BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, November 21, 2006

Ingin Kembali Mencuba

Malam ini hujan turun lagi. Aku tidak sempat berangkat pergi merasai bistik. Ah, tidak mengapa. Stok mi segera itu masih banyak. Ada lapan bungkus lagi. Aku rasa akan menelan dua stok. Kismis sudah habis. Oh ya, aku akan berangkat meninggalkan institusi ini. Rasa-rasanya aku harus pulang ke Timur. Kemudian jika ada kelapangan menjenguk anak-anak muridku yang sedang berlatih untuk mewakili negara tidak lama lagi.

Ya, bercakap soal pulang. Aku tiba-tiba teringatkan daging bistik. Ya, aku ingat bila aku pulang, aku ingin cuba memasaknya. Adindaku sudah pasti akan pulang juga. Barangkali dia akan memasak menu-menu yang ganjil lagi. Oh, ya. Sudah lama aku tidak memesan menu yang sedap-sedap di restoran. Dahulu aku suka membeli makanan yang kukira enak untuk disantap. Baru-baru ini aku membeli gulai kawah kambing, rasa-rasanya sudah lengkap bahan-bahan resepinya 'kucuri'. Cuma ada bahan yang tidak aku jelas namanya. Balik nanti harus cuba merasai bahan-bahan jangkaan itu. Kemudian memasaknya kembali. Eh, garamnya harus dikurangkan. Masakan itu terlalu tinggi kandungan garamnya.

Bila bercakap soal bistik. Aku ingat bibiku dari Acheh, ada memasak stew daging lembu. Rempahnya agak tinggi. Dagingnya dipotong dadu. Oh, ya. Tiba-tiba teringat pula sepupuku yang berdarah Eropah itu. Adakah dia sudah muak menikmati spageti. Emaknya suka memasak masakan yang sebegitu. Aku lebih suka masakan Melayu. Kambing menjadi pilihan utama. Kambing biri-biri juga enak.

Hujan renyai-renyai malam ini. Kilat pula sabung menyabung. Aku rasa aku harus menutup suis komputer. Oh, ya. Tarikh hari ini sebenarnya 19 haribulan. 21 haribulan sepatut aku sudah tidak ada di sini. Esok aku akan ke pejabat untuk mengambil barang. Juga menjelaskan baki yuran untuk semester ini. Wah. Wah. Kenapa hidup ini terasa begitu santai?

Sekian sahaja. Hujan, turun dengan baik-baik ya? Aku mahu memasak mi segera malam ini. Biar aku anggap saja seperti memakan spageti, atau laksa. Laksa Kelantan paling enak. Apa pun, masakan bondaku itu biasa ditelan sahaja. Oh, jangan lupa, ayahandaku juga pandai memasak.

Aku mahu pulang dan bermain boling dengan ayahandaku.

Isnin, November 20, 2006

Rekabentuk Web Untuk Myspace

MYSPACE LAYOUT SUPPORT
http://www.myspacelayoutsupport.com/

TERSUSUN
http://www.freelayouts.com/myspace/layouts/

WARCRAFT LAYOUT
http://borkweb.com/story/world-of-warcraft-myspace-layouts

PROFESSIONAL MYSPACE DESIGN
http://www.coalmarch.com/services/graphic-design/myspace-custom-template-css-design-.php

Ahad, November 19, 2006

Panduan Mendapat A Dalam Karangan Bahasa Melayu

CIRI-CIRI KARANGAN YANG BAIK (80 hingga 100 markah)

a. Takrif karangan tepat sekali
- Calon mesti menulis karangan menurut kehendak soalan.

Contoh soalan:
Sejak beberapa tahun yang lalu, kerajaan Malaysia menggunakan slogan “Malaysia Boleh” sebagai perangsang untuk bergerak maju dalam pelbagai bidang agar seiring dengan negara-negara maju. Pada pendapat anda adakah Malaysia telah berjaya merealisasikan slogan ini?

Calon dianggap menulis menurut takrif yang tepat sekali sekiranya calon dapat mengemukakan beberapa bidang yang menunjukkan bahawa Malaysia telah mampu melaksanakannya. Di samping itu calon juga perlu mengemukakan beberapa bidang yang menunjukkan Malaysia masih ketinggalan dan sedang berusaha untuk meningkatkan tahap pencapaiannya dalam bidang tersebut.


b. Fikiran sungguh matang.
- Calon dianggap berfikiran matang sekiranya dapat mengemukakan pendapat, pandangan, atau cadangan yang baik atau bernas, logik, dan berasional iaitu dapat mengemukakan alasan yang munasabah.
Misalnya dalam ayat seperti yang berikut :

Kita berasa telah sampai masanya untuk melakukan anjakan paradigma dari segi sikap dan pemikiran. Kita perlu bersikap positif, dan yakin pada diri sendiri. Kita percaya bahawa sekiranya kita yakin pada diri sendiri maka tidak ada yang mustahil untuk dilakukan. Di sebaliknya masyarakat yang terlalu merendah diri dan sentiasa memandang tinggi akan kejayaan orang lain semata-mata akan ketinggalan. Slogan “Malaysia Boleh” yang diterapkan dalam diri rakyat Malaysia diharap akan menjadi pemangkin kejayaan negara kita.

