Untuk Hari Ini, Untuk Hari Esok
Dalam dunia ini ada segelintir pelajar yang bermasalah apabila belajar di universiti. Mereka tidak memiliki teman belajar. Mereka tidak ada sesiapa yang dapat membimbing mereka pada waktu mereka benar-benar memerlukan bimbingan.
Hidup mereka penuh dengan tekanan. Mereka merasa diri mereka menjadi beban kepada orang lain. Rakan-rakan sekuliah mereka ramai yang telah tamat pengajian. Golongan ini dikenali sebagai student-extend. Mahasiswa yang belum tamat pengajian.
Mereka merindui rakan-rakan seperjuangan mereka dahulu. Jika dahulu, ketika kawan-kawan mereka masih ada, sekali sekala bolehlah mereka meminta bimbingan mereka. Kini, mereka berharap pada junior-junior mereka sahaja. Ada yang bermasalah dalam akademik kerana faktor kewangan, justeru menjejaskan peluang dan tumpuan belajar mereka. Ada pula yang tersalah memilih bidang yang sesuai dengan kepakaran atau minat mereka, lantaran itu mereka menghadapi masalah dalam memberikan tumpuan terhadap subjek-subjek yang mereka ambil. Ada pula yang sedia mengalami masalah komunikasi, dan tidak dapat bersosial dengan baik.
Golongan ini biasanya mengalami pelbagai kesudahan menyedihkan di universiti. Ada yang berhenti kerana putus asa. Ada yang gagal di pertengahan semester. Ada yang membunuh diri kerana begitu terpaksa. Hilang maruah, penghinaan, rasa rendah diri, dikutuk dan dicerca. Balik ke kampung, menjadi mangsa sindiran dan dipandang dengan sebelah mata.
Mengingatkan hal teman-teman yang bernasib malang ini, aku mengasaskan KBT-KITAB. Tujuannya untuk membantu para pelajar yang tidak begitu bernasib baik. Dengan kempen Gred E Sifar, 100% Keputusan Baik atau cemerlang, aku berharap semua pelajar dapat menamatkan pengajian tepat pada masanya. Tidak ada lagi yang tercicir, kesunyian dan bersedih.
Bukan senang hendak menggerakkan program ini. Dalam usaha untuk menarik ramai pelajar yang bermasalah supaya memberi sokongan terhadap program ini, ada yang tewas, gugur di tengah jalan. Mereka rasa program ini tidak akan berjaya. Mereka rasa tugas ini terlalu berat. Mereka meletak jawatan. Maka tinggallah beberapa orang sahaja di sekeliling aku untuk meneruskan perjuangan yang amat berat ini.
Pada masa yang sama, ada pula mahasiswa yang berfikiran negatif. Mereka yang sudah biasa hidup senang, tidak biasa mengalami kesusahan (lantaran hidup mereka yang serba bernasib baik), dengan mudahnya melontar penghinaan dan kata-kata yang merendah-rendahkan golongan ini. Sebagai seorang pengasas, aku berasa sangat sedih melihat sikap mereka.
Bak kata, jika seorang menteri tidak memandu di jalan raya sebagaimana orang awam memandu di jalan raya, bagaimana menteri itu dapat merasai susah dan sesaknya jalan raya itu pada masa-masa tertentu? Dia bercakap mewakili dirinya, tanpa mengira beban orang lain. Begitu lancar dan mudahnya dia menjatuhkan hukuman terhadap pelajar-pelajar yang tidak bernasib baik itu. Dan, orang ini, junior aku.
Sunyi. Tiupan angin seakan-akan kencang. Menimbulkan bunyi, "Whoosh!!"
Terpegun aku mendengar kata-kata yang keluar dari mulut juniorku ini. Dia yang menyambung dalam bidang Sarjana, sudah memiliki persepsi sedemikian. Aku berkabung seketika untuk itu.
Kemudian, selepas melalui pelbagai cabaran, akhirnya program ini membuahkan hasil. Dengan kerjasama beberapa orang pensyarah dan pihak fakulti, program ini telah berjaya mengumpul beberapa orang pelajar, sekitar 17 orang dan kini jumlah itu telah bertambah kepada 23 orang.
Cabarannya bukan setakat hendak mencari pelajar sahaja, malah untuk mendapatkan tutor juga bukan perkara senang. Konsep program ini tidak sama dengan kelas biasa, aku mahu memupuk konsep-konsep nasihat oleh Luqman Al Hakim, pada masa yang sama mempraktikkan kaedah belajar berkumpulan dengan cara yang betul.
Sepanjang beberapa minggu lepas, aku menghabiskan masa untuk perjuangan ini. Sehingga akhirnya, membuahkan hasil. Semalam dan hari ini aku berehat seketika. Selepas kepenatan dengan tugas ini.
Untuk beberapa hari ini, aku menumpukan tenaga untuk belajar. Bahagian aku patut sudah selesai. Teras sudah disiapkan. Sekarang bergantung kepada rakan-rakan seperjuanganku yang lain untuk menyambung bahagian tugas masing-masing.
Tidak ada lagi yang kesunyian. Tidak ada lagi yang gagal. Tidak ada lagi yang tercicir. Semua orang patut diberi peluang untuk berjaya. Maka Program KBT-KITAB ini, dalam apa jua sekali pun, akan tetap, harus dilaksanakan.
Aku menarik nafasku dalam-dalam hari ini. Menunggu cabaran hari esok.
|