BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Mac 16, 2009

Pameran Pendidikan Facon selama dua hari bermula 14 Mac

Panduan dan Peluang Melanjutkan Pelajaran ke Peringkat Lebih Tinggi di KLCC
Sumber asal: www.hmetro.com.my

LEPASAN sekolah yang masih tercari-cari peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dipelawa hadir ke Pameran Pendidikan Facon selama dua hari bermula 14 Mac ini di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Pameran itu turut diadakan 11 bandar utama seluruh negara selama sebulan bagi membolehkan 500,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), O Level dan A Level mendapat manfaat.
Peluang belajar dalam bidang perundangan
Di pameran itu, Kolej Universiti Help (Help) turut menawarkan program lanjutan terkini dan bercirikan pekerjaan khas untuk pelajar berminat termasuklah bidang perundangan.

Pemangku Ketua Jabatan Perundangannya, Mark Goh, berkata pihaknya akan memastikan pelajarnya mendapat kemahiran lengkap untuk cemerlang dalam kerjaya perundangan.

Program itu akan memberi pendedahan mengenai kerjaya, latihan, seminar dan persatuan pelajar.

“Pendedahan kemahiran yang akan pelajar peroleh termasuklah penulisan pendapat, temu duga pelanggan, penyelesaian kes-kes asas, pemeriksaan balas dan latihan prosedur penyelesaian kes jenayah.

“Pelajar turut didedahkan persekitaran di mahkamah supaya mereka boleh belajar bagaimana etika pemerhati di mahkamah,” katanya.

Mark berkata, majikan mahukan pekerja yang bukan saja mempunyai kelulusan tetapi mahir dan pengalaman.

Sementara itu, Kolej Universiti Berjaya (Berjaya) menawarkan program Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti.

Bidang pengurusan, hospitaliti, pelancongan dan perkhidmatan pendidikan
Kolej Universiti Berjaya satu-satunya institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengkhususkan bidang pengurusan hospitaliti, pelancongan dan perkhidmatan pendidikan.

Ketua Pegawai Operasi Bahagian Pendidikan Tinggi Berjaya Sdn Bhd, Mae Ho, berkata pelajar yang mengikuti program ini akan didedahkan dengan pendekatan global dalam memahami situasi sebenar bidang ini.

Menurutnya, pengajian di sini akan memberi pendedahan kepada mereka dengan latihan amali dan kefahaman mendalam perbezaan budaya, sistem operasi dan latihan kerja di syarikat berlainan.

“Falsafah pembelajaran kita adalah berkonsepkan pengajian menyeluruh melalui tiga kokurikulum utama yang diterapkan kepada pelajar dikenali sebagai ‘Berjaya Practicum’, ‘Industry Partnerships’ dan ‘Berjaya Industry Placement’,” katanya.

IPT-IPT lain yang menyertai Pameran Pendidikan Facon
IPT lain yang mengambil bahagian ialah Kolej Taylors, Kolej Nilai, Kolej KBU, Kolej Inti, Kolej UCSI, Kolej SEGi, Open Universiti Malaysia (OUM), Management and Science University (MSU), Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar), University College Sedaya International (UCSI) dan Kolej PTPL.

Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) turut mengambil bahagian dalam pameran itu.