Sebaliknya calon yang
tidak matang mungkin akan menulis seperti yang berikut :

* Semua rakyat Malaysia perlulah menggunakan slogan Malaysia Boleh kerana slogan itu berfaedah kepada kita. Sekiranya kita gunakan slogan itu kita akan berjaya mencapai cita-cita kita dan imej negara akan menjadi lebih bagus dan rakyat Malaysia akan hidup aman.


c. Isi cukup dan berkembang

Isi cukup bermaksud calon mengemukakan tidak tidak kurang daripada 3 isi namun calon yang biasanya mendapat markah yang baik mengemukakan tidak kurang daripada 6 isi dan isi yang dikemukakan itu dikemukakan secara seimbang sekiranya terdapat lebih daripada 1 skop kehendak soalan.

Isi yang berkembang pula bermaksud isi yang diikuti dengan huraian dan contoh-contoh yang sesuai.


d. Pengolahan istimewa atau sangat menarik dan sungguh berkesan.

Misalnya :
Contoh olahan biasa.
Malaysia telah berjaya merealisasikan slogan Malaysia Boleh dalam bidang pembuatan kereta. Kita telah mengeluarkan banyak jenis kereta Malaysia seperti Proton Saga, Iswara, Wira, dan sebagainya. Oleh itu, terbuktilah Malaysia memang boleh mengeluarkan kereta seperti negara-negara maju yang lain.

Contoh olahan yang baik.
Dengan lahirnya kereta Proton Saga pada tahun 1988, kita telah memulakan satu langkah yang besar dalam usaha untuk membuktikan bahawa Malaysia juga mampu menceburi bidang pembuatan kereta , dan sehingga kini Proton telah mengeluarkan 8 model keretanya. Dalam hal ini, tidak ada sesiapa yang dapat menidakkan kebolehan Malaysia dan secara tidak langsung slogan “Malaysia Boleh” bukan lagi suatu angan-angan kosong malahan telah menjadi kenyataan.


e. Bahasa sangat memuaskan dan lancar .

Bahasa yang digunakan ialah bahasa baku atau bahasa yang standard serta tidak dipengaruhi oleh gaya bahasa lisan.
Misalnya :

Kerajaan sudah buat kempen untuk pelancong datang ke negara kita. Bila pelancong datang, mereka akan beli macam-macam barang di sini. Ini maknanya duit negara asing masuk ke negara kita.

Bandingkan dengan :

Kerajaan telah melancarkan kempen Tahun Melawat Malaysia sebagai usaha untuk menarik minat pelancong untuk supaya memilih Malaysia sebagai destinasi percutian mereka. Kemasukan pelancong ke negara ini bermakna akan berlaku pengaliran masuk wang dari luar negara.


f. Terdapat kesalahan tatabahasa yang tidak ketara (jelas)

Misalnya :
Baru-baru ini seorang doktor tempatan telah berjaya menambah keyakinan rakyat di dalam bidang perubatan apabila dia muncul sebagai doktor pertama yang berjaya melakukan pembedahan meyambung tangan seorang kanak-kanak.


g. Terdapat pelbagai jenis ayat.

Ini bermakna calon perlu menulis dalam ayat selapis, ayat majmuk (yang menggunakan kata hubung), ayat pendek, sederhana, dan panjang.

Seharusnya slogan Malaysia Boleh dihayati oleh semua masyarakat di Malaysia. Kita boleh maju dalam pelbagai bidang malah mampu mengubah sikap dan fikiran kita. Namun, kita tidak perlu menukar budaya ketimuran kita. Budaya Timur perlu dikekalkan. “Malaysia Boleh” mengekalkan jati dirinya sendiri.


h. Kosa kata (perkataan) sangat luas dan digunakan dengan betul.
Calon yang baik menggunakan perkataan yang menunjukkan calon banyak membaca buku atau majalah yang ilmiah. Calon juga perlu menunjukkan kebolehan dapat menggunakan perkataan-perkataan tersebut dengan betul dan tepat.

Contoh :
Sekiranya tidak ada rusuhan, negara kita akan lebih cepat menjadi negara yang maju.
(biasa)

Keamanan merupakan pemangkin kemajuan negara.
(lebih baik)


i. Pemerengganan dan wacana digunakan dengan betul.

Calon menulis isi atau fakta, huraian, dan contoh yang lengkap dalam satu perenggan. Perenggan baru yang ditulis seharusnya menunjukkan kesinambungan dengan perenggan yang sebelumnya dengan menggunakan perkataan seperti :

Selain itu,…/ Namun begitu, masih terdapat beberapa bidang lain yang perlu kita terokai untuk melayakkan kita dianggap sebagai satu masyarakat yang serba boleh.


j. Tanda baca digunakan dengan tepat.

