BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, September 11, 2007

Bilangan Pengunjung dan Capaian Jalur Lebar yang Tinggi

Buat beberapa ketika ini, aku sedang melawan pemberontakan yang wujud. Mencari resolusi dalam dunia penulisan. Hari ini, aku ingin mengatakan sesuatu yang sedemikian rupanya:

""Setiap penulis ada teknik sendiri untuk bercerita. Teknik bercerita ini adalah bahasa mereka. Penulis itu sendiri adalah satu kehidupan, satu kerajaan yang mentadbir satu bangsa. Bangsa yang mempunyai bahasa, kepercayaan, budaya dan adatnya yang tersendiri."

Kita lihat bangsa Jepun, menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri untuk maju. Kita (sesetengah daripada kita) menentang penggunaan Bahasa Inggeris untuk subjek Matematik dan Sains. Saya juga, dengan ini menentang penggunaan teknik-teknik yang membataskan kreativiti dalam penulisan.

Kadangkala untuk mencapai ke satu tahap yang lebih tinggi, inilah pengorbanan yang harus kita akur, terima, dan berjuang untuknya. Kebebasan para penulis baru. Seperti kisah anak itik yang hodoh. Rupa-rupanya dia adalah seekor angsa. Jangan disangka semua penulis baru itu tidak berbakat. Menafikan kehendak Tuhan bahawa daripada golongan penulis baru itu akan ada bintang yang lebih menyerlah cahayanya daripada bintang sedia ada adalah perbuatan yang salah!

Maafkan aku, penerbit yang menyekat kebebasan penulis. Mungkin, aku tidak akan menghantar karya-karyaku kepadamu buat masa ini. Teknik yang dikatakan itu tidak wujud. Ia cuma belenggu atau rintangan api yang merupakan khayalan semata-mata. Sedangkan penulis-penulis lain juga gagal mengaplikasikan teknik itu. Sebab teknik itu akan menimbulkan masalah, tidak fleksibel. Penulisan dengan teknik itu umpama arahan-arahan yang tidak jelas. Teknik itu akan mengalami kesukaran apabila tiba masanya untuk diaplikasikan ke dalam bentuk yang lain. Seperti yang aku sudah jangkakan pada awal-awal lagi, beberapa tahun dulu. Teknik itu telah menganggu pemikiranku, intuisi hatiku mengatakan ia salah, tidak tepat, dan aku terbelenggu untuk menafikan kebenaran itu.

Hari ini, aku mahu mengakui teknik itu tidak wujud. Ia takkan menjadi penghalang bagiku untuk memulakan penulisanku lagi. Sudah beberapa bulan aku terdera kerana memaksa diriku untuk membenarkan teknik yang tidak wujud itu. Namun aku tidak boleh.

Karya-karya tidak boleh dicantas. Sebab unsur-unsur kecerdasan pelbagai akan terjejas kerana tidak dapat diaplikasikan dalam satu karya apabila teknik itu dipraktikkan!

Aku akan melanggari rintangan api itu tanpa rasa takut akan terbakar. Editor-editor yang berperikemanusiaan, pengurus-pengurus yang bijak berfikir, pasti akan faham apa maksudku.

Aku faham, pengerusi tidak boleh masuk campur urusan penerbitan. Ini barangkali merupakan satu cara untuk aku membalas jasa kepada penerbit itu, tetapi bukan dengan menyekat kreativitiku. Sebab aku mahu menggunakan kreativitiku untuk membantu membangunkan penerbitan itu.

Bercakap mengenai membalas jasa penerbit. Sebuah lagi syarikat penerbitan, namanya terlintas di deria mindaku. Penerbitan ini masih baru, aku mahu menolong penerbit kecil ini. Seorang penulisnya, sudah aku anggap sebagai orang penting dalam dunia penulisan. Hari ini aku mendapat e-mel daripadanya.

Aku akan menggunakan kreativitiku untuk menulis novel, untuk membalas jasa penulis ini dan syarikat penerbitan yang menaungi novel-novelnya. Aku akan menggunakan bakatku untuk menjadikan syarikat penerbitan ini tidak kalah kepada mana-mana penerbit besar! Seorang penulis, satu penerbit, tidak kira kita nama kecil atau besar! Kesefahaman ini, akan membawa kesatuan kita ke arah kejayaan yang lebih gemilang!

Aku, sudah memutuskan, buku pertamaku akan terbit bersama syarikat penerbitan ini. Tidak ada rintangan atau sekatan untuk aku menggunakan teknik penulisanku dengan syarikat penerbitan yang agak baru ini. Biar baru, biar lemah, namun aku sebagai penulis akan berjuang bersama penulis-penulis lain, membangunkan syarikat penerbitan ini.

Nama aku Amiene Rev (Revolusi). Rev juga bermaksud putaran (dalam bahasa Inggeris ia bermaksud Rev = Spiral, bahasa Jepun ia bermaksud Naruto). Perubahan kejayaan pasti akan berlaku. Nama ini telah berusia lebih satu dekad, ketika aku mula menanam hasrat untuk menjadi penulis.

Nota: Bilangan pengunjung di blog ini semakin hari semakin meningkat, dan jumlahnya setiap hari sudah sekitar 200-300 orang. Capaian jalur lebar yang tinggi menyebabkan aku harus mencari jalan baru untuk meringankan lagi rekaan blog ini supaya mudah dan cepat dicapai oleh semua pengunjung. Kesesakan trafik mungkin boleh berlaku.