Perbezaan antara Amiene Rev dengan Tiger Woods
Oh, ya. Kebetulan hari ini aku melihat iklan berkaitan dengan golf di universiti. Ditulis dalam Bahasa Inggeris berbunyi: "_____ GOLF RANGE. OPEN FROM 3.00PM - 7.00PM. FREE BASIC LESSON"
Lokasi padang golf itu sudah semestinya sangat-sangat berhampiran dengan Desa Bakti. Namun begitu, aku tidak suka permainan golf. Ini adalah satu perbezaan antara aku dengan Tiger Woods. Tiger Woods berdarah campuran, aku juga daripada sebelah ayahku berdarah campuran kerana moyang sebelah ayahku berasal dari Tanah Ratu Elizabeth. Namun, aku tidak ada darah Negro seperti Tiger Woods. Oleh itu kami berbeza.
Hm... hm.. hm... Hari ini sambil membawa sebuah novel pergi bersiar-siar di sekitar kampus. Selepas puas membaca iklan di dinding bangunan, aku pergi pula ke sebuah kafe untuk membeli air minuman. Tiba-tiba aku terlintas untuk menggunting rambut. Agak panjang walaupun ramai orang kata rambut aku masih pendek. Aku tidak suka berambut panjang.
Dan tiba-tiba datang seorang pelajar daripada negara asing, barangkali seorang Pakistan atau seorang Bangla, bertanyakan sesuatu dalam Bahasa Inggeris. Walaupun agak berterabur, tetapi aku dapat menangkap dia ingin mengunting rambut. Oh, ya di sana di sini dan di situ. Pelajar asing itu faham dan terus pergi ke arah yang dimaklumkan. Wah, wah, wah! Hidup ini agak membosankan kalau terlalu banyak kebetulan.
Sebenarnya aku nak cakap apa hari ini? Ya...
Er... aku patut sambung menulis tesis. Bercakap soal tesis, aku rasa tidak begitu senang sebab ada seseorang mahu membeli buku tesis tulisan aku. Katanya mahu dibuat simpanan. Dia sanggup keluarkan wang untuk membeli buku tesis aku. =.="
Bentang pun belum. Markah pun belum. Belum tentu aku dapat gred yang baik.
Apa lagi yang mahu aku tulis? Oh, ya... aku mahu pergi ke pantai...
Ehem. Sepatutnya topik ini harus berkaitan perbezaan antara aku dengan Tiger Woods.
Tetapi aku tetap mahu pergi ke pantai. Atau sekurang-kurangnya air terjun. Pukul 3.00 petang ada menu RM3.15 di McDonald dan menu RM3.50 di KFC. MarryBrown patut ambil langkah yang sama.
Hari ini aku menghabiskan membaca novel di tasik dan di taman yang indah. Namun privasinya cuma sementara sebab tiba-tiba ramai orang duduk-duduk di situ. Mungkin aku patut bertemu dengan kuda yang bernama Tommy itu. Bersiar-siar sambil menunggang kuda. Itu pun cukup menarik untuk dilakukan. Sebenarnya aku sudah lama ingin berlumba lari dengan kuda.
Semasa zaman sekolah dahulu, aku merupakan seorang sprinter yang tidak ternama. Cuma ternama di sekolah aku sahaja. Hari ini aku membuang masa dengan berlari secepat yang mungkin menaiki tangga blok asrama yang sekitar 5 tingkat itu. Tiba-tiba sahaja secara tidak sengaja aku telah menarik perhatian beberapa orang pelajar. Ya... ya... aku tahu... aku cukup bosan dengan bilangan anak tangga yang banyak. Dulu, catatan kelajuan aku dalam acara 100 meter ialah 10.22 saat. Aku selalu dipanggil menyertai acara olahraga dan merentas desa walaupun diserang selsema. Sebab aku selalu mendapat mata untuk rumah sukan aku. Orang kata larianku seperti seekor kijang. Jadi antara seekor kijang dan seekor kuda, siapakah yang lebih laju? Naruto episod 101. Oak. Oak. Burung gagak berbunyi. Aku teringin makan ramen. Adakah ramen dapat menandingi kehebatan bistik daging?
Ya. Aku tetap merasa bosan, jadi hari ini aku mengira jumlah gigi yang aku ada. Sebab seminggu yang lalu seorang rakan aku kata ketinggiannya makin bertambah dan jumlah giginya ialah 30. Oh, tidak, jumlah gigi aku tidak mencapai 30 dan aku rasa entri ini sungguh merepek dan aku patut makan kerepek ubi. Ya, kerepek ubi yang dibungkus di Rumah Barkat diimport dari Batu Pahat.
Sekian sahaja entri yang cukup merapu ini. Aku mahu tidur. Idea untuk menulis tesis perlu datang dan jangan pergi!
|