Calon yang memperoleh markah yang baik dalam penulisan karangan sangat mengambil berat tentang penggunaan tanda baca terutamanya tanda koma dan nokhtah.


Ulasan: Panduan ini bukan sahaja berguna untuk pelajar SPM dan PMR, malah berguna juga untuk semua blogger di Malaysia, termasuk saya sendiri.

sumber: http://www.angelfire.com/ma/tmalik/karanganbaik.html

Dead Boy's Poem

Kumpulan muzik antarabangsa kegemaran saya. Dah lama saya nak mengulas lagu ni.

It's All Coming Back To Me

Tak tahu sebab apa hari ni asyik cari lagu kenangan. Dalam banyak-banyak lagu Celine Dion, lagu ini paling saya suka.


Kalau ada masa nanti semua klip video yang dimuatkan dalam blog ini akan diulas dengan lebih lanjut. Sebelum bercuti, saya nak masukkan apa-apa yang boleh sebab...

Standing In The Eyes Of The World

Salah satu lagu kegemaran sepanjang zaman. Cuma perhatikan lirik lagunya. Cuma bahasa rojak yang mungkin mencacatkan lagu ini, tetapi melodi dan mesejnya sungguh menyentuh rasa. Lagu ni mengiringi saya, di dalam hutan, memegang cangkul dan sabit panjang, menanam pokok-pokok di ladang. Masa tu cuti sekolah sempena Sukan Komanwel. Saya ke kampung buat kerja-kerja di ladang.

Yesterday Once More

Ini lagu yang selalu saya mainkan dengan 'Keyboard' semasa berusia 13 tahun. Saya ingat, apabila saya memainkan lagu ini, bonda saya akan mendendangkannya.


Lagu ini banyak meninggalkan kenangan, bila mengimbas peristiwa kira-kira satu dekad lalu.

Perbezaan Antara Kenalan Dengan Rakan

Napoleon Hill berkata, jika anda inginkan ramai kenalan, jadilah seorang yang kaya. Jika anda inginkan rakan-rakan, jadilah seorang rakan.


Saya masih ingat pada zaman kanak-kanak dahulu, ada kisah mengenai anjing Lassie yang bersahabat dengan seorang budak. Anjing yang bernama Lassie ini bijak, setia dan berani.

Persahabatan antara manusia memerlukan kesetiaan (berlandaskan kebijaksanaan dan kematangan), keberanian kerana kebenaran. Berani menegur apabila rakan anda melakukan kesilapan. Kebijaksanaan dan kematangan dalam membuat keputusan.

Saya ingin mengulas perkataan-perkataan Napoleon Hill ini. Memang benar dalam kebanyakan hal, kita dapati apabila kita mempunyai kekayaan (wang, tanah, kuasa, pangkat dan sebagainya), akan menyebabkan diri kita disenangi oleh orang lain.

Hati-hati, orang yang tertarik dengan anda itu mungkin hanyalah kenalan dan bukan rakan. Disebabkan anda memiliki sesuatu yang boleh jadi suatu kepentingan bagi mereka. Jadi di manakah rakan-rakan anda? Prinsip ini mengatakan, anda tidak akan mempunyai rakan sejati melainkan anda menjadi rakan kepada rakan-rakan anda. Sentiasa berhati-hati memilih rakan.

Senang sahaja untuk melihat siapa kenalan dan siapa rakan anda. Kenalan itu biasanya akan datang ketika anda kaya, ketika anda popular ketika anda berada di puncak dan ketika anda memiliki kekuatan dan kelebihan dalam sesuatu perkara. Mereka akan berpusu-pusu menegur anda, menarik perhatian anda. Tetapi apabila anda tidak memiliki kekayaan, hilang populariti, saat jatuh dan tidak terserlah kekuatan atau kelebihan, mereka meninggalkan anda. Hal ini biasa dilihat dalam dunia hari ini, tidak kira dulu atau sekarang. Sebab itulah timbulnya kata-kata seperti: "Rakan Ketawa Senang Mendapat, Rakan Menangis Susah Dicari."

Jadi bagaimana anda hendak menguji rakan-rakan anda? Kadang-kala, akan datang kepada anda rakan-rakan yang sering meminta pertolongan. Cuba suatu ketika anda berhenti menolong mereka, dan lihat adakah mereka anda datang kepada anda lagi? Adakah mereka pula akan membantu anda? Adakah mereka merungut-rungut terhadap anda kerana tidak dapat menolong mereka? Atau mereka sudah melarikan diri dan tidak bertegur sapa dengan anda? Jika sebab anda tidak dapat menolong mereka, maka mereka melarikan diri, sudah jelas mereka hanya mempergunakan anda. Anda akan menjadi rakan mereka apabila mereka mendapat manfaat daripada anda. Ketahuilah, mereka ini adalah kenalan anda. Orang-orang seperti ini banyak ditemui dalam dunia perniagaan dan MLM (Multi Level Marketing). Saya minta maaf jika menyinggung perasaan orang-orang yang terlibat dalam bidang ini. Maafkan saya.

