BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Mac 25, 2009

Selepas 9 Tahun... Sekolahku

Dulu, saya berjanji kepada diri saya. Apabila genap 9 tahun, saya akan kembali semula ke sekolah lama saya. Dan kini, saya kembali. Menunaikan janji terhadap diri saya sendiri. Saya memandu kereta sport hitam saya ke perkarangan sekolah. Waktu itu waktu petang, sebab saya belum bersedia untuk menjadi budak nakal tetapi jujur dan cemerlang yang disayangi cikgu-cikgu seperti dahulu. Saya tersenyum mengingati zaman persekolahan dahulu.

Sekolah ini
ada nostalgia
jadi ingatan kini
guru-guru lama semakin tiada
cuma jasa terukir di dinding
dan bayangan memori
mengenangkan insan-insan penting
buat diriku

-Amiene Rev-

Segala-galanya sudah berubah. Saya mengunjungi kelas tingkatan terakhir saya. Sudah tidak ada. Saya mengunjungi kelas saya semasa saya di tingkatan empat. Masih ada. Saya dapati, peralatan sekolah sudah uzur. Saya menjenguk ke belakang sekolah. Saya lihat hampir semuanya sudah berubah. Ada bangunan-bangunan baru. Saya menjenguk ke persekitaran surau pula. Surau masih seperti dulu.

Saya meninjau pagar-pagar kawat yang dahulunya menjadi pintu keluar haram bagi pelajar-pelajar sekolah yang mahu ponteng sekolah. Tembok-tembok sudah ditinggikan, tetapi masih ada kesan kawat-kawat yang telah dipotong. Dulu, cikgu-cikgu sekolah berkejar-kejar dengan pelajar-pelajar ponteng hingga ke kawasan rumah-rumah kampung di belakang sekolah. Saya menggeleng kepala mengingati zaman itu. Saya tahu, saya tidak termasuk dalam golongan pelajar yang ponteng sekolah. Tidak pernah sekali pun. Saya juga tidak tahu di mana pelajar-pelajar sekolah yang terdahulu yang suka ponteng sekolah. Mereka hilang begitu sahaja.

Kemudian, saya pergi melihat senarai nama guru-guru sekolah. Hampir semuanya guru-guru baru. Guru-guru lama cuma tinggal beberapa orang. Tiba-tiba saya melihat kelibat ustaz yang mengajar saya semasa di peringkat SPM. Saya cepat-cepat bersalam dan mencium tangannya.

Ustaz gembira melihat saya. Dia melihat badan saya yang semakin tinggi dan sasa, lalu dia pun memicit-micit daging bahu saya yang berisi. Ustaz gembira melihat diri saya yang semakin sihat dan kuat. Sembilan tahun berlalu pasti banyak perubahan telah berlaku ke atas diri saya. Kebetulan hari itu ada latihan silat di belakang sekolah. Lalu saya pun meluangkan masa di gelanggang silat. Ustaz saya ini merupakan guru penasihat silat di sekolah.

Saya difahamkan oleh jurulatih silat bahawa silat kini juga menggunakan kaedah berpusatkan pelajar. Nampaknya teknik pengajaran dalam dunia persilatan juga sudah maju. Teori-teori pembelajaran yang biasa digunakan dalam bidang akademik, turut digunakan dalam dunia persilatan.

Nampaknya sekolah saya tidak sekadar berubah rupanya. Guru-guru lama yang masih ada juga telah berubah rupa. Semakin berusia. Saya terus mencari-cari memori silam. Apabila saya melihat satu-satu lokasi di sekolah, saya seolah-olah dapat melihat kembali dunia persekolahan saya yang lalu. Saya nampak rakan-rakan sekolah saya, guru-guru yang pernah mengajar saya, dan rupa sekolah saya yang pernah saya kenal pada ketika itu.

Rupa-rupanya, ingatan ini tidak pernah padam. Segala-galanya sedang kembali. Segala-galanya, berkaitan dengan ingatan dahulu. Zaman persekolahan saya.