BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Januari 29, 2007

KITAB: Cabaran beroperasi tanpa bilik operasi

"Dua orang yang berbeza usia, berbeza pandangan, berbeza pemikiran. Seorang presiden persatuan yang ingin membangunkan persatuannya, seorang lagi adalah si Penulis Blog yang ingin memastikan wujudnya Program Khidmat Tutor Percuma untuk Anak-anak Desa Bakti. Demi mencapai impian masing-masing, kedua-dua insan ni bergabung tenaga. Aku bantu engkau membangunkan persatuan kau dan kau akan bantu aku mencapai hasrat aku. Asasnya sudah ada, namun pelaksanaannya penuh cabaran. Tanpa bilik operasi persatuan, hal ini menimbulkan banyak cabaran. Ini menuntut si Penulis Blog untuk membuat pakatan baru, menemui penasihat PMP untuk mewujudkan kerjasama, demi kebaikan semua pihak."

Hari ini aku menunggu laporan statistik Excel daripada sang Presiden. Namun tidak ada apa-apa keputusan. Aku memerlukan data-data tersebut untuk perbincangan dengan penasihat PMP. Petang itu, aku ke biliknya untuk mendapatkan data, selain mencetak kertas kerja yang dikemaskini untuk penggabungan dua persatuan. Perlu ada wakil daripada dua persatuan, memandangkan program KITAB ini boleh dikatakan sebagai anjuran bersama dua persatuan pelajar. Namun mesin pencetak ada masalah.

Ketika itu, datang pula seorang junior yang memang terkenal dengan kebiadabannya. Juga dari Fakulti Pendidikan. Mulutnya tidak habis bercakap itu dan ini. Aku memang tidak menyenangi orang ini. Cakap lepas, jarang sekali dia berfikir. Jika dia berfikir, jika dituang menjadi lopak air berudu pun tergolek-golek. Ketika kami berdua sedang sibuk berurusan dengan mesin pencetak yang degil. Dia pula sibuk bercakap soal dirinya. Entah apa-apa. Apabila mendapati kami tidak melayannya, dia mula menyampuk perbincangan kami. Orang seperti ini memang membosankan.

Dia mengatakan, program KITAB ini sepatutnya diberikan kepada pelajar-pelajar Fakulti Pendidikan sahaja, pelajar-pelajar LADS pula sebagai penaja wang dan makanan. Merah telinga sang Presiden mendengar kata-kata makhluk itu. Sang Presiden bimbang aku akan terpengaruh dengan kata-kata rakannya. Aku sebenarnya hairan kenapa makhluk ini boleh menjadi rakannya.

"Memang KITAB boleh dilaksanakan tanpa LADS. Asalnya program ini hendak dibuat menerusi Kelab Penyayang atau PMP, tetapi aku mahu menolong menghidupkan LADS. Sebab itu KITAB dibuat menerusi LADS." Aku menenangkan keadaan. Sang Presiden telinganya masih kekal merah. Marah dengan sikap makhluk yang maha biadab itu.

Sang Presiden ini, aku harap, perlahan-lahan dapat membentuknya menjadi orang yang beradab. Dahulu sebelum dia menjadi Presiden, memang perangainya... Ya. Namun aku bersyukur dia sudah berubah menjadi lebih baik sekarang. Aku ingat apa yang aku katakan kepadanya dahulu.

"Kau sekarang kena berubah menjadi lebih beradab dan berbudi bahasa. Tidak boleh bersikap biadab seperti dahulu. Dahulu kau pernah kata diri kau hipokrit, tetapi kau harus ingat. Berbudi bahasa bukan suatu sikap hipokrit tetapi adalah satu bentuk tanggungjawab sosial. Walau pun kau rasa itu bukan diri kau yang sebenar, tetapi jika niat kau untuk menjaga hati orang lain, maka kau adalah benar. Itu bukan hipokrit, tetapi tanggungjawab kau untuk menjaga hati orang lain. Tidak ada sebabnya kau harus berlaku biadab bukan?"

Kata-kata ini aku tujukan kepada dia. Kerana sememangnya dahulu sang Presiden ini memang agak teruk perangainya. Dahulu aku nyaris-nyaris mahu meninggalkannya selepas mendapati dia sukar diubah perangainya. Kecil hati dengan cara dia melayan orang. Bak kata, manusia yang biadab selalunya akan rapat dengan orang yang biadab juga. Namun sang Presiden ini, ada satu sifat terpendam dalam dirinya, yang aku fikir, aku boleh mengubahnya. Sebab itu aku biarkan sahaja dia berkawan dengan aku. Sebab aku yakin, suatu hari nanti, Tuhan akan buka hatinya. Barangkali pertemuan kami dahulu, yang secara kebetulan adalah kerana ini. Sekarang, patut sudah tiba masanya untuk dia berubah. Bukan lagi hipokrit, tetapi jadikan sifat yang dikatakannya sebagai hipokrit itu sebagai sifat asalnya. Perubahan sifat.

"Kau sekarang adalah Presiden. Pemimpin pelajar Fakulti engkau. Engkau harus belajar berkorban. Harus belajar tanggungjawab sosial."

Oh ya, cabaran paling getir adalah ketiadaan bilik operasi. Hal ini melembabkan sikit proses pelaksanaan program. Persatuan ini telah sekian tahun mati tanpa operasi. Ketua Jabatan sudah tidak menaruh harapan terhadap persatuan ini. Oleh itu, persatuan ini menghadapi banyak masalah. Masalah untuk mendapatkan tajaan, masalah untuk mendapatkan sokongan, masalah untuk mendapatkan publisiti, masalah untuk mendapatkan kelulusan, masalah untuk mendapatkan ahli jawatankuasa. Apa-apa yang dibuat boleh menimbulkan spekulasi.

Ya, Tuhanku. Cabaran ini amat besar. Aku tahu mungkin ramai yang mempersoalkan kenapa aku masih memilih LADS, bukannya PMP. Kenapa pula aku tidak melalui junior-juniorku yang berdua itu? Mereka adalah anggota MPP. Sebab, sebab aku mahu lihat potensi LADS sebagai persatuan yang mahu bangkit setelah tidur yang lena.

Hari ini aku terfikirkan satu idea. Bagaimana mahu menangani masalah bilik persatuan. Aku melihat baki sampul surat yang belum digunakan di bilik aku. Selain penggunaan Yahoo Messenger dan e-mel untuk berbincang, kami juga akan menggunakan sampul surat dan peti surat untuk urusan yang memerlukan bahan bercetak. Ya, bukan semua pelajar memiliki mesin pencetak. Aku juga belum ada mesin pencetak.

"Kenal ini?"

"Sampul surat?"

"Mulai hari ini, kita akan berurusan menerusi sampul surat. Sebarang laporan atau kertas kerja yang memerlukan cetakan, setelah dicetak, tuliskan nama saya, kemudian masukkan ke kotak surat bernombor 31. Saya akan mengutipnya pagi esok untuk mesyuarat selanjutnya."

Jadi, kami tidak perlu bertemu sekiranya ada halangan dari segi jadual kuliah dan aktiviti lain. Apakah idea ini? Ya, idea menggunakan sampul surat dan peti surat di kolej. Kami kini akan memiliki bilik operasi yang sangat kecil. Sekecil sarang tikus, tetapi kami bukan berhati tikus!