Maaf ya, maaf, maaf dan maaf. Apa yang saya katakan ini adalah berdasarkan pengalaman saya. Sebab itu saya sampai sekarang tidak suka dan tidak aktif dalam apa jua perniagaan berasaskan MLM. Oleh itu, kepada sesiapa yang berkenaan, berhentilah menghantar e-mel yang sedemikian terhadap saya, sekiranya anda membaca entri ini. Memang betul itu cara mudah untuk kaya, bagi andalah, tetapi tidak semua orang mahu jadi kaya dengan cara sebegitu. Citarasa setiap orang adalah berbeza, anda tidak boleh memaksa atau mempengaruhi saya.

Juga, saya juga terkilan dengan sikap beberapa orang kenalan. Sebab mereka menjadi rakan saya semata-mata untuk menarik saya menyertai MLM. Selepas saya menolak dan bertegas tidak mahu, mereka mula tidak bertegur sapa dan berpura-pura tidak mengenali saya, tidak nampak saya. Jadi selama ini apa yang mereka nampak bukan saya, tetapi sasaran perniagaan mereka. Ini adalah satu bentuk penghinaan dalam hubungan sosial manusia. Bukan seorang dua, malah ramai juga yang bersikap begini. Padahal dulu bukan main ramah lagi, mereka datang bertegur sapa, bertanya khabar dan berborak-borak. Cukup memalukan apabila anda mendekati seseorang itu hanya untuk kepentingan diri yang bersifat keuntungan.

Saya tahu, memang saya selalu memperlihatkan diri saya sebagai seorang yang tidak kaya. Jarang sekali apabila saya ke mana-mana dengan mengenakan pakaian yang kelihatan segak dan berstatus tinggi kecuali apabila saya menghadiri atau dijemput ke acara-acara rasmi dan formal, atau ketika keluar dengan rakan-rakan untuk tujuan tertentu, atau ketika saya pergi mengajar anak-anak murid saya (maka ketika itu saya akan berpakaian agak kemas). Itu pun agak mengecewakan apabila saya dapati ada hadirin yang tidak tahu protokol dan adab-adab dalam majlis rasmi. Biarlah, mereka masih kebudak-budakan. Saya sering ke mana-mana dengan imej yang tidak menarik, berpakaian lusuh, merendah diri, dan kelihatan tidak menarik. Ada sebab dan prinsipnya.

Ramai orang yang terpedaya. Mereka melihat saya ke mana-mana pun dengan berjalan kaki, tidak bermotosikal. Tetapi mereka pelik melihat saya sentiasa berduit. Lalu ada di kalangan mereka mendekati saya untuk mengetahui hal-hal sebenarnya. Ya, sebabnya saya melihat keseronokan dan kemewahan itu dari sudut pandangan yang berbeza dengan mereka. Bagi mereka, pakaian yang bergaya, baru, kasut, motosikal dan imej itu penting. Saya pula sebaliknya, wang adalah untuk tujuan mencapai hasrat dan cita-cita tertentu. Wang bukan untuk mempamerkan bahawa diri kita kaya dan berduit, kepada orang lain. Bukan untuk menyuruh orang tetapkan dalam minda bahawa kita berduit, kita ada imej, kita ada kelebihan dan sebagainya. Itu yang menyebabkan saya berbeza dengan golongan ini. Mereka tidak puas hati, malah mempersoalkan pula bagaimana saya boleh hidup dalam keadaan yang mereka tidak sanggup untuk melaluinya. Saya rasa soalan ini tak perlu saya jawab. Jiwa kita nyata berbeza. Hentikan persoalan ini.

Saya juga pernah merasai apa yang dikatakan mewah. Biasanya sebagai ganjaran untuk kejayaan-kejayaan yang pernah saya capai. Saya pernah menikmati makanan mewah berharga puluhan ringgit. Pernah juga menghabiskan wang untuk tujuan yang boleh dikatakan hanya untuk orang-orang berada sehingga menarik perhatian orang-orang tertentu, saya ni betul-betul miskinkah? Sejauh mana kekayaan yang saya miliki? Tidak, tidak. Bukan soal itu, tetapi soal bagaimana anda menggunakan wang anda. Anda boleh sampai ke luar negara jika anda tahu menguruskan kewangan anda. Itu saja. Jangan mendekati saya kerana saya kaya atau kerana anda rasa saya seorang yang kaya. Saya ada seorang sahabat baik, dia sekarang menangguh pengajian seketika untuk belajar di sekolah pondok, pun perangainya sama saya. Ramai orang tertipu bahawa dia seorang yang miskin, padahal dia jauh lebih kaya daripada saya. Saya mengakui saya cuma seorang anak dalam sebuah keluarga yang sederhana. Bezanya dia memiliki motosikal, dan saya tidak. Bezanya dia tidak memakai pakaian lusuh dan buruk seperti kebiasaan yang saya lakukan. Selain daripada itu, kami sependapat. Dia disenangi ramai, bicaranya menyejukkan hati orang ramai. Saya pula jenis yang berterus terang, kadangkala akan lantang bersuara dalam hal-hal yang saya rasa tidak betul. Namun begitu, kami berdua bersyukur kerana tetap disenangi ramai, sering dicari apabila ada yang memerlukan bantuan, tidak kira rakan atau kenalan. Alhamdulillah. Syukur kepada Tuhan yang memberi keupayaan kepada kami untuk membantu. Jika bukan kerana keizinan-Mu maka tidak ada kekuatan, kemahiran dan kebijaksanaan bagi kami untuk memberi pertolongan kepada hamba-hamba-Mu, iaitu orang-orang selain kami.

