"Kami rela berkorban demi Bahasa Ibunda kami, demi budak-budak yang berada di pedalaman. Sebab kalau dengan mengembalikan Bahasa Ibunda sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains dapat membantu ramai pelajar pedalaman untuk menguasai subjek Sains dan Matematik, kami sanggup berkorban. Pengorbanan ni kecil sahaja.
Kami tak kisah biarpun ada di kalangan pelajar sekolah yang takut bila PPSMI nak dimansuhkan. Mereka takut sebab mereka dah biasa belajar dalam Inggeris, jadi bila pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik balik semula ke bahasa ibunda mereka, mereka dah tak boleh ikut sebab tak biasa. Itu sebab mereka menghafal. Menghafal macam robot.
Kalau kami, kami tak kisah. Mungkin mula-mula kami tak dapat ikut tapi selepas tu kami boleh ikut punya. Sebab kami pun hari-hari bercakap dalam bahasa ibunda kami sendiri. Satu hari, dua hari, seminggu dah boleh faham dah.
Kami percaya, Tuhan akan tolong kami. Tuhan akan tolong bangsa yang mempertahankan bahasa bangsanya sendiri. Kami yakin, cikgu-cikgu kami, pensyarah-pensyarah kami akan bantu kami untuk menguasai Matematik dan Sains dalam bahasa ibunda kami.
Sebab kami tahu tujuan kami belajar Matematik dan Sains bukan untuk hafal konsep tetapi untuk faham konsep. Kalau kita dah faham konsep, bagilah bahasa makhluk asing sekali pun kita tetap boleh selesaikan masalah matematik atau sains. Sebab matematik ni bukan subjek menghafal."
Kata-kata di atas sungguh mengharukan apabila diucapkan oleh pelajar sekolah dan mahasiswa sendiri. Mereka faham tujuan belajar Matematik dan Sains bukan untuk disuap tetapi untuk berdikari. Mereka tahu pemikiran logik matematik dan pemikiran saintifik boleh terbentuk apabila mereka berfikir secara logik matematik dan saintifik. Apabila mereka memiliki pemikiran seperti ini, maka tokoh-tokoh matematik seperti Gauss, Einstein dan Al Khawarizmi boleh dilahirkan.
"Jika selepas PPSMI dimansuhkan, ramai pelajar Melayu tidak boleh memahami subjek Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda mereka, maka bagaimana mereka mahu mengajar subjek Sains dan Matematik kepada bangsa mereka sendiri dalam bahasa ibunda mereka sendiri? Dalam erti kata lain, penjajahan sekali lagi telah berlaku sejak PPSMI dilancarkan."- Amiene Rev.
Seseorang yang sudah memiliki pemikiran matematik mampu merekabentuk model pennyelesaian masalah secara logik dan mencipta rumus matematik untuk menyelesaikan satu-satu masalah. Dalam erti kata lain, matematik itu sendiri adalah satu bahasa penyelesaian masalah logik yang unik. Jika kita tidak percaya cuba teliti hikmahnya kenapa semua nombor 1 memiliki bentuk yang lebih kurang sama dalam pelbagai tamadun. Matematik itu sendiri adalah satu cara untuk menyatu-padukan bangsa.
|