Hidupkan Dia Kembali Dan Hasratku Pasti Tertunai
Hari ini aku mengambil Ujian Personaliti. Matlamat aku ada dua. Pertama, aku mahu mengetahui kaedah ujian ini dilakukan. Hasilnya bagaimana? Kedua, aku mahu merekrut lebih ramai sukarelawan untuk membantu misi aku. Kini aku sudah melihat laluan antara aku dengan Kelab Penyayang. Sayang sekali yang menghubungi aku itu adalah bekas presidennya. Jadi aku perlu menyerap masuk ke dalam kelab itu, dan kemudian mendapat individu-individu yang boleh membantu untuk memberi kesedaran terhadap anak-anak yatim di Rumah Barkat. Kesedaran terhadap kepentingan pembelajaran. Ujian Personaliti banyak gunanya, banyak faedahnya.
Orang yang melaksanakan ujian itu seorang gadis India. Senang sekali kami berurusan. Dia menyatakan keinginan untuk melibatkan dalam kerja-kerja kebajikan seperti ini. Syukur, aku sudah dapat seorang calon untuk menjayakan hasrat ini.
Orang-orang yang berada di bawah Kelab Penyayang terhad. Aku tidak boleh mengganda-duakan aktiviti mereka. Tambahan pula aku ini masih berstatus individu, orang luar. Aku perlu mencari pakatan yang lebih kuat untuk menjayakan satu lagi cita-cita aku. Program Khidmat Bakti di Desa Bakti. Sepanjang tahun lalu, aku sering merenung, melihat anak-anak staf bermain-main di padang permainan yang terhampar di situ. Aku perlukan sokongan daripada organisasi untuk melaksanakan khidmat menabur ilmu untuk anak-anak staf ini. Pengalaman aku mengajar tuisyen dahulu banyak membuka mata aku, hati aku untuk membantu anak-anak staf yang rata-rata berpendapatan rendah.
Petang tadi, seorang rakan aku yang kini menjadi presiden untuk satu persatuan fakulti di universiti. Persatuan itu statusnya mati. Dia mahu menghidupkan persatuan itu. Hari ini kami bertemu lagi. Sudah lama aku tidak menemui beliau. Baru aku tahu, dia kini sedang menghadapi masalah untuk menghidupkan kembali persatuan itu.
Asalnya dia ingin mengadakan perlawanan boling sebagai salah satu agenda utama untuk menghidupkan persatuan itu. Namun itu sudah menuntut banyak wang. Tambahan pula kami kecil hati dengan sikap biadab seorang staf dan pengurus pusat boling yang terletak di Skudai itu. Aku bertanya, satu lane boleh memuatkan berapa orang. Sebab aku berhasrat untuk mengurangkan kos. Aku tahu, aku cuma membantu rakanku ini sahaja. Kalau aku tidak libatkan diri, tidak perlu bertemu dengan orang yang menyakitkan hati seperti ini. Pengurus dan staf yang tidak tahu berbudi bahasa.
Jawab pengurus pusat boling itu dengan nada menyindir,"Kalau enam orang main satu lane, sampai malam pun tak habis."
Merah padam muka rakan aku. Setelah itu kami pergi ke sebuah kedai makan untuk berbincang. Dari situ aku tahu masalah persatuan itu dengan lebih lanjut. Persatuan itu ada masalah kewangan. Jadi aku minta rakanku itu batalkan sahaja niatnya untuk mengadakan perlawanan boling. Lebih baik buat sukaneka... atau...
Tiba-tiba aku teringatkan Desa Bakti. Aku mengusulkan hal ini kepadanya. Dia bersetuju. Baguslah! Sekarang aku sudah berjaya mendapatkan sebuah organisasi untuk melaksanakan hasratku ini. Jadi bermulalah perjuangan yang aku hasratkan selama ini.
Dua orang yang berbeza matlamat. Bergabung tenaga untuk menjayakan matlamat masing-masing. Aku bermatlamat untuk mewujudkan program khidmat bakti di Desa Bakti. Memberi khidmat tutor percuma untuk anak-anak staf di Desa Bakti. Dia pula seorang presiden yang ingin menghidupkan persatuannya. Kami akan bergabung tenaga. Syukur ke hadrat Tuhan, kerana mendengar doakan sebelum ini. Berjaya hendaknya program ini. Masih banyak rintangan yang harus kuhadapi.
Malam itu juga aku menelefon salah seorang pengawal universiti yang berpangkat tinggi. Dahulu aku pernah mengajar anaknya ilmu Matematik. Sekarang aku harap dengan sokongan daripada ahli-ahli persatuan ini, akan berjaya melakukan perkara yang sama untuk seluruh anak-anak warga Desa Bakti UTM Skudai.
Ya, Tuhanku... permudahkan urusan ini dan tetapkan hatiku dan hati sekalian mahasiswa untuk membantu menjaya program ini, untuk anak-anak Desa Bakti, untuk pembangunan insani dan untuk menghidupkan kembali persatuan itu supaya dapat dijadikan medan aktiviti berfaedah bagi seluruh warga fakulti tersebut.
Pada asalnya aku dijadikan pemain boling jemputan untuk fakulti tersebut, tetapi sekarang perlawanan itu akan dimansuhkan dan program yang menjadi hasratku sebelum ini akan terlaksana. Seterusnya, malam ini, sekitar pukul 11.45 malam, aku akan bertemu pengawal universiti tersebut, dan kemudian bersedia untuk menyertai mesyuarat persatuan tersebut.
Aku tahu aku ini orang luar, pasti banyak cabarannya. Namun, asalkan dapat menghidupkan dia kembali, hasrat ini pasti akan tertunai.
|