Ingatlah apa tujuan sebenar persahabatan. Sebab itu pernah saya katakan dulu dalam sebuah entri tidak lama dulu, mesejnya berbunyi begini, jika sesiapa bersahabat, bekerjasama dengan saya hanya kerana keuntungan dan kemewahan, dia akan berasa kesal dan kecewa. Sebab saya tidak tertarik pun dengan kemewahan. Saya pentingkan cita-cita saya, dan jangan peralatkan saya untuk cita-cita peribadi anda, sebab cita-cita saya bukan untuk diri saya dan bukan untuk diri anda semata-mata. Saya memikul nama saya sebagai landasan untuk mencapai cita-cita mutlak tersebut. Apa-apa yang didapati bercanggah atau mencapah dengan tujuan cita-cita tersebut, tidak akan saya terima untuk usul-usul bekerjasama. Walaupun pada sekali imbaskan, dari segi pelaksanaan dan rancangannya sama. Perbezaan matlamat tidak dibenarkan sama sekali untuk tujuan itu.

Ketegasan itu penting, sebab saya tidak mahukan sesuatu yang klise, sesuatu yang ada kontra dengan matlamat yang hendak dicapai. Tidak ada pertimbangan untuk mengubahnya sebab ini adalah hasrat dan cita-cita sejak beberapa tahun dahulu, dan saya mempunyai peta kehidupan yang harus telah ditanda setiap persinggahannya, bila, di mana dan bagaimana.

Sekian. Harap kepada sesiapa yang berkenaan, sila fahami pendirian saya.

Polis Jepun VS Darth Vader

Ketakutan Merupakan Keburukan Emosi Manusia


Berdasarkan prinsip Napoleon Hill, dikatakan terdapat tujuh jenis ketakutan yang boleh menjadi penghalang kejayaan individu. Ketakutan itu ialah: kemiskinan, kritikan, kesihatan yang buruk, kehilangan kasih sayang, kebebasan, usia tua, dan kematian. Oleh kerana minda anda sentiasa mencari jalan untuk menukar pemikiran anda menjadi realiti, anda mesti menggunakan kuasa mutlak anda terhadap apa yang anda fikirkan, bagi menghapuskan desakan negatif dan menggantikannya dengan pemikiran positif. Dengan menguasai pemikiran, anda menguasai ketakutan.

Sekian, Kata-kata Motivasi untuk hari ini.

Koleksi Rekabentuk Blog

Blog atau weblog kini sudah menjadi satu budaya penulisan yang menarik perhatian ramai. Blog menjadi satu ruang untuk menyampaikan pandangan, luahan rasa dan ilmu pengetahuan. Lebih menarik lagi apabila blog boleh diubahsuai mengikut citarasa pemiliknya. Di sini, ingin saya berkongsi beberapa laman web dan weblog yang menyediakan perkhidmatan rekabentuk blog secara percuma.

Ceriakan blog anda dengan pelbagai rekaan blog yang unik dan kreatif. Anda juga boleh cuba mencari sendiri dengan menggunakan kata kunci seperti: blog template, blog design, blog theme, blog skin, blog graphic, blog layout, blog fashion, blog button, blog style, blog image, blog tools, blog collection, blog sets, blog template generator, blog template maker, blog background, blog support, blog free blog template, blog CSS, blog code, blog HTML, blog free theme dan sebagainya.

Penat juga mata memandang, mencari laman-laman koleksi blog seperti ini, namun jauh berjalan, luas pemandangan. Akhirnya siap juga entri khusus untuk para pembaca sekalian mengenali dengan lebih lanjut laman-laman rekabentuk blog untuk kegunaan peribadi. Sebelum saya perkenalkan laman-laman rekabentuk blog, terlebih dahulu ingin saya jelaskan fungsi beberapa istilah penting dalam Bahasa Inggeris yang menjadi kata kunci dalam pencarian rekabentuk blog. Moga-moga ini akan menjadi panduan buat blogger-blogger baru.

Template = acuan rekabentuk blog
Layout = susun atur blog seperti teks dan kolum.
Template Generator = tidak perlu belajar mengenai kod html dan grafik secara mendalam, anda boleh mencipta blog mengikut citarasa anda sendiri. Ringkas. Tetapkan warna, grafik, tulisan dan rekabentuk blog anda, secara automatik Template Generator akan menyediakan kod-kodnya. Anda cuma perlu salin dan letakkan kod-kod tersebut dalam bahagian Template. Kata kunci yang seangkatan dengannya ialah 'Blog Template Maker'
Theme = merujuk kepada tema sesuatu blog, contohnya rekabentuk untuk peminat bola sepak, rekabentuk untuk peminat hiburan, kartun dan sebagainya. Kata kunci yang seangkatan dengannya ialah 'blog skin'



Isnani Blogger Templates
Isnani adalah seorang perekabentuk blog yang terkenal dari Indonesia. Saya memberi kredit dan penghargaan penuh terhadap beliau. Sekiranya anda menggunakan Blogger atau Blogspot, nama beliau sewajarnya tersemat dalam fikiran anda apabila mencari rekabentuk baru untuk blog anda. Rekabentuk blog saya juga adalah diteliti berdasarkan rekaan beliau. Pendek kata, Isnani adalah sumber rujukan utama saya dalam menghasilkan rekaan blog Duke Amiene Rev. Juga ada disediakan rekabentuk blog khusus untuk pengguna Wordpress. Jaringan alternatif untuk melihat rekaan Encik Isnani boleh juga dicapai menerusi freetemplates.blogspot.com


Blogger-Templates
Rekabentuk blog khusus untuk pengguna Blogger sahaja. Blog ini mempunyai koleksi rekabentuk Blogger yang menarik juga.


Gecko And Fly
Rekabentuk blog yang sungguh hebat dan menarik untuk para pengguna Blogger. Kebanyakannya siap diletakkan dengan Google Search. Ada juga rekabentuk khusus untuk pengguna Wordpress.


Pannasmontata Templates
Menampilkan perekabentuk-perekabentuk blog ternama seperti Vlad, Mando, Andreas, Dory, Angela dan Bell. Berpuluh-puluh rekabentuk blog disediakan khusus untuk pengguna Blogger, IoBloggo, Splinder & Motime, DBlog dan weblog-weblog yang berasaskan Bloghoster. Salah sebuah laman web popular untuk blogger-blogger yang suka mengubahsuai blognya.


Final Sense Blogger Templates
Jika anda mementingkan rekabentuk blog berdasarkan tema dan latar belakang blog berlandaskan grafik yang besar, Final Sense mungkin menjadi pilihan anda.


Laughing Lion Design
Tidak banyak rekabentuk Blogger di sini, namun ada juga rekaan yang menarik perhatian saya seperti Simple Apple dan Notebook.


Diaphaneity
Rekabentuk bertemakan untuk kucing comel seperti Hello Kitty menjadikan laman web ini sesuai untuk dicapai oleh kaum wanita. Oh, ya. Pastikan anda tidak lupa membaca terma-terma penggunaan rekabentuk blog tersebut. Anda harus bersetuju dengan syarat-syarat yang dikemukakan. Terma penggunaan = Term of Use.


Savatoons
Rekaan dalam laman web ini sesuai untuk kanak-kanak atau penggemar kartun. Rekabentuk blog yang disediakan kebanyakannya menggunakan warna yang agak kontra, warna-warna terang dan grafik-grafik bertemakan kartun.


Ann-S-Thesia: EyeSites Blogger Templates
Rekabentuk-rekabentuk blog berfasa untuk pengguna Blogger. Turut disediakan grafik-grafik percuma untuk anda mengubahsuai sendiri rekabentuk blog anda.


Anti-Ivy Templates
Bagi penggemar rekabentuk blog yang ringkas, ini adalah salah satu pilihan buat anda. Juga ditegaskan, semua rekaan dalam blog ini adalah untuk kegunaan blog yang bukan bertujuan komersil.


Noipo Blogger Templates
Terdapat beberapa rekaan blog ringkas untuk pengguna Blogger dan Moveable Type.


Manilena
Rekaan yang hebat dan feminis. Namun sekiranya anda berminat dengan rekaan-rekaannya, anda perlu mematuhi syarat-syarat yang dikemukakan seperti tidak boleh mengubahsuai sebarang grafik yang digunakan dan anda juga perlu mewujudkan jaringan balik terhadap laman web ini.


Glen Road Girls Blog Sets
Menampilkan pelbagai rekabentuk blog bertemakan: Bridal, Feminine, Fine Arts, Food, Hobbies, Holidays, Misc., Nature, news, Patriotic, Pin-Ups, Seasonal, Simple, WordPress, dan Writing


Eris's Template Generator
Sekiranya anda ingin mengubahsuai sendiri rekabentuk blog anda, anda boleh mencubanya menerusi laman web ini. Buat pilihan warna, jenis tulisan, susun atur dan sebagainya berdasarkan bahan-bahan yang disediakan. Kod-kod html akan dihasilkan dan anda boleh meletakkan kod tersebut ke dalam akaun anda di bahagian 'Template'.


Point of Focus
Boleh tahan juga rekabentuk-rekabentuk dalam laman web ini. Khusus untuk pengguna-pengguna Blogger.


Blogstyles
Menyediakan rekabentuk-rekabentuk blog asas yang ringkas dan kosong. Rekabentuk-rekabentuk ini sengaja dikosongkan untuk memudahkan anda mengubahsuainya kemudian. Terdapat pelbagai struktur asas rekabentuk blog yang disediakan termasuk satu kolum, dua kolum dan tiga kolum untuk jurnalis Blogger dan Moveable Type.


Not That Ugly
Salah satu sumber rekabentuk blog terawal dalam dunia Blogger. Rekabentuk blog khusus untuk pengguna Diaryland, Xanga, Blogger, Textpattern, Expression Engine dan Tabulas.


Spiderman Blog Templates
Anda seorang peminat setia Spiderman? Serlahkan blog anda dengan rekaan khusus untuk para peminat Spiderman. Sesuai untuk pengguna Blogger, LiveJournal dan Web Log.


Ehsany Blog Templates
Ehsany adalah mencipta rekabentuk blog untuk pengguna Blogger, Blogsky, Persian blog, dan Movable Type.


Blog Fashions
Rekaan yang disediakan setakat ini khusus untuk pemilik Moveable Type sahaja.

Sekian sahaja ulasan ringkas saya mengenai laman-laman web yang menyediakan pelbagai rekabentuk blog percuma untuk anda. Ini adalah salah satu entri kesayangan saya.

Sabtu, November 18, 2006

Dibuang Kerja Kerana Menulis Blog Tersebut

Seorang sahabat antarabangsa telah dibuang kerja kerana menulis mengenai fakta-fakta benar mengenai Muslim menerusi blog yang ditulis secara berkumpulan oleh jurnalis-jurnalis dari seluruh dunia. Berikut adalah petikan daripada blog tersebut. Oh, ya. Tidak sangka, apabila makin sibuk, makin banyak idea datang mencurah. Hari ini saya menulis lagi. Entah kenapa, seolah-olah waktu bergerak terlalu perlahan biarpun telah banyak aktiviti dilakukan dalam satu hari. Dengan ini tidak mustahil untuk menyiapkan satu novel pendek dalam satu malam. Kekuatan dan kemampuan luarbiasa ini adalah dengan keizinan daripada Allah. Alhamdulillah. Betapa besarnya kekuasaan-Nya. Menjadikan sesuatu yang mustahil itu tidak mustahil.

Berikut adalah petikan entri dalam blog tersebut:

"I lost my job sometime ago, I was told to leave due to this blog. I was however given an option of staying back – but that would mean deleting this blog. I didn't share this before as at that stage I had extremely mixed feelings and didn't know if it would correct to share such feelings with others. I know it is wrong - but I did feel like deleting this blog and just going back to the fairly comfortable job and security which I had.

I feel it was a sin and even a form of betrayal now to have such ideas at that time. But then I thought about it a bit more - if I had deleted this blog would I be really happy say 5 years down the line with my secure job? Why did my company even want me to stop and delete this blog? I wasn't saying anything wrong - was I? Would I be able to be happy for long in a company where people who speak out for peace and equality are not respected?


Luckily I decided to do something which seemed tougher at that stag. A place where apartheid is followed was definitely not where I would stay for long.
I decided to leave and submit myself to Allah (or God or whatever other name you use) I knew Allah would guide me and take care of me- and had something planned for me. That is what my heart told me and still tells me. The mind however sometimes plays games.

Finding a new job also was a problem, I was suggested by many people to change my name and even my religion. A few people I know have done it to get a job, but at home they practice Islam. But that would be going against what I and several of us stand for. If I did that I would just be further enforcing the idea that Islam is some form of cult or evil practice which needs to be hidden and practiced. Why should we hide and do something which is so pure and does not mean to hurt or harm anybody?

However I have received a lot of support from all my brothers and sisters here, all of whom wish to remain anonymous to the world while giving with pure hearts, and continue to do so. My duas for all of them and I once again thank all of them for supporting me, and reinforcing my belief that once we submit ourself and follow the path of truth we will always be happy and mentally at peace with our conscience.

I want the world to be one where people are not forced to change their names or their identity to live respectfully as normal citizens. I and billions of other people want a world where people are not treated as criminals for things they have not done- and I know together we will do it.
I know that soon if we work together we shall all see a world where we all live together in peace as one."


Sumber: muslimunity.blogspot.com

Khamis, November 16, 2006

Keputusan UPSR 2006 Online

Keputusan UPSR 2006 kini boleh disemak secara online
menerusi jaringan yang disediakan di bawah:

SEMAK KEPUTUSAN UPSR ANAK ANDA

Sementara itu keputusan PMR 2006
dijangka keluar pada 24 atau 25 Disember 2006.

Cakap-cakap: Memperjuangkan Bahasa atau Kepentingan Bahasa

Perjuangan harus berteraskan kepada realiti. Dalam apa jua keadaan pun. Bahasa tidak perlu diperjuangkan jika tidak ada kepentingannya. Jika tidak ada fungsi atau gunanya sesuatu perkara itu, maka tidak wajarlah perkara tersebut diperjuangkan.

Apabila menyebut soal memperjuangkan Islam, ramai orang mengaku diri mereka memperjuangkan Islam. Serata dunia, muncul para pemimpin, ahli politik, penduduk tempatan, malah mahasiswa yang mengatakan diri mereka sebagai pejuang Islam.

Apakah Islam itu yang diperjuangkan atau kepentingan Islam itu sendiri yang diperjuangkan? Definisi memperjuangkan Islam itu menjadi kabur. Apa pula definisi memperjuangkan? Islam itu tidak akan diperjuangkan jika ia bukan nama yang mewakili suatu agama. Islam itu diperjuangkan kerana kepentingannya, kebaikan yang terkandung dalam Islam itu sendiri. Ini secara logiknya dan logik ini benar sama sekali dan wajib dipercayai oleh seluruh umat Islam. Maka apabila menyebut memperjuangkan Islam secara langsungnya harus diingat bahawa apa yang diperjuangkan itu ialah memperjuangkan kepentingan Islam. Apakah pula definisi kepentingan? Saya berhenti di sini. Kembali semula kepada tajuk.

Bagaimana pula dengan Bahasa Melayu? Wajarkah Bahasa Melayu diperjuangkan, atau kepentingan Bahasa Melayu diperjuangkan. Kenapa orang menyebut memperjuangkan bahasa, bukan memperjuangkan kepentingan bahasa. Justeru, dapat dilihat di sini bahawa makna memperjuangkan itu sendiri telah tersarat suatu elemen kepentingan, tidak ternilai, kebaikan yang terdapat dalam perkara yang diperjuangkan itu.

Maka saya beranggapan bahawa perbuatan memperjuangkan Bahasa Melayu itu pada dasarnya membawa maksud melindungi, menjaga, mengangkat, menghargai, menghormati, memuliakan, mengagungkan dan menyerlahkan kepentingan Bahasa Melayu.

Bahasa Melayu tidak akan kelihatan penting jika tidak digunakan dalam apa jua urusan pun. Bahasa Melayu itu tidak akan menjadi penting jika tidak menjadi syarat dalam apa perkara kebaikan pun. Bahasa Melayu itu tidak akan menjadi penting jika tidak dapat membantu menyebarkan ilmu pengetahuan. Bahasa Melayu tidak akan menjadi penting jika tidak dapat memperluaskan kuasa, pengaruh sesuatu bangsa. Bahasa Melayu tidak akan menjadi penting jika tidak dapat mengubah sesuatu yang buruk itu menjadi baik dan sesuatu yang baik itu menjadi lebih baik.

Ini cuma sekadar pandangan peribadi saya. Sekian.

Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com

Kisah Silam Aku


The Cave Of The Golden Rose
Sebelum anda membaca entri ini, sila mainkan lagu di atas. Jika anda rasa anda juga seperti saya, masukkan perkara di atas ke dalam blog anda. Jika anda juga merasa de ja vu apabila membaca entri ini, maka tujuan saya itu sudah 'mengena'.

Aku dilahirkan pada suatu tahun. Tahun itu dipanggil orang Tahun Anjing. Anjing itu sifatnya setia. Garang. Berani. Aku tidak peduli apa orang kata. Anjing atau Harimau atau Naga, apa saja aku tidak peduli. Cuma aku tahu maksud nama aku ini. Ayahandaku kata, maksud namaku ini ialah Pemimpin Berilmu.

Sebelum aku mampu bercakap, aku sudah boleh memahami apa yang orang katakan. Rel keretapi, rumah kayu, batu-batu kelikir, pohon-pohon pisang. Pinang, kapur, batik coklat, perigi dan gayung tempurung. Suasana seperti itu, sudah lama tidak aku rasai.

Kemudian sekitar usiaku tiga tahun, aku sudah boleh bercakap dan mengeja. Tidak ada sesiapa mengajar aku membaca. Aku pandai sendiri. Aku cuma tahu jika dieja begini, maka sebutannya begini. Aku kemudian dihantar belajar ke sekolah tadika, lebih awal daripada kanak-kanak seusiaku. Guru tadika menyuruh aku melakukan pelbagai perkara. Merekacipta pelbagai benda. Mengubah bentuk binatang dengan plastisin. Suatu hari gambarku diambil, aku tidak tahu kenapa cuma gambar aku yang diambil. Tidak anak-anak kecil yang lain. Aku cuma tahu, di sekolah aku mendapat layanan istimewa.

Aku masuk ke sekolah. Ketika itu, banyak perkara aneh berlaku. Suatu hari aku membonceng basikal dengan kakandaku. Aku menceritakan perkara ini, aku beritahu kakandaku, "Kenapa masa depan