BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, September 11, 2007

Aku kini serius menulis Novel Thriller

Gambar hiasan: Siapa yang mahu percaya dalam dunia
ini ada khinzir hutan yang sebesar ini?


Aku cuma ada beberapa hari, sebelum kembali sibuk dengan soal-soal akademik. Sebenarnya dalam jangka masa beberapa hari ini juga, tidak mustahil untuk aku diganggu dengan soalan-soalan berkaitan dengan program yang diadakan.


Melupakan seketika tugasan itu,

Cuma dalam jangka waktu ini, aku cuma boleh katakan, peluang telah diberikan kepada anda semua, wahai mahasiswa dan mahasiswi sekalian. Anda tidak mahu rebut peluang, saya tutup pintu dan meneruskan kerja-kerja saya. Siapa yang berkaitan, sila bertemu dengan tutor anda.

Jangan tunggu sehingga peperiksaan akhir sudah hampir, baru datang hendak menelefon saya. Anda gagal, anda ditendang keluar dari universiti, itu kehinaan anda. Saya sudah menjalankan apa yang sebenarnya tidak perlu saya lakukan. Peluang yang saya berikan untuk anda semua, telah anda sia-siakan. Cukuplah dengan beberapa kumpulan setakat ini. Selamat berjaya semua, selamat berjaya kepada diri saya juga.


Penulisan novel pun bermula,

Tanganku, makin lama, makin pantas mengetik petak-petak abjad. Menyusun jalan cerita. Memperincikan watak-watak. Melaksanakan mod suasana. Mengatur dialog dan perasaan. Merancang plot-plot, permulaan dan penamat.

Ketika ini, aku bagaikan rama-rama di dalam kokun. Aku tidak peduli lagi, sebarang kemusnahan yang bakal berlaku terhadap umat manusia. Aku tidak ambil kisah sebarang masalah manusia. Bagi aku, peluang yang telah diberikan sudah cukup setakat ini. Mereka terlalu angkuh, malas dan meremeh-remehkan usahaku, maka biarkan mereka dengan masalah mereka.

Aku akan terus memburu kejayaan yang sepatutnya menjadi milikku.

Ketika ini, beratus-ratus plot cerita dan gambaran idea novel menerjah mindaku. Semua tajuk, semua sinopsis ini seperti jelmaan bayang-bayang yang hidup meminta aku menulis kisah masing-masing. Mereka bagaikan makhluk yang kelaparan, menyeringai menampakkan taring-taring yang seperti duri durian, mata yang terbeliak garang, terbang mengamuk sambil melaung-laung:

"Tulislah aku!" Satu suara kedengaran, suara seorang lelaki, garang sekali.

"Tulislah aku..." Satu lagi suara lelaki tua yang lemah seakan-akan memohon simpati.

"Aku! Akulah karya sulungmu!" Satu lagi suara seolah-olah makcik tua berleter menyapa telingaku.

"Eh, akulah! Aku karya pertama yang kau ilhamkan dulu. Kau sudah lupa?" Kemudian suara seorang gadis becok kedengaran.

"Amiene Rev, budi harus dibalas." Satu suara yang agak tenang melenyapkan kesemua suara karya itu.

Ya, aku faham sekarang. Aku mahu membalas jasa Kak Aina Emir. Aku akan menulis karya yang ini! Karya yang aku janjikan untuk penerbit itu.

Karya Novel Thriller!

Ketik! Ketik! Ketik! Petak-petak abjad itu kuketik lagi. Semakin lama, semakin pantas dan laju. Kelajuan yang luarbiasa. Mataku seolah-olah memutih, dan kelihatan gambaran jalan cerita, berimaginasi di ruang dahi dan ubun-ubunku. Aura merah memancar dari tubuhku.

Malam itu, bulan mengambang di luar tingkap. Di atas sebatang dahan itu, kelihatan satu lembaga memerhati seorang penulis yang sudah mula nekad menulis novel. Lembaga umpama manusia itu badannya sungguh kurus, mata merahnya memincing memandangku, sambil tersengih menampakkan barisan gigi hitamnya.

"Ramadhan sudah hampir!" Makhluk itu melihat bekas belenggu rantai yang melebam di kedua-dua belah lengannya. Membayangkan betapa seksanya menanti hari yang pasti akan tiba lagi.