Ulasan Buku: Mengapa Kanak-kanak Sukar Belajar?
Anugerah Peribadi Amiene Rev 2006
Judul Buku: Mengapa Kanak-kanak Sukar Belajar?
Kategori: Buku Psikologi Pendidikan Terbaik 2006
Sub Kategori: Pendidikan Khas
Penulis: K.A Razhiyah
Penerbit: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Dua hari yang lalu saya pergi mengeluarkan duit di sebuah mesin ATM Bank Bumiputra. Terlalu ramai orang. Apa yang menarik perhatian saya ialah seorang kanak-kanak yang saya duga adalah seorang kanak-kanak sindrom down. Ini berdasarkan sifat fizikalnya, tingkah lakunya, cara percakapannya dan reaksinya terhadap sesuatu. Semalam, 10 Januari 2007, saya pergi ke sebuah kedai buku di universiti, dan di situ saya menemui buku yang berjudul “Mengapa Kanak-kanak Sukar Belajar?”. Saya sangat jarang membeli buku-buku yang dibalut dengan plastik, melainkan ada sampel untuk dibelek-belek. Buku ini tidak dibalut dengan plastik, justeru saya mengambil peluang untuk membacanya. Sudah menjadi kebiasaan saya, untuk membaca separuh atau sehingga habis sesebuah buku itu sebelum membelinya. Ini untuk memastikan isi kandungannya adalah menarik, berkualiti dan sesuai untuk dijadikan koleksi. Saya tertarik dengan buku tulisan K.A Razhiyah ini, lantas saya membelinya.
Saya pernah membaca banyak buku berkaitan psikologi pendidikan. Perkara yang paling saya cari apabila membaca buku-buku sebegini ialah masalah pembelajaran dan cara untuk mengatasinya. Masalah seperti disleksia, hiperaktif dan sindrom down adalah antara jenis-jenis masalah pembelajaran yang paling menarik perhatian saya.
Apakah yang menyebabkan saya memilih untuk membeli buku ini? Apa pula yang menariknya dalam buku ini. Pertama, saya dapati gaya penyampaiannya dapat menyentuh hati saya. Setiap helaian yang saya tatap, dapat membuatkan saya mengimbas kembali kenangan saya semasa mengajar di sekolah-sekolah, di Rumah Barkat dan di tempat-tempat yang lain. Kadangkala hati saya rasa terharu, hiba dan rindu akan kenangan silam ini. Seolah-olah saya pula yang menulis buku ini, seolah-olah buku ini memahami isi hati dan luahan seorang pendidik dan anak muridnya.
Ini buku yang saya cari-cari selama ini. Buku ini sesuai dibaca oleh semua golongan. Saya anggap buku ini sebagai Buku Wajib Baca bagi para pendidik, para ibu bapa, Menteri Pendidikan, para pelajar dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam dunia pendidikan.
Buku ini mendedahkan banyak perkara sehingga mungkin ada yang akan bersuara di dalam hati, “Eh, yakah? Adakah budak bermasalah seperti ini? Patutlah anak aku tak pandai-pandai, rupanya dia ada masalah pembelajaran. Banyak betul jenis-jenis pembelajaran ya? Aku ingatkan kalau dia tak pandai membaca dan mengira tu, maksudnya dia tak pandai langsung tetapi rupa-rupanya dia ada bakat lain yang aku tak dapat kesan. Tak sangka aku, anak aku ni ada bakat terpendam rupanya.”
Bab yang paling saya sukai ialah Bab 6, Bab 19, 20 dan 21. Dalam bab ini ada panduan bagaimana ibu bapa boleh membantu anak mereka yang mengalami masalah pembelajaran untuk mencari bantuan untuk menyokong anak-anak mereka dalam bidang akademik. Ini yang perlu didedahkan kepada semua ibu bapa dan guru.
Bagaimana pun, sebagaimana setiap anak ada kelebihan dan ada pula kekurangannya. Buku ini juga ada kelemahannya. Saya berharap penulis akan meletakkan rujukan bagi setiap fakta yang ada di dalam buku ini untuk memudahkan rujukan pembaca. Contohnya ada disebut mengenai undang-undang berkaitan pendidikan khas dalam mukasurat 43. Undang-undang apakah itu? Harap dapat dinyatakan dalam cetakan seterusnya. Begitu juga akta dan apa-apa maklumat tambahan yang boleh membantu para pembaca yang menghadapi masalah berkaitan dengan pembelajaran. Ini sahajalah kelemahan yang saya harap dapat diperbaiki. Namun begitu, kekurangan ini tidak menjejaskan minat saya untuk membeli buku ini sebab banyak panduan yang berguna, selain kisah-kisah benar mengenai bagaimana orang yang menghadapi masalah pembelajaran boleh berjaya, malah lebih cemerlang berbanding orang yang ‘biasa-biasa’.
