BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Januari 22, 2007

Semangat Yang Dijatuhkan

"Dua orang yang berbeza matlamat, seorang yang mahu menghidupkan kembali persatuannya dan seorang lagi mahu mewujudkan program khidmat tutor percuma Desa Bakti setiap minggu. Kedua-duanya bergabung, untuk saling mencapai cita-cita masing-masing. Namun rintangan akan sentiasa ada. Bagaimana?"

Hari ini aku menyiapkan separuh daripada jadual perancangan kerja. Esok aku akan ke Kuala Lumpur selama dua hari. Aku harap dapat mencari sesuatu. Sesuatu yang boleh membantu aku, untuk menyelesaikan satu lagi masalah.

Sementara itu, hari ini sang Presiden baru, semangatnya telah dilemahkan oleh penasihat persatuannya. Sebenarnya aku langsung tidak menyukai sikap penasihat tersebut. Sebagai penasihat persatuan, dia seharusnya memberi sokongan atas aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Kalau dia boleh bersetuju mahu menganjurkan perlawanan boling yang memakan belanja, kenapa tidak boleh dia bersetuju untuk program kebajikan masyarakat seperti ini. Apa pun status aku masih sebagai orang luar, yang tidak ada kena mengena dengan persatuan tersebut.

Namun, hari ini aku cuba mengembalikan semangat Presiden tersebut. Inilah yang dikatakan. Cabaran baru bermula. Aku perlu mencari pakatan yang kuat untuk membolehkan projek ini dilaksanakan.

Kata-kata warga Desa Bakti yang penuh harapan, aku tidak mahu mereka semua kecewa. Baru sahaja kami berjaya menggembirakan mereka melalui edaran borang soal selidik. Anak-anak kecil pula sudah mula berbicara, mahu belajar itu dan ini. Lihat, bukankah mereka semua ada minat untuk belajar. Cuma suasana dan kawasan perumahan yang daif dan sempit menyebabkan kekurangan ini. Boleh, kalau program khidmat tutor percuma ini berjaya, perubahan yang baik boleh dicetuskan. Cuma, perlu mendapatkan sokongan.

Hari ini juga, aku bertanya mengenai cara-cara untuk mendapatkan tapak program bagi mengadakan kelas tutor tersebut. Kena sewa. Wah! Persatuan tersebut tidak ada satu sen pun sumber kewangan. Bagaimana? Ini satu lagi cabaran.

Pasti ada jalan... pasti... ada!

Aku teringatkan kata-kata seorang pengawal keselamatan, Timbalan Pendaftar, ketika aku membawa Presiden ke rumahnya untuk mendengar pandangan pengawal tersebut mengenai program ini.

Pengawal itu mengulang satu kisah lucu beberapa tahun lepas, semasa itu aku kesuntukan wang. Aku memanjat pagar universiti. Tidak, aku tak merosakkan pagar tersebut, sebab aku menggunakan kerusi, dan terus melompat ke sebelah sana untuk menampal poster tuisyen. Sebab ketika itu aku perlukan wang saku.

Pengawal itu nampak aku. Aku ditahan. Aku menceritakan tujuan aku. Lalu serta merta aku mendapat pekerjaan yang aku harapkan ketika itu. Mengajar tuisyen. Sebenarnya aku berhasrat mendapatkan anak pensyarah sebab aku ingin mengenakan yuran yang cukup supaya dapat membayar hutang sebuah buku yang berharga mahal. Namun disebabkan aku lihat pendapatan pengawal ini yang tidak seberapa. Aku mengenakan yuran yang sangat murah, kata kawan-kawanku. Dari situ hubungan aku dengan warga Desa Bakti semakin rapat. Dan selepas itu, aku tidak ada masalah kewangan lagi.

Kini, aku kembali lagi. Dengan agenda baru. Hasrat yang aku pendamkan sejak dulu. Aku ingin mengadakan Program Khidmat Tutor Percuma untuk anak-anak Desa Bakti. Warga Desa Bakti seringkali diabaikan dalam hal-hal yang berkaitan dengan program kebajikan masyarakat. Mereka, para mahasiswa dan persatuan lebih suka pergi jauh, jauh ke Utara, ke Timur, ke Hulu untuk mewujudkan program khidmat bakti. Tidak ada yang mahu mengadakan program untuk jiran mereka ini.

Jadi bila lagi? Bila lagi mahu ada pihak yang boleh mewujudkan program seperti ini. Mengingati kembali sambutan dan harapan warga Desa Bakti. Aku rasa aku tidak boleh kalah dengan keputusan penasihat itu. Dia tidak yakin sahaja. Maksudnya masih ada harapan untuk meneruskan KITAB.

Sambil menghela nafas yang panjang... sambil mengatur strategi baru... pasti ada jalan!