Aku dan Rajuk (satu bentuk ekspresi emosi)
Hari ini, rajuk aku kembali reda. Sebetulnya, apabila Blogger disekat, aku sangat marah kerana tidak dapat membaca blog-blog kesukaan aku (blogspot.com). Juga kekurangan maklumat atau berita terkini yang boleh ditemui menerusi blog.
Sekejap tadi, mungkin petang semalam, atau pagi semalam, fungsi Log In untuk Blogger juga disekat terus. Namun, malam ini (dan pada pagi ini), sudah boleh diakses kembali.
Aku juga merajuk, mengingati mayat yang ditemui di dalam beg sukan. Apabila doktor mengesahkan DNA yang diuji adalah sepadan dengan darah keluarga Nurin Jazlin. Keluarga Nurin Jazlin walau bagaimana pun memberitahu beberapa perkara seperti kesan suntikan BCG yang tidak ditemui pada mayat mangsa.
Aku benar-benar berharap pemeriksaan DNA itu silap! Perasaan kehilangan ini... Ah, lupakan nostalgia silam!
Sajak buat keluarga Nurin Jazlin 5:
Di Mana Pun Dia Berada, Hatinya Tetap Di sini
Nukilan: Amiene Rev (C) 2007
Pagi ini
embun dingin
meratapi rasa rindu
kenangan dan air mata
silih mengalir
saling memukau
pandangan nostalgia
Ketika khusyuknya
menanti terbitnya matahari
seolah-olah anak kecil itu
melangkah di tengah bulatan emas
perlahan-lahan kembali
pulang ke sisi
Jalan itu
ada jejakmu
kuikuti, hilang pula
kabur tanpa erti
bak logamaya di tengah jalan
kehadiranmu umpama ilusi
mendetak jantungku
Di mana kamu
duhai anakku?
Di mana kamu
duhai adindaku?
Pada takdir aku bertanya
di mana keadilan
di bumi nyata?
Takdir diam tidak menjawab
restu Ilahi
penuh hikmah
tidak di dunia,
di akhirat berbalas
Dan akui
kekuasaan-Nya
di mana pun dia
Tuhan sentiasa memerhati
di mana pun dia
Tuhan sentiasa menyayangi
sekujur tubuh, seutas jiwa
hatinya tetap
berada di sini.
|