Seterusnya pada Bab 21, saya hampir-hampir menitiskan air mata apabila membaca contoh kejayaan seorang anak yang dikatakan memiliki IQ rendah, tetapi berjaya meraih banyak kejayaan selain mendapat kepercayaan dan pujian daripada majikannya. Kenapa saya rasa terharu sehingga mahu menitiskan air mata, hanya mereka yang bergelar pendidik, pasti faham perasaan ini. Apa lagi yang seorang pendidik mahukan daripada anak didik mereka, selain melihat anak-anak ini keluar dari cangkerang keras, seperti rama-rama yang bersusah payah untuk keluar dari kepompongnya, kemudian menjadi serangga yang sangat cantik, berterbangan bebas di udara. Ini adalah Buku Wajib Baca yang sangat sesuai dijadikan koleksi. Terima kasih, K.A Razhiyah kerana menulis buku ini. Buku ini akan menjadi rujukan peribadi saya untuk berhadapan dengan pelajar-pelajar yang bermasalah dalam pembelajarannya. Apa yang dinyatakan dalam buku ini selari dengan pendirian saya, tidak ada anak yang dilahirkan bodoh kerana semua anak di dunia ini mempunyai bakat yang terpendam. Asalkan bakat itu berjaya dicungkil, maka ramai genius dan tokoh dalam pelbagai bidang akan dilahirkan untuk membangunkan negara. Semua pihak harus buka mata. Di sini ingin saya petik salah satu tulisan yang menyentuh hati saya dan elok dijadikan sebagai pulang paku buah keras terhadap mereka yang sering mengejek dan memandang rendah golongan bermasalah pembelajaran ini:
“Jangan sesekali beranggapan apabila anda bermasalah pembelajaran, anda adalah seorang yang bodoh. Anda silap! Sesiapa yang mengatakan anda bodoh, sebenarnya mereka sendiri yang bodoh. Bodoh kerana mereka tidak mengenali, tidak memahami dan tidak pernah berusaha mengenal siapa diri anda. Lebih-lebih lagi, bodoh kerana mereka tidak mempunyai ilmu bagaimana hendak berurusan dengan anda.”
Maafkan saya, sudah menjadi identiti, untuk tidak menulis kekurangan buku atau filem di dalam blog sebab saya takut hasil tulisan saya ini akan menjatuhkan hasil jualan sesebuah produk karya. Namun bagi, blog, saya akan kritik terang-terangan, terutama bagi blog yang banyak merosakkan Bahasa Ibunda. Sebab itu setakat ini, bagi karya-karya komersil seperti filem Bilut dan Rempit, cuma kebaikannya sahaja banyak saya ulaskan. Jika mahu saya kritik filem-filem tersebut, tunggulah sehingga tamat tayangannya di panggung. Ketika itu saya boleh mengkritik filem tersebut daripada aspek seorang penonton filem jika filem itu benar-benar menjengkelkan atau mengecewakan. Bagi produk buku pula, jika ada kelemahan yang ketara, saya akan poskan kepada tuan punya karya apabila diminta. Namun untuk buku ini, tidak ada kelemahan yang ketara. Itulah sebabnya buku ini berjaya memenangi Anugerah Peribadi Amiene Rev bagi Kategori Buku Psikologi Pendidikan Terbaik 2006. Sekian sahaja ulasan saya mengenai buku “Mengapa Kanak-kanak Sukar Belajar?” tintaan K.A Razhiyah dari PTS Profesional Publication Sdn. Bhd. Akhir kata, ingatlah, kalau anda kata anak anda bodoh, andalah si bodoh yang sebenar-benarnya, bukan anak anda.
Pada masa akan datang, jika masa mengizinkan, saya berharap dapat mengulas dua lagi filem yang berjaya menambat hati saya untuk tahun 2006, iaitu filem Cinta dan Cicakman. Saya menonton kedua-dua filem ini bersama keluarga dan kedua-dua filem ini adalah filem perintis yang akan membawa kegemilangan baru dalam dunia karyawan filem Malaysia. Ada sesuatu dalam filem Cinta yang buat saya ingin kirimkan terima kasih kepada penulis skripnya, pengarahnya dan para pelakonnya. Sesuatu yang berkaitan dengan realiti kehidupan, hubungan yang bertambah baik antara dua insan yang termotivasi selepas menonton filem Cinta. Siapa sangka, filem Cinta ada kuasa yang sedemikian istimewa. Ini tidak mustahil apabila suatu karya itu didalangi ilmu yang berguna dan teknik penceritaan yang berkesan. Inilah kehebatan filem.
|