BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, September 12, 2007

Resipi Rendang Amiene Rev dan Ketupat Amiene Rev

Saya tidak tahu kenapa tiba-tiba ilham untuk memasak rendang tiba-tiba terlintas di fikiran saya. Pernah berlaku beberapa persamaan yang aneh-aneh. Suatu ketika saya teringin untuk bermain tenpin bowling, maka setelah beberapa bulan sudah, didapati, ayahanda saya juga sebenarnya ketika itu telah pun bermain tenpin bowling, malah menjuarai beberapa pertandingan pula. Ini adalah perasaan pertalian kekeluargaan yang istimewa. Naluri kekeluargaan. Tidak, sebab perkara yang sama juga boleh berlaku antara saya dengan teman-teman rapat saya. Ini ialah naluri silaturrahim. Naluri persaudaraan yang sangat utuh antara kami.

Justeru saya menyakini, resipi ini juga pasti pertembungan minda antara beberapa orang yang sedang memikirkan resipi masakan. Lalu saya mengilhamkan resepi sedemikian rupanya. Sesiapa yang ingin mengujinya, dipersilakan, sebab saya sendiri tidak pernah memasak rendang. Juga saya sekarang berada di kampus, di kolej, tidak dapat mencubanya di sini.


Resipi Rendang Amiene Rev:

Saya meletakkan rendang ini nama saya, sebab sekiranya tidak menjadi, maka tidak ada sesiapa yang harus dipersalahkan melainkan saya sendiri. Namun, tidak ada jaminan bahawa rendang ini pasti enak. Ini cuma ilham sahaja. Bahan-bahannya adalah seperti berikut:

Bahan kalis lekat:
Minyak masak

Rempah:
2 batang kulit kayu manis - tumbuk kasar
5 biji buah pelaga - tumbuk kasar
3 kuntum bunga lawang - tumbuk kasar
5 biji bunga cengkih - tumbuk kasar


Bahan-bahan ini perlu dikisar:
½ mangkuk atau 1 inci halia
½ mangkuk atau 1 inci lengkuas
1 mangkuk atau 10 ulas bawang merah
½ mangkuk atau 5 ulas bawang putih
1 mangkuk atau 2 batang serai serai
½ mangkuk kunyit hidup


Bahan pemedas:
3 sudu makan lada giling


Daging:
1 kilo daging - dipotong dadu


Perasa:
1 kilo santan pekat
3 sudu besar kerisik
½ cawan air asam jawa
Garam secukupnya
Gula melaka/gula


Pewangi:
5 helai daun kunyit - hiris halus
3 helai daun limau purut


Langkah-langkah:

Panaskan minyak.
Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar dan ditumbuk kasar sehingga naik bau.
Kemudian masukkan bahan pemedas (lada giling).
Biarkan seketika.

Kemudian masukkan daging.
Kacau hingga rata.

Pastikan api sederhana kecil dan biarkan daging empuk sedikit.
Apabila daging sedikit empuk, masukkan santan.
Dengan api yang masih sederhana kecil, biarkan sehingga daging masak dan santan menjadi kering.

Sentiasalah mengacau.
Kemudian apabila santan kering sedikit, masukkan kerisik.
Kacau lagi.

Masukkan air asam jawa, garam dan hirisan daun-daun tadi.
Kacau dan biarkan ia selama 2 minit.
Angkat dan hidangkan.



Resipi Ketupat Amiene Rev:

Kupat kaliyan santen
Sedaya ngaku lepat nyuwun pangapunten


Bahan-bahan:
1 kilogram beras
kapur sirih
sedikit garam
3 helai daun pandan

Langkah-langkah:

  1. Cuci beras bersih-bersih dengan air.
  2. Kemudian tapis sehingga habis bersih dibuang semua airnya.
  3. Taburkan sedikit garam dan kapur sirih.
  4. Gaulkan beras dengan bahan-bahan ini sehingga sekata.
  5. Masukkan ke dalam bekas ketupat (3/4 penuh).
  6. Rebus bersama daun pandan.
  7. Sekiranya air berkurang, tambahkan air.
Masukkan ketupat ke dalam air dingin selepas masak dan setelah itu boleh disimpan di dalam peti sejuk supaya tahan lama.