BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, September 12, 2007

Jonathan Livingston Seagull - Burung Camar yang yakin pada diri sendiri

Pernah dengar mengenai kisah seekor burung camar, yang cuba mencipta penerbangan luar biasa? Kali pertama aku mendengar kisah burung ini, adalah semasa di sekolah menengah. Ketika itu guru Bahasa Inggeris aku menggunakan satu esei berkisahkan burung camar ini, yang diperolehi dari Reader Digest, sebagai bahan pengajaran.

Burung itu mahu lari dari kebiasaan, mahu menjadi burung yang mampu terbang paling pantas di dunia. Dia menghabiskan masanya dengan berlatih dan mengkaji teknik penerbangan sehingga kurus dan tinggal tulang-temulang sahaja. Dia terlalu khusyuk dengan percintaannya terhadap penerbangan sehingga dia terlupa kepada kerabatnya.

Rakan-rakannya yang lain, termasuk gurunya, seolah-olah menyekat pemikirannya. Mengatakan bahawa impiannya itu tidak akan tercapai. Namun Jonathan tetap yakin pada dirinya, bahawa suatu ketika nanti dia akan mampu terbang dengan lebih laju berbanding biasa.

Hal ini menyebabkan dia dipinggirkan oleh teman-temannya. Suatu ketika, ilham turun dan Jonathan berjaya melakukan penerbangan terpantas! Dia telah berjaya mematahkan sekatan pemikiran yang cuba dibuat oleh rakan-rakannya.

Hubungan antara manusia dengan Tuhan sungguh unik. Kita percaya, tidak ada yang mustahil bagi Tuhan, apabila dia berkehendakkan sesuatu. Seperti juga aku sebagai seorang penulis, tidak mustahil untuk aku mengatasi mana-mana penulis yang sedia ada, pada kemudian hari, dengan izin-Nya.

Hari kejayaan itu pasti hampir tiba, dan dapat kucapai selama-lamanya aku hidup. Amin.


Nota: Malam tadi aku bermimpi pergi ke Jepun. Menaiki bahtera yang besar. Menaiki kenderaan yang mewah. Kemudian berada di gunung bersalji. Pemandangannya cukup cantik. Gunung itu sangat tinggi, sebab itu ada salji di puncaknya.

Bila aku tersedar, rupa-rupanya itu adalah mimpi. Namun, rumah-rumah Jepun itu sungguh menarik. Suasana di dalam rumah juga sangat menarik, kombinasi tumbuhan hijau yang menghias taman, kertas dinding putih dengan petak-petak kayu hitam dan coklat, serta lantai kayu Jepun yang berkilat-kilat.

Kemudian aku mendapati terlalu banyak pembangunan sedang dijalankan. Kemajuan.