BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Januari 21, 2007

Kebangkitan Semula LADS


"Dua orang warga UTM. Seorang presiden persatuan yang ingin menghidupkan persatuannya. Seorang lagi pelajar yang ingin cita-citanya mewujudkan Program Khidmat Tutor Percuma Untuk Anak-anak Desa Bakti dijayakan dalam apa cara sekali pun pada tahun 2007. Kini, kedua-duanya bersua muka, bergabung tenaga, demi mencapai matlamat masing-masing."

Setakat ini borang-borang soal selidik telah diedarkan, untuk melihat berapa ramai peserta yang boleh menyertai ini. Sekitar 10 orang ahli dari LADS bersama aku mengedarkan borang soal selidik kepada seluruh warga Desa Bakti.

Gembira aku, melihat adanya beberapa orang yang berminat dengan program ini. Sebaik-baik sahaja aku dan Presiden LADS selesai mengedarkan borang terakhir, hujan rahmat turun rintik-rintik. Beberapa orang siswi pula sudah mula mendapat anak murid tidak rasmi. Amboi... tersenyum aku.

Borang-borang yang telah diisi akan diserahkan kepada penghulu desa. Kemudian pelaksanaan terus akan berlangsung. Penat memang penat. Semalam kelas sehingg pukul 9 malam. Hari ini kelas dari pukul 8.00 pagi hingga 4.00 petang. Habis kelas terus aku menghadiri mesyuarat mereka. Kemudian selepas solat Asar, borang soal selidik diedarkan. Maklum balasnya sangat positif. Syukur...

Ya, Tuhanku. Moga-moga program ini akan berjaya. Aku cadangkan nama program ini Kitab. Program Khidmat Tutor Percuma Untuk Anak-anak Desa Bakti - KITAB. Ini nama sementara, jika tidak ada nama lain, maka kekallah nama ini.

Namun pasti akan ada rintangan lain. Cabaran lain. Aku harap akan berjaya, dengan kerjasama daripada LADS, program ini akan berjaya. Jika berjaya, maka sudah tamatlah ketiga-tiga objektif aku tahun ini. Dan...

Aku sudah boleh menulis tesis dengan hati yang tenang.

Ya Tuhanku. Dekatkan kepada kami, orang-orang yang jujur, ikhlas dan berilmu, moga orang-orang ini dapat membantu dalam menjayakan KITAB. Wujudkan kesedaran yang tinggi terhadap warga Desa Bakti UTM, semoga mereka mahu merebut peluang ini dan berilah kepada kami sokongan daripada pihak UTM, moga ada tapak yang sesuai menjayakan program ini. Ubahkanlah hati para mahasiswa UTM, agar hati mereka telus dan jujur untuk turut serta dalam program ini. Moga-moga program KITAB ini akan membawa kebaikan untuk semua.

Ya Tuhanku. Program kami ini bermula tanpa sesen wang pun. Moga-moga Kau permudahkan urusan kami untuk melaksanakan program KITAB ini. Moga-moga ada sumber yang halal agar dapat dimanfaatkan untuk memberi pendidikan percuma dengan lebih berkualiti kepada anak-anak Desa Bakti ini. Aku mohon kepadamu, agar program ini diberkati dan dijauhi dari segala kekacauan, konflik dan bencana. Moga berjaya menghasilkan insan-insan berintelek dan berperibadi mulia, tidak kira daripada golongan mahasiswa atau pun anak-anak Desa Bakti, mahu pun sesiapa sahaja yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak.

Amin.