BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Januari 26, 2007

KITAB: Matlamat terlaksana dalam diam...

"Dua orang yang berbeza matlamat, seorang presiden yang mahu menghidupkan kembali persatuannya, seorang lagi pelajar dari Fakulti Pendidikan yang mahu mewujudkan Program Khidmat Tutor Percuma Untuk Anak-anak Desa Bakti. Program itu melalui banyak cabaran dan spekulasi, dipercayai tercetus angkara adanya anasir-anasir bermotifkan kepentingan diri sendiri daripada pihak yang kalah dalam pilihan raya. Namun kini, si Penulis Blog telah berjaya mendapatkan satu lagi pakatan untuk mengukuhkan program KITAB ini. Moga-moga Tuhan akan buka mata sesiapa yang menyertai program KITAB, agar terbuka hati mereka untuk membentuk keperibadian yang lebih baik..."

Ini ada sebuah kisah. Diceritakan oleh salah seorang anggota KITAB terawal...

Semasa hari mengedarkan borang soal selidik hari tu, dia dan seorang rakannya ini menemui seorang anak warga Desa Bakti yang bermain di tepi jalan, berdekatan dengan rumahnya, seorang diri. Budak itu usianya dalam 10-11 tahun.

"Adik, boleh bagi borang ni dekat emak?"

"Emak dah tak ada." Terkedu anggota KITAB ini mendengarnya.

Katanya, sehingga ke hari ini, kata-kata anak warga Desa Bakti itu, memberi kesan yang mendalam terhadap dirinya. Semacam ada satu kesedaran dan keinsafan.

Ya, inilah yang aku mahukan menerusi program ini. Aku mahu setiap mereka sedar akan sesuatu, yang dapat mengubah jiwa mereka.

KITAB telah menunjukkan objektifnya bermula dari pengedaran borang soal selidik lagi. Moga-moga kesan ini akan membantu setiap anggota KITAB untuk muhasabah diri dengan lebih baik.

Hari Isnin ini, aku akan bertemu dengan salah seorang Penasihat PMP untuk mesyuarat antara dua pihak. Topik utamanya sudah semestinya berkaitan dengan tapak program KITAB. Untuk menampung maksimum 80 orang. Bilangan tutor sudah mencapai tahap minimum, iaitu sekitar 15 orang. KITAB sudah semakin dekat dengan tarikh pelaksanaan.

Pasti... akan berlangsung! Harapan warga Desa Bakti akan tertunai dan kebangkitan LADS semakin hampir.