Sudah Sampai Seru
Akmal mengusik buku-buku di almari. Geram. Dia menyelerakkan semua buku. Berderap-derap buku-buku itu jatuh ke lantai.
"Tidak ada di sini! Sana?" Akmal melaung.
Rozi diam. Dia sedang khusyuk membaca sebuah buku. Hujung telunjuk kanannya dirapatkan ke satu halaman buku yang dilihatnya. Rozi meleretkan hujung jarinya, satu demi satu perkataan yang tertulis pada buku tersebut.
"Rozi! Baca apa lagi! Kita dah lambat!" Akmal melaung lagi. Akmal geram melihat sikap adiknya.
Rozi seolah-olah tidak mendengar laungan Akmal. Dia terus memandang halaman-halaman di dalam buku aneh tersebut dengan mata terbeliak besar.
"Nien they oo. Vispuden amaho. Kuthien asma!" Rozi membaca ayat-ayat tersebut dengan senada.
"Itukah bukunya?" Soal Akmal, perlahan. Berdebar hatinya, apabila adiknya kelihatan lain daripada kebiasaannya.
Tiba-tiba langit berubah mendung. Cahaya yang tadi terpancar masuk ke dalam tingkap bilik perpustakaan itu tiba-tiba semakin pudar dan menghilang.
Guruh berdentum!
"Ah!" Akmal yang sedang berdiri di atas kerusi terjatuh. Kerusinya terbalik. Dia mengaduh kesakitan. Rozi seolah-olah dipukau.
Langit seolah sedang saling tembak-menembak. Bunyi dentuman guruh amat mengecutkan jantung sesiapa yang mendengarnya. Angin tiba-tiba bertiup dengan sangat pantas.
Rozi melihat keluar tingkap. Akmal bangun perlahan-lahan lalu menuruti adik perempuannya. Langkahnya tidak seimbang, rasa sakitnya tidak ketara. Kerusi itu rendah sahaja. Permaidani berbulu tebal itu membantu menyerap hentakannya ketika jatuh.
Mereka memandang ke luar tingkap. Memandang ke langit. Langit seolah-olah terbelah dua. Simbol-simbol aneh terpancar di merata-rata, seolah-olah tulisan bercahaya di dataran langit yang gelap.
"Mereka dah datang!" Rozi memandang abangnya. Rupanya tenang sahaja.
Akmal kebingungan.
Nota: petikan daripada salah sebuah novel thriller Amiene Rev (C) 2007.
|