Adakah Saya Seorang Pencinta yang Baik Atau Kekasih Saya yang Buruk Perangai?
Adakah Saya Bukan Kekasih Yang Baik?
E-mel dikirim oleh: Cik Bunga Kecewa
E-mel dikirim oleh: Cik Bunga Kecewa
NOTA: E-mel yang dikirimkan oleh Cik Bunga Kecewa ini telah disunting beberapa kali kerana menggunakan Bahasa SMS. Saya berharap mana-mana pembaca yang ingin menyertai ruangan Pos Masalah Anda supaya menulis atau menaip dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul (ejaan yang betul).
Salam Duke Amiene Rev,Maklum balas Amiene Rev: Salam buat Cik Bunga Kecewa. Sungguh berbunga-bunga luahan isi hati Cik Bunga Kecewa. Saya seperti membaca karangan seorang penulis novel cinta terkenal pula. Setelah membaca dan menyunting tulisan Cik Bunga Kecewa beberapa kali, barulah dapat saya paparkan di sini untuk memberi maklum balas terhadap masalah Cik Bunga Kecewa.
Saya baru menjangkau umur 18 tahun tetapi saya sudah 3 kali gagal bercinta. Bagi orang lain, ini mungkin hanya satu percintaan monyet bagi remaja macam saya. Tetapi jauh di sudut hati, cuma memerlukan teman untuk berbicara pada saat suka dan duka. Dengan keadaan ibu bapa yang bekerja, tidak memberi ruang untuk saya meluahkn duka atau suka.
Sebab itu saya mencari teman tetapi ternyata itu sangat mengecewakan saya. Kawan-kawan ada memberi sokongan tetapi yang saya lihat cuma ada sahabat yang hadir tatkala kita senang.
Teman lelaki saya yang pertama memutuskn hubungannya bersama saya tatkala saya melangkah masuk ke Sekolah Teknik. Setelah 3 tahun menjalinkan perasaan hati. Saya kecewa. Namun, setelah 6 bulan berada di Teknik Senior saya ingin berteman dengan saya. Entah macam mana saya terima. Walhal pada masa yang sama saya belum boleh mempercayai lelaki sepenuhnya.
Sepanjang bersamanya, saya tidak mengabaikan tanggungjawab saya sebagai pelajar. Dia banyak membantu saya dalam pelajaran tetapi hati saya belum dapat menerimanya spenuh hati.
Setelah dia tamat SPM, dia dipanggil untuk menyertai PLKN. Setelah dua bulan dia di sana saya dapat merasakan bahawa dia sudah ada yang lain. Ternyata gerak hati saya sentiasa betul. Saya tidaklah terlalu kecewa untuk kedua kali kerana memang saya tidak membuka sepenuh hati saya kepadanya. Biarlah dia berbahagia.
Masuk tahun akhir saya di Sekolah Teknik, saya memulakan persahabatan dengan S. Dia sangat baik. Kami berkawan agak rapat tetapi dia memang sudah ada teman wanita. Kami selalu belajar bersama-sama dan sentiasa berbincang tentg pelajaran bagi menghadapi SPM. Selepas beberapa lama dia memberitahu saya bahawa dia sudah clash dengan teman wanita dia. Pad masa itu memang saya tidak berkata apa-apa. Kerana saya hanya menganggap dia sebagai teman baik dan dia juga begitu kerana dia tahu bahawa saya memg tidak dapat membuka hati saya untuk mane-mana budak lelaki.
Tetapi setelah lama dia menyatakn bahawa dia ingin berteman lebih rapat dengan saya. Setelah beberapa minggu berfikir, Saya bersetuju setelah dia menyakinkan saya bahawa dia faham tentang kekecewaan yang dialami saya Dan dia telah merasakan perasaan yang sama. Dia memang seorang yang setia begitu juga saya.
Saya tidak pernah marah untuk dia berkawan dengan sesiapa kerana saya tidak ingin mengongkong hidupnya kerana, pada pendapat saya, saya cuma teman dan tidak patut melarangnya untuk apa yg dia hendak lakukan. Setelah tamat SPM, kami balik kampung masing-masing. Dia jauh di Utara Terengganu dan saya di Selatan Terengganu.
Setelah itu saya dapat tahu dia berkawan baik dengan seorang perempuan di Kota Bharu. Saya terima dengan rela kerana bagi saya mereka cuma berkawan, tetapi ternyata saya bodoh.
Pada tanggal 1 Januari, saya menyatakan bahawa saya rasa dia sudah ada yang lain dan dengan keadaan kami yang semakin hari semakin renggang membuatkan hati saya sentiasa resah. Dia dengan rasa senang menyatakn bahawa memang dia sudah ada yang lain. Saya memintanya untuk memutuskan hubungn kami kerana saya tidak suka berkongsi atau berebut dengan orang lain. Dia kata bahawa dia masih sayangkan saya tetapi saya tidak mahu dia menyakitkn hati perempuan itu.
