BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Januari 17, 2007

Dan Bermulalah Episod Ini


Malam ini aku berlapar. Sebab petang tadi aku gunakan wang untuk bermain boling. Peningkatan mendadak hari ini. Aku sempat mendapat tunjuk ajar tidak rasmi daripada salah seorang jurulatih kebangsaan.

Ini adalah suatu perjanjian. Jika wang itu kau gunakan untuk tujuan, maka pastikan kau memiliki gantinya. Aku bercakap dengan diri aku sendiri. Tidak dengan orang lain.

Maka malam ini aku berlapar. Banjir. Hujan tidak lagi kelihatan hari ini. Kesedihan, kesunyian dan kebosanan menjadi peneman yang cukup setia. Rindu terhadap diri ini. Aku ingin mengarang sebuah seni kata namun... biarkan sahaja. Biarkan sahaja seni kata itu bermain dalam hatimu. Takkan dapat diperjelaskan dengan perkataan sekali pun. Lalu, dengan cara apakah dapat aku tuliskan di sini. Sekadar memperturunkan kalam yang tersembunyi di dalam hati yang belum kunjung mati mengingatimu...

Jasad-jasad di dalam tanah
Adakah kalian kesejukan?
Adakah kalian menggigil?
Adakah kalian tercemar dicalit lumpur?

Jasad-jasad di dalam tanah
Bagaimana dapat kalian bernafas
dalam keadaan ditenggelami air?
dalam keadaan gelap gelita tanpa cahaya?

Ingin kupayungi pusara kalian
dengan payung-payung
namun cuma daripada kertas berlilin
atau wajarkah kugunakan krayon ini
menghiasi payung-payung itu

Air telah masuk ke liang-liangmu
Adakah sudah kembung perutmu?
Bocorkah paru-parumu dihimpit tanah
yang makin termendap?

Lalu cuma aku boleh memohon kepada-Nya
agar tamatkan bencana ini

Sekalian orang akan tamat jiwanya
Moga hidup ini sentiasa disaluti kebahagiaan
dalam kehidupan yang tiada penghujungnya ini.