangan. Mereka berpaling-paling sesama mereka. Sambil bertepuk tangan.
"From the latest study about Budu by American and Japanese Scientist, budu can help to increase a person IQ." Penjual Budu itu memberitahu satu fakta yang dihafalnya. Fakta yang agak terkini, sekitar beberapa tahun dulu. Ini penting untuk menaikkan imej budu di mata dunia.
"Now Orang Putih should not avoid to eat budu."
"Yeah!" Sambil mencapai sebotol budu.
"Let's Voodoo!" Mat Saleh itu membuka penutup botolnya dan meneguk budu di dalam botol itu sepertimana yang biasa dilihat di dalam iklan Coke dan F&N. Orang ramai bertepuk-tepuk sambil tersengih-sengih, dan ada juga yang melopong kehairanan. Apa pun, ini sudah pasti suatu pertunjukkan yang sungguh unik bagi mereka. Pengalaman ini akan diingati sampai bila-bila. Jangan lupa, budu diperbuat daripada ikan. Budu adalah sos ikan.
Apa yang akan jadi kepada Mat Saleh itu, silalah fikirkan sendiri. Tamat entri pada hari ini.
Sebab itu saya kata sebelum ini, tak salah untuk gunakan Bahasa Asing di dalam penulisan, tidak kiralah Bahasa Inggeris, Jepun atau Arab, tetapi mestilah menghormati penggunaan bahasa tersebut, dari segi ejaan terutamanya.
Apa nak buat ya? Cuti semester dah bermula. Saya masih tercari-cari di mana pantai yang paling sesuai untuk menimbulkan ekspresi yang indah nian.
|