BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, September 10, 2007

Maha Suci Tuhan yang Mengurniakan Ilmu Perubatan Kepadaku Secara Ghaib

Maha Suci Tuhanku yang mengurniakan ilmu perubatan kepadaku secara ghaib. Dan sesungguhnya cuma hamba-hamba-Nya yang mahu memikirkan hikmah di sebalik sesuatu perkara itu, maka dia akan mendapati kebenaran dan kekuasaan-Nya.

Rupa-rupanya kehendak dan naluri semula jadi yang tiba-tiba terbayang di fikiranku ini adalah ubat untuk penyakit yang kuderitai sejak beberapa minggu lepas. Penawar-penawar ini adalah ilham yang diperturunkan kepadaku, supaya aku dapat menyembuhkan kesakitan yang dideritai sejak berminggu-minggu sudah.

Aku harus bersyukur dan menggunakan peluang ini sebaik-baiknya. Moga-moga penawar ini akan menguatkan lagi kepercayaanku kepada kekuasaan-Nya.

Sementara itu, aku telah berjaya menghabiskan dua buah novel setebal kira-kira 600 muka setiap satu. Kedua-dua buah novel ini adalah bahan kajian untuk melengkapkan hasil analisisku terhadap potensi penulis buku yang satu ini, sebelum aku menyempurnakan kaedah 'absorbtion' ke atas kebolehan menulisnya untuk diselaraskan dengan ilmu penulisan sedia ada, seterusnya menjadi lebih hebat dan mengancam lagi. Bak kata, semakin hebat kamu, maka semakin hebatlah aku.

Stratologi pemikiran dari Matahari Terbit turut digunakan, supaya kehadiranku kelak tidak akan dimakan oleh mana-mana penerbit yang menganggap dirinya sebagai Tuhan Penerbit yang menzalimi kreativiti penulis-penulis baru.

Bagaimana seorang penerbit, yang bukan merupakan penulis dalam sesuatu bidang, apatah lagi tidak pernah menulis dalam bidang atau genre tersebut begitu berani mengekang penulis-penulis yang mungkin jauh lebih berbakat daripadanya? Kalau begitu, apa bezanya penerbit ini dengan manusia yang berbeza dengan orang yang mengorbankan ramai manusia berbakat semata-mata menganggap dirinya Tuhan, yang mampu mengawal penulis-penulis baru. Cuba hasilkan karya yang sedemikian bermakna buat dirinya sendiri? Tidak ada satu pun karya demikian terhasil menerusi keringatnya sendiri.

Jika bercakap soal contoh, orang ini gagal menjadikan dirinya sebagai contoh. Dia berkehendak semua penulis menulis sebegitu, tetapi dia sendiri tidak menulis atau berupaya menulis sebegitu. Betapa perit hati para penulis, apabila menyedari diri ini seolah-olah ditipu dengan belenggu penulisan yang nyata tidak wujud, seolah-olah penerbit itu cuba mewujudkan bayangan ketakutan bahawa menulis itu begitu menderita dan terkongkong sebegitu rupa.

Cuma orang yang menulis dalam genre itu akan memahami, betapa ruginya diri ini dan juga masyarakat yang bakal membacanya, apabila kaedah-kaedah yang mencantas kreativiti dipraktikkan. Catatan dan rekaan sejarah tidak dapat difaktakan, kesenian warisan silam tidak dapat digambarkan, dan pelbagai nilai-nilai kemanusiaan seolah-olah luput dalam hasil penulisan. Karya-karya yang dianggap berat, dipadamkan.

Manusia terkapai-kapai cuba memahami rupa dan jiwa yang telah lesu dalam teknik penulisan itu. Cuma ada pemikiran. Akhirnya aku mendapati teknik itu tidak wujud, setelah meneliti berpuluh-puluh karya dari penerbit itu. Tidak wujud satu pun teknik itu. Kadangkala kita harus mengakui kesilapan kita, tidak boleh selama-lamanya mempertahankan sesuatu teknik penulisan yang tidak wujud.

Ini bukan lagi soal reputasi, tetapi masa depan dunia penulisan yang penuh kreatif. Kreativiti terlalu luas, tetapi penerokaannya tiba-tiba dibantutkan. Adakah masa depan sedemikian benar-benar akan wujud? Tiba-tiba aku tersedar dari lena yang dibuat-buat. Ini cuma mimpi ngeri. Masa depan tidak akan berlaku sedemikian.

Untuk beberapa hari ini, sekiranya ahli-ahli jawatankuasaku tidak ada masalah dengan program, maka aku ada masa untuk berehat dan menyembuhkan diri.

Berehat dan berehat. Semasa pemikiranku sedang mengendurkan diri, ketika itu datang suara-suara bisikan.

"Teruskan dengan caramu. Pemberontakan ini tidak wajar."

Kemudian satu lagi suara bisikan yang kedengarannya lembut dan tenang.

"Perasaan tidak menyenangkan ini adalah benar. Kreativiti tidak boleh disekat."

Tetapi aku bimbang sekiranya hasil penulisanku ini nanti dicantas. Maka patutkah aku menanggung penderitaan seperti penulis-penulis terdahulu. Membaca warkah catatan kekesalan mereka sahaja sudah cukup membuatkan aku berlinangan air mata. Sehingga kini, warkah-warkah itu seolah-olah menimbulkan suatu trauma atau fobia untuk aku menulis lagi, sedangkan pada masa yang sama...

Ah! Pemikiran ini cukup membawaku ke alam dilema. Kehendak penerbit yang satu ini menyebabkan aku berdukacita sejak setahun yang lalu. Aku kesal kerana, jika diikutkan hati, mahu sahaja aku meninggalkan penerbit ini. Aku berperang dengan pemikiran dan hati, patutkah aku meninggalkan penerbit ini. Hatiku terlalu sayang untuk berkata, tidak.

Namun, kemudian, beberapa bulan selepas itu, setelah menerima utusan balas daripada seorang penerbit, hatiku tiba-tiba bercahaya semula. Penerbit ini sanggup menerbitkan karya-karyaku.

Dunia penulisanku seolah-olah hidup kembali. Bagiku, yang paling penting bagi seorang penulis ialah gaya penulisannya. Setiap penulis memiliki gaya major atau identiti yang unik.

Sekilas itu juga, pelbagai lintasan minda yang lain hadir.

"Kamu tidak akan bergerak, tidak akan produktif menghasilkan karya sekiranya teknik penulisan itu menyebabkan gangguan konsentrasimu."

"Jangan biarkan syarat-syarat itu terus membelenggu dirimu. Kerisauanmu tentang teknik itu tidak wajar. Jangan terlalu lurus dan jujur untuk mentaati teknik itu."

"Sedangkan Pak Azizi dan Kakanda Faisal juga tidak bersetuju teknik itu."

"Kau tidak akan maju sekiranya terus menerus menyekat dirimu kerana teknik itu. Sedangkan orang yang mengasaskan teknik itu sendiri belum menghasilkan apa-apa karya yang tebal untuk dicontohi. Bagaimana dia boleh mendesak penulis-penulis lain mengikut tekniknya?"

"Yang perlu dilindungi bukan sekadar hakcipta penulis, tetapi kreativiti dan bakat penulisan yang unik, yang ada pada setiap penulis! Bakat-bakat ini seharusnya digilap, bukannya dicantas!"

"Pertahankan hak asasi penulis!"

Amiene Rev, jangan kau ulang lagi kesilapan dahulu. Kerana lembut hatimu, kerana kamu tidak bertegas, kamu hilang hak ke atas masa depanmu!

Tuntut hak kamu! Bawa pendirianmu! Jatuh bangun dengan pendirianmu! Dunia penulisan terlalu luas, pelbagai gaya dan ragam. Jangan kongkong dirimu, jangan berhenti menulis semata-mata teknik tersebut terus menerus menjadi penghalang jiwamu sebagai seorang penulis!

Yang menjadikan seorang penulis itu sebagai penulis besar, bukan penerbit, tetapi dengan ketentuan Tuhan! Kepada-Nya, kamu meminta agar diberi ruang untuk berjaya dalam bidang ini. Jangan mengakui penerbit itu sebagai Tuhan yang menentukan masa depanmu, kerana tidak ada Tuhan selain Allah!

Jangan jadi seperti Hang Tuah, sanggup mematuhi perintah Sultan yang zalim, sehingga mengabaikan keadilan sesama manusia!

Tidak kreativiti hilang di dunia!

Jauhari juga yang mengenal manikam...