BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Februari 10, 2007

Aktiviti sekolah di England boleh dimodifikasi pada UPSR

Kebetulan hari ini saya berpeluang membaca Utusan Malaysia Online. Saya tertarik untuk mengulas idea yang diberikan oleh En. Menhat Abdul Rahman, dari Port Dickson, Negeri Sembilan. Beliau ingin berkongsi pengalamannya, semasa tinggal di England bersama keluarganya dan pada ketika itu anaknya turut bersekolah rendah di sana.


Aktiviti sekolah di England boleh dimodifikasi pada UPSR

AKTIVITI 1: Kelas selalu adakan drama bertujuan supaya anak-anak boleh berkomunikasi.

ULASAN: Satu idea yang menarik. Anak-anak boleh digalakkan untuk melakonkan watak-watak yang bermoral, contohnya seperti tokoh-tokoh kemerdekaan dan sebagainya. Saya menjangkakan akan ada kesan positif dari segi pembentukan keyakinan diri, kemahiran berkomunikasi antara pelajar.


AKTIVITI 2: Sesi membaca buku cerita cara individu diadakan masa sekolah. Pelajar yang lambat atau kurang tahu membaca dibantu oleh sukarelawan yang diimport dari luar sekolah.

ULASAN: Aktiviti seperti ini seperti sudah pernah dibuat di sesetengah sekolah. Apa yang menarik di sini, adalah adanya penglibatan sukarelawan yang diimport dari luar sekolah. Sokongan sukarelawan boleh membantu meringankan beban guru-guru di sekolah. Bercakap mengenai sukarelawan, teringat pula konsep Program KITAB yang saya asaskan. Harap-harap pada minggu depan, sudah boleh bertemu kembali dengan penasihat untuk perbincangan selanjutnya.


AKTIVITI 3: Pelajar diminta membawa dari rumah sedikit bahan membuat kek - misalan 100 gram gula atau 200 gram tepung. Pelajar diminta patuh dengan membawa tepat berat bahan ini - ada unsur kefahaman matematik dalam kepatuhan ini.

ULASAN: Ringkas. Salah satu cara untuk meningkatkan kepercayaan kepada diri murid-murid, juga melatih sifat amanah dalam memberi komitmen terhadap pihak sekolah.


AKTIVITI 4: Masa waktu rehat sekolah, ada petugas wanita digelar ‘Miss’ oleh para pelajar. Tugasnya ialah berjalan sekeliling sekolah menggalakkan pelajar bergaul dan berinteraksi. Jika terdapat pelajar keseorangan, Miss akan carikan kawan. Jika bertemu pelajar bersedih, Miss akan berbual mencari punca kesedihan.

ULASAN: Sangat bagus. Kes buli, tidak mendapat perhatian ibu bapa, masalah pembelajaran, masalah pergaulan dan sebagainya boleh didiagnosis dan dicari jalan-jalan penyelesaiannya. Pihak "MISS" boleh merekodkan apa maklumat yang diperolehi untuk diberikan kepada pihak sekolah. Ini adalah salah satu elemen terawal yang akan dilaksanakan menerusi Program KITAB (Fasa 1). Saya sangat bersetuju. Ini berdasarkan kajian berbentuk pemerhatian yang saya lakukan pada bulan Ogos 2006, didapati aktiviti ini boleh meningkatkan motivasi belajar di kalangan para pelajar.

Nota: Program KITAB yang diasaskan pada awal tahun 2007, diilhamkan berdasarkan Gagasan Amiene Rev yang dibentuk pada tahun 2000. Ketika berusia sekitar 17 tahun, dan ketika kali pertama menjejakkan diri dalam bidang pendidikan. Namun projek ini dihentikan atas sebab-sebab yang rahsia. Buat masa ini, gagasan ini masih terus diperbaiki sebelum tiba masa yang sesuai untuk dilaksanakan, fasa demi fasa.

Pada masa akan datang, jika dengan izin Tuhan, sebuah institusi khas untuk anak-anak yatim akan diwujudkan dan Gagasan Amiene Rev akan dapat dilaksanakan. Di bawah konsep Amienatorium, Amienations dan De Originz (idea pertama pembentukan Institusi Amiene Rev - 1995, 1998) yang diubahsuai, projek ini bertujuan untuk memaksimumkan potensi anak-anak Malaysia, seterusnya melahirkan golongan generasi pemimpin berilmu yang terbilang, gemilang dan cemerlang, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Malaysia. Pembaikpulih idea dan pelaksanaan gagasan diatur daripada corak idealis kepada lebih realistik, sejajar dengan kematangan usia.

Jika benar gagasan ini terlaksana, maka kenapa 'takdir' telah memilih aku untuk memasuki bidang pendidikan, sudah dapat difahami dan dihayati... sepenuhnya. Jika tidak dapat dilaksanakan pada hayatku, maka akan ada sesiapa daripada keturunanku akan melaksanakannya pada kemudian hari. Suatu hari, catatan-catatan ini akan ditemui.

Nama aku Amien, yang bermaksud Pemimpin Berilmu. Tanam dalam hati, ini hasrat kedua-dua orang tuaku. Aku akan cuba yang terbaik. Dengan izin dan bantuan daripada-Nya. Tidak ada apa yang mustahil... jika Dia, mengatakan... ini tidak mustahil.