BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Januari 10, 2007

Suasana Tempat Tinggal Yang Baru

Sudah beberapa bulan aku tidak menulis di sini. Dalam tempoh itu banyak peristiwa yang berlaku. Aku gembira apabila dihadiahkan bola bowling oleh seorang pemain bowling yang pernah mewakili Kelantan. Aku juga gembira kerana sekarang aku sudah boleh menaip dengan bebas di komputer riba. Rupa-rupanya apabila ayahku berpencen, dia mendapat bonus empat bulan gaji, patutlah begitu banyak.

Namun sekarang aku sudah wajib untuk menyimpan wang sebab sehingga bulan Mei atau Jun ini, ayahku tidak akan mendapat sesen wang untuk menyara keluarga. Berita terbaru hari ini, aku sudah memulakan semester baru pengajianku. Juga, aku menerima e-mel daripada Presiden Kelab Penyayang, untuk menemuiku.

Ya, kalau begitu tidak sia-sia aku menulis sesuatu di blog. Sekarang nampaknya sudah ada organisasi yang boleh bekerjasama untuk meneruskan lagi perjuangan ini. Dahulu aku termenung melihat Desa Bakti di belakang kolej. Hari ini aku harap dengan adanya sokongan dari organisasi ini, dapat berbuat sesuatu.

Junior-juniorku yang dua orang itu telah berjaya menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar. Aku harap dapat menggunakan peluang ini untuk melaksanakan dua cita-cita yang telah lama aku pendam. Program pendidikan khas untuk anak-anak Desa Bakti. Aku harap usaha ini akan disertai oleh pelajar-pelajar Fakulti Pendidikan, seterusnya menyemai rasa prihatin dan penyayang di kalangan junior-juniorku yang bakal bergelar pendidik. Ya, Tuhanku, besar harapanku agar program ini berjaya dilaksanakan tahun ini, sebelum aku meninggalkan pusat pengajian ini.

Juga, aku tidak perlu lagi mengeluarkan wang simpanan untuk berkunjung ke Rumah Barkat, apabila sudah mendapat pengangkutan percuma nanti. Dengan jadual malam yang lebih selesa. Tahun ini aku memutuskan untuk menghadiri kelas hujung minggu sahaja. Oleh itu aku ada waktu lapang pada hari Isnin hingga Jumaat. Selain itu aku akan memulakan projek penulisan tesisku. Bahagian pertama dalam tahun 2007 menjadi cukup sibut buat diriku.

Berita selanjutnya, aku tidak lagi tinggal di bilik berinternet. Membazir sahaja. Nasib baik pengurus asrama yang baik dan berbudi bahasa itu memberikan aku bilik yang baik. Yurannya jauh lebih murah. Dengan ini aku ada wang untuk melaksanakan projek penulisan tesisku. Alhamdulillah, syukur kepada Tuhan kerana mengenalkan aku dengan ramai orang yang baik-baik.

Aku membeli sebuah buku keluaran PTS hari ini. Tajuknya Mengapa Kanak-kanak Sukar Belajar? Penulisnya ialah K.A Razhiyah. Buku ini aku beli kerana aku harap dapat mempermudahkan lagi proses pengajaranku di Rumah Barkat. Pada hari yang sama, kebetulan pula aku menerima e-mel daripada Presiden Kelab Penyayang. Begitu banyak kebetulan, ya? Rata-rata buku yang aku beli adalah buku bertemakan pendidikan keluaran PTS. Seperti yang pernah aku tuliskan sebelum ini, aku berminat dengan hasil tulisan Pn. Ainon Mohd sejak zaman kanak-kanak lagi.

Tidak lama lagi, seorang penulis buku dari PTS akan mengirimkan dua buah buku novel beliau kepadaku untuk diulas. Ya, perlu aku beritahu polisi pengulasan buku atau filem yang aku terbitkan di blog ini. Aku tidak akan menceritakan keburukan dengan nyata, seperti mana Bilut, Rempit dan sebagainya. Ini sebab setiap filem atau buku yang aku ulas itu adalah salah satu tujuan untuk membantu mempromosikan hasil kerja karyawan Malaysia. Jika ada yang buruk, itu akan aku tuliskan secara peribadi kepada empunya. Tidak akan disiarkan sepenuhnya di dalam blog ini. Namun, sudah pasti, setiap buku atau filem yang diulas dalam blog ini, bukan calang-calang filem. Aku tidak akan mengulas filem yang aku rasa tidak menarik minatku. Malah jika ada buku-buku yang diulas di sini, itu bermaksud penulis buku tersebut betul-betul berminat untuk meningkatkan kualiti penulisannya supaya dapat memenuhi kehendak hati pembaca. Oleh itu kita sewajarnya memberi sokongan kepada penulis-penulis ini.

Terima kasih kepada penulis-penulis yang sudi mengirimkan buku kepadaku. Aku akan mengulas buku-buku kalian setiap kali ada kelapangan. Tanpa internet, aku akan jarang-jarang menulis. Namun aku akan pastikan setiap yang dipos di dalam blog ini, ada mesej dan nilainya.

Terima kasih kepada semua pengunjung dan pembaca blog Duke Amiene Rev.