Aku Tidak Ada Masa Depan, tetapi...
Hai, nama saya Amiene Rev. Oh, tidak. Sepatutnya aku menulis begini...
Yo! Sayalah Amiene Rev. Juga kelihatan kurang sopan.
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Nama saya, Amiene Rev. Ini pula, ialah suatu cara pengenalan yang dipanggil orang sebagai skema.
Bagaimana mahu kumulakan kisah hidup ini? Aku Amiene Rev. Berasal dari Timur, dan merupakan seorang detektif yang tidak diiktiraf. Tugas aku mengkaji manusia, dan menegakkan keadilan. Juga membakar kejahilan moral, supaya kembali kepada kebenaran. Sekarang aku sedang menempuhi alam yang baru. Hm, kelihatan pengenalannya agak keterlaluan. Kalau begitu biar aku cuba cara yang lain.
Dalam dunia ini, ada seorang insan, yang kesunyian. Saban hari, dia menantikan seorang teman, untuk dijadikan pembuka bicara. Bukan sebarang bicara, tetapi bicara masa depan. Namanya Amiene Rev, yakni penulis tulisan ini. Salam hangat dan biarkan kuperdengarkan perkhabaran bahagia untuk sekalian pembaca. Ah, kelihatannya agak romantis, kata-kata seperti ini. Malu saya. Biar aku cuba cara yang satu lagi.
Hari ini engkau menghadap di depan komputer engkau. Engkau buka blog engkau dan mula menulis mengenai diri engkau. Engkau dipanggil Amiene Rev. Engkau rasa, tidakkah ini agak kasar bunyinya? Engkau tidak boleh menulis dengan cara begini. Faham tak? Berhenti sekarang dan siapkan tesis engkau itu!
Kata-kata seperti ini, telah menyedarkan aku. Masih ada kerja yang harus aku utamakan... dan oh, ya. Aku sudah dapat dua novel baru daripada seorang penulis Top 10, dari PTS Publication. Dia terkenal dengan novel Oren. Siapa dia? Biar aku rahsiakan dahulu.
|