BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, September 17, 2007

3 Buah Buku Habis Dibaca

Aku menghabiskan banyak masa 'percutianku' dengan membaca dan menulis. Semalam, selesai sudah sebuah buku. Menjadikan jumlah buku yang yang selesai kubaca berjumlah 3 buah. Setiap buku sekitar 600 muka surat. Aku bercadang untuk mendapatkan buku yang keempat untuk ditamatkan pembacaannya pada minggu ini. Namun judul apa agaknya?

Kaedah absorbtion sudah selesai. Aku tidak sabar-sabar untuk mencuba teknik penulis ini. Aku mendapati pesona penulisan yang tersimpan adalah terletak pada ideanya, bukan bersandarkan kepada teknik penulisan semata-mata. Secara tidak langsung, aku sudah memiliki ramai sifu tidak rasmi.

Aku memiliki kongkongan masa yang tidak selanjar dengan aktiviti atau pertemuan berkaitan penulisan. Hal ini bisa menyebabkan aku hampir kecewa kerana ketinggalan dalam mendapatkan bahan-bahan penulisan secara langsung.

Namun, apa gunanya teknologi internet sekiranya tidak dimanfaatkan. Aku sendiri, memiliki beribu-ribu anak murid yang aku tidak pernah temui di alam benar. Mereka semua menimba ilmu menerusi laman-laman web atau apa sahaja jenis kemudahan berkomunikasi secara siber yang aku sediakan.

Sudah nyata, kewujudan internet sebenarnya sangat berguna untuk dimanfaatkan sebagai alat penyebaran ilmu. Terpulanglah kepada kita, bagaimana kita mahu menggunakannya.

Menulis merupakan satu keseronokan. Namun, kongkongan tugas dan akademik yang berat sebelum ini, mencerut masa lapang yang aku ada. Apabila berpeluang untuk menulis pula, idea-idea datang begitu banyak, seperti binatang ternakan yang meluru keluar dari kandang. Kebebasan.

Idea untuk cerita ini, idea untuk cerita itu, idea untuk novel ini, idea untuk novel itu, idea untuk puisi ini, idea untuk puisi itu, idea untuk haiku ini, idea untuk haiku itu dan seterusnya.

Jika dijudulkan, sudah pasti jumlahnya berpuluh-puluh buah novel. Beribu-ribu watak. Watak utama, watak sampingan. Ya, Allah, betapa kayanya ilham yang mendatang ini.

Minggu ini akan berakhir. Bermakna tamat sudah minggu penulisanku. Aku harus menunggu dua minggu lagi sebelum dapat meneruskan penulisan. Hari ini pun sudah ada panggilan berkaitan dengan tanggungjawabku. Aku perlu balik memantau mereka semua.

Memikul kembali tugas sebagai seorang pengarah, sedikit demi sedikit. Sudah kembali, untuk sibuk.