Indera Hati
Nampaknya penat aku masih belum-belum hilang. Barangkali sebab pemakanan yang tidak seimbang? Sebenarnya aku tidak suka atau pernah menyukai mi segera sebelum ini. Perut aku tidak mesra mi segera. Perut aku bukan saudara mi segera. Bukankah mi segera berasal daripada tepung gandum? Apa pun bahan yang menjadikan mi segera itu, sudah pasti berasal daripada tanah. Maka aku juga berasal daripada tanah. Kalau begitu, bagaimana dapat aku nafikan bahawa mi segera itu saudara aku? Sudah ternyata, apa pun zat-zat yang akan aku bicarakan di sini, jawapannya tetap tertakluk kepada Al-Kitab. Maka sudah tertera jawapan itu, dan tiada perlu aku perbahaskannya tanpa adanya masalah yang wajib diselesaikan.
Malam ini yang penat adalah jasad aku. Panca indera aku. Otak aku. Namun jasad rohani aku belum Jasad rohani belum pernah kepenatan. Jika jasad ini kepenatan, maka itu tandanya kematian. Apa yang penting dalam hidup ini bukan kematian, atau memikirkan soal-soal kematian atau soal-soal selepas mati. Apa yang penting sekarang adalah kehidupan kini. Kalau hidup itu tidak ke arah kesempurnaan, maka ketika itu kita akan berharap terhadap kematian. Itu nyata, pandangan yang silap sama sekali.
Hari ini aku akan menulis, dengan jari-jari yang kepenatan. Mi segera itu adalah racun yang telah membinasakan banyak sel-sel badanku. Namun kuasa rohani masih belum terpadam. Sekalipun sudah hilang semua tenaga yang tersembunyi dalam sendi-sendi jari-jemariku. Maka aku akan biarkan jari-jari ini terus menari-nari biarpun aku sudah lena. Indera berlima sudah tidur, namun Indera Hati belum terlena dan akan terus mengisi ruang-ruang ini tanpa henti.
Maka di sini akan bermulalah satu episod. Episod yang dikarang dalam keadaan jasad yang sedang lena dan jiwa yang terus jaga.
Ada pun kisah ini bermula di sebuah lautan yang sangat gelap. Ada satu makhluk Tuhan yang bersembunyi sekian lama di dalam lautan itu. Laut itu tidak bernama, kerana sesiapa pun belum pernah menerokai laut ini.
Suatu hari, makhluk itu ingin keluar, lalu dia bertanya kepada seekor penyu.
“Dan hari ini telah genap umurku 170 tahun. Aku ingin meneliti dunia luar, selain lautan yang dalam ini. Bolehkah Puan Penangis Pasir membawa aku keluar dari tempat ini?”
Lalu penyu betina yang dipanggil Puan Penangis Pasir itu pun menjawab.
“Di luar sana, di daratan sana. Ada sejenis daging merah yang sentiasa akan menyebabkan pemiliknya berpenyakit gundah-gulana. Aku bimbang, kau juga akan dijangkiti penyakit itu, selepas kau menjejaki dunia itu.”
“Biarpun begitu katamu, Puan Penangis Pasir, bawakan aku biar sekali cuma. Aku mahu melihat alam itu buat mengisi perasaan naifku.”
“Maka apabila kau berdegil, tidak dapat aku melarangmu. Kerana setiap makhluk itu punya hati yang pasti akan memberontak.”
“Dan kau akan membawa aku?”
“Sudah... pasti...” Dan Puan Penangis Pasir, terus menguak arus lautan, terus membawa makhluk itu menuju ke daratan.
“Inikah alam daratan yang indah itu?” Air laut semakin cetek. Ombak terus memukul makhluk itu ke daratan.
“Sesungguhnya kau telah menemuinya. Maka aku akan beransur kembali ke lautan.” Penyu itu terus hilang dalam cermin muka laut yang bergelora.
Melihat alam yang serba hijau dengan pasir yang memutih. Makhluk itu tidak sabar-sabar lagi hendak menjejakkan kakinya ke daratan.
“Dan betapa udara di sini sungguh hangat. Dan tumbuhan-tumbuhan yang meninggi ini begitu indah melambai-lambaiku.”
Tiba-tiba satu objek bulat gugur, nyaris-nyaris menimpa makhluk yang nyaris-nyaris tenggelam dalam pesonanya terhadap daratan.
“Awas!” Makhluk itu menjerit. “Jaga-jaga apa yang kau jatuhkan.”
Makhluk itu merenung tumbuhan yang sangat-sangat tinggi itu. Dia berfikir dan terus berfikir. Kemudian dia teringatkan sesuatu, lalu bertanya terhadap tumbuhan yang tinggi itu.
“Tadi kau menyambutku dan sekarang kamu mengusirku. Adakah kau ini Pemilik Daging Merah?”
Tumbuhan itu enggan menjawab. Diam dan terus melambai-lambai.
“Adakah kau ini Pemilik Daging Merah?” Tumbuhan itu tidak menjawab lagi. Lalu makhluk itu berfikir lagi. Barangkali tumbuhan ini bisu.
“Jika kau Pemilik Daging Merah, maka segeralah berhenti melambai.”
Tumbuhan itu terus melambai-lambai. Oh, barangkali tumbuhan ini pekak dan bisu.
Makhluk itu cuba menggaya-gayakan tangannya, dengan harapan tumbuhan itu akan faham.
Tumbuhan itu terus melambai-lambai. Oh, barangkali tumbuhan ini buta, pekak dan bisu.
Makhluk itu belum putus asa. Dia terus pergi ke arah tumbuhan itu, lalu menggoyang-goyangkannya. Tiba-tiba gugur lagi beberapa butir bulat.
“Wah! Wah! Wah!” Makhluk itu menjerit-jerit. Nampaknya tumbuhan itu sedang marah.
“Sudah pasti, kau ini Pemilik Daging Merah. Hatimu tidak tenteram. Perasaanmu jauh lebih bergelora dari lautan pada waktu ribut malam.” Makhluk itu berasa geram, marah dan sedih.
“Aku... aku mahu kembali ke lautan. Tidak ada apa yang menarik lagi di sini. Kau telah menjangkiti aku dengan penyakitmu.”
Lalu makhluk itu perlahan-lahan menghirup udara panas di daratan itu. Sambil memandang ke arah lautan, dia berkata:
“Langit di daratan berwarna biru. Permukaan lautan itu pula terdampar bayangnya. Sebelum ini aku membayangkan daratan itu lebih baik daripada lautan.”
Makhluk itu melangkah perlahan-lahan menuju ke lautan. Terus memijak air laut. Terus berjalan dan berjalan ke lautan hingga ke separuh badan.
“Tolong! Ada orang mahu bunuh diri!” Makhluk itu terperanjat. Dia menoleh ke belakang, ke daratan. Kelihatan beberapa makhluk yang lain, rupanya kaget, pucat dan terkejut.
Makhluk itu berasa sangat takut. Dia terus melangkah laju ke tengah lautan.
“Dan sekarang, mereka mahu memerangiku...” Makhluk itu terus berenang ke dasar lautan. Makin dalam, makin kelam, meninggalkan daratan dengan hati yang sangat hiba. Tidak disedari masinnya air mata yang mengalir, kerana lautan itu ternyata lebih masin, lebih baik daripada daratan yang pernah dikenalinya, sebentar tadi.
|