Biarlah saya mengundurkn diri demi dia. Tapi ternyata apa yang saya lakukan demi dia hnya sia-sia. Sselepas memutuskan hubungann dia langsung tidak menghubungi saya tetapi saya masih mahu menunggunya kerana saya tahu dia masih sayangkn saya
Setelah dua bulan menunggu. Saya masih setia setelah mengenangkan saya dan dia sudah banyak berjanji dalam segala hal. Saya tetap setia walaupun saya tahu dia sedang berbahagia dengan yang baru.
Saya sukar melupakannya kerana saya sudah berjumpa ibu dan ayahnya dan dia juga telah berjumpa dengan ibu dan ayah saya, dan kami direstui.
Hati yang luluh dan hancur ini saya simpan seorang diri..membawa hati yang luka di dalam kelompok rakan-rakan yang gembira membuatkan hati ini semakin terluka. Semua orang tidak tahu akan perpisahan ini. Cuma aku dan dia sahaja yang tahu.
Rakan-rakan yang menganggap aku dan dia sangat bahagia ketika ini tetapi mereka tidak tahu betapa hancurnya hati ini. Saya tidak pandai untuk meluahkn perasaan kepada sesiapa pun. Saya cuma pendamkan hal ini seorang diri. Apabila ada yang bertanya tentang dia apa yang saya mampu lakukan hanya senyum, berlagak seolah-olah semuanya OK dan menganggap semua ini hanya mimpi. Padahal hati ini terlalu hancur untuk mempercayai lelaki.
Cik Bunga Kecewa
Terengganu
Berdasarkan cerita Cik Bunga Kecewa, saya dapati Cik Bunga Kecewa telah terjebak dalam cinta monyet. Kisah cinta seperti Cik Bunga Kecewa ini seringkali melanda pelajar-pelajar sekolah. Mereka bercinta, tetapi tidak begitu serius. Tidak kekal. Bertukar-tukar pasangan. Isi hati yang tidak jelas.
Apabila manusia menjejakkan kaki ke alam percintaan semasa usia dan pemikiran masih belum matang, maka hasilnya, hubungan cinta yang wujud nanti adalah kabur, tidak jelas dan tidak bermatlamat. Hubungan cinta seperti ini seringkali mewujudkan penderitaan terhadap individu yang melibatkan diri.
Saya beranggapan perasaan yang melanda Cik Bunga Kecewa pada ketika ini adalah hasil atau tempias daripada hubungan cinta monyet yang telah berlaku itu. Apabila Cik Bunga Kecewa semakin meningkat dewasa, suatu ketika nanti Cik Bunga Kecewa akan tersenyum sendirian apabila mengenangkan kisah cinta ini.
Ya, cinta bermula pada usia belum matang selalunya bermasalah. Terlalu banyak suka dan duka. Terlalu banyak debaran hati dan goncangan perasaan. Pahit manis, hujan panas diredah begitu sahaja.
Perasaan memerlukan kasih sayang dan cinta pada usia yang belum matang biasanya berlaku di kalangan remaja yang kekurangan kasih sayang ibu bapa. Mungkin kerana kesibukan di tempat kerja, ibu bapa menjadi kurang kisah terhadap usaha untuk memupuk perasaan sayang dan berkongsi hati dan cerita dengan anak-anak. Apabila hal ini berterusan, maka tidak mustahil untuk seorang remaja itu menjadi sukar untuk meluahkan perasaannya, menceritakan masalahnya dengan orang lain. Hal ini turut dialami oleh Cik Bunga Kecewa.
Ya. Jika ibu bapa dapat meluangkan masa dengan anak-anak untuk selalu berbual-bual, bertukar-tukar pandangan dan menyuarakan isi hati, maka tentu anak-anak tidak sukar untuk menceritakan hal yang sebenarnya.
Cik Bunga Kecewa juga didapati sukar menerima hakikat sebenar dan lebih senang untuk menganggap realiti sebagai fantasi atau mimpi. Bangkitlah, Cik Bunga Kecewa. Kita sering dengar kata-kata seperti, "Jodoh di tangan Tuhan." Oleh itu kenapa kita mesti kecil hati atau kecewa semata-mata tidak ada jodoh dengan orang yang kita cintai. Mungkin Tuhan sedang merancang pertemuan Cik Bunga Kecewa dengan lelaki yang lebih baik daripada dia.
Pada pandangan saya, jika saya berada di tempat Cik Bunga Kecewa, saya tidak akan menunggu lelaki tersebut. Menerusi cerita Cik Bunga Kecewa, saya sudah nampak betapa lelaki tersebut suka bermain-main cinta monyet, berhubung rapat dengan perempuan lain, dan menolakkan Cik Bunga Kecewa di tempat yang agak terpinggir.
Jika saya sebagai seorang ayah, saya akan minta anak perempuan saya supaya menjauhi lelaki tersebut. Lelaki tersebut main-main, tidak serius dalam percintaan dan tidak pandai menjaga hati anak gadis saya. Dia bukan seorang pelindung yang baik. Kita tak mahu lelaki seperti itu.
Saya sarankan kepada Cik Bunga Kecewa agar melupakan lelaki tersebut. Berdasarkan cerita Cik Bunga Kecewa, saya dapati lelaki tersebut bukanlah seseorang yang boleh Cik Bunga Kecewa bergantung harap. Dia telah berulang-ulang kali rapat dengan wanita lain, dan meletakkan Cik Bunga Kecewa di satu sudut yang boleh dianggap 'alat ganti'. Cik Bunga Kecewa seolah-olah 'back up' atau pilihan terakhir sekiranya dia tidak ada pilihan lain. Di mana maruah Cik Bunga Kecewa sebagai seorang gadis? Saya rasa masih terlalu awal untuk Cik Bunga Kecewa bercinta.
Cik Bunga Kecewa memerlukan seorang lelaki yang kuat agama untuk membimbing Cik Bunga Kecewa. Lelaki seperti ini mudah ditemui di masjid-masjid. Pemuda yang rajin mengunjungi masjid dan tidak suka bergaul bebas dengan wanita-wanita. Pemuda seperti ini barulah sesuai dengan Cik Bunga Kecewa. Ini kerana saya lihat Cik Bunga Kecewa mempunyai hati yang suci, tapi sayangnya kesucian hati Cik Bunga Kecewa telah dikhianati dan dipermain-mainkan oleh lelaki yang dicintai oleh Cik Bunga Kecewa.
Saya mendapati sekali-sekala Cik Bunga Kecewa tenggelam dalam luahan hati, apabila ada perkataan aku dan saya yang bersilih ganti. Ya, memang pedih dan perit apabila hati kita dilukai seseorang yang sangat kita cintai, tetapi saya harus mengingatkan Cik Bunga Kecewa bahawa apa yang dialami oleh Cik Bunga Kecewa itu sekadar cinta monyet. Hari ini Cik Bunga Kecewa terluka, esok lusa Cik Bunga Kecewa ketawa apabila mengingatinya semula. Cinta yang bermula semasa usia kurang matang tidak boleh dianggap serius kerana bagi saya, setiap keputusan yang dibuat hendaklah berlandaskan pemikiran yang matang dan fakta yang cukup. Dalam kes cinta monyet Cik Bunga Kecewa, saya tidak melihat fakta-fakta atau pengesahan cinta yang jelas antara Cik Bunga Kecewa dengan lelaki tersebut. Oleh itu, janganlah Cik Bunga Kecewa terlalu kecewa. Luka akibat cinta seperti ini akan sembuh dengan cepat, secepat usia Cik Bunga Kecewa meningkat. Percayalah, dan berdoalah kepada Tuhan supaya ditemukan dengan lelaki yang baik-baik dan beriman.
Pada pandangan saya lagi, bukan Cik Bunga Kecewa seorang pencinta yang tidak baik, tetapi lelaki itulah pencinta yang tidak baik. Jodoh di tangan Tuhan. Tinggalkan lelaki yang suka bermain-main cinta atau hubungan mesra dengan wanita lain. Oleh sebab itu, agama Islam melarang umat Islam 'bercouple'. Tinggalkan budaya 'couple', dan Cik Bunga Kecewa tentu tidak akan kecewa lagi. Entri berikut telah saya tulis untuk Cik Bunga Kecewa, tetapi oleh kerana pada ketika itu saya belum sempat menyunting tulisan Cik Bunga Kecewa kerana banyak menggunakan Bahasa SMS (ejaan SMS), maka saya telah poskan dahulu entri berikut seminggu yang lalu.
Semoga Cik Bunga Kecewa akan mendapat ketenangan jiwa dengan merapatkan diri kepada Allah. Cinta sesama manusia tidak kekal, oleh itu janganlah Cik Bunga Kecewa terlalu kecewa. Semoga pada hari-hari yang mendatang, Cik Bunga Kecewa akan bertukar menjadi Cik Bunga Ketawa atau Cik Bunga Bahagia Selalu. Semoga berbahagia.
Yang benar,
Amiene Rev
E-mel Pembaca: Ruangan Pos Masalah Anda
Sekiranya anda ada masalah untuk dikongsi dan mahukan pandangan daripada Amiene Rev, bolehlah menggunakan pautan di bawah untuk mengisi borang Pos Masalah Anda (Surat Pembaca). Anda diminta tidak menggunakan Bahasa SMS dan seangkatan dengannya. Setiap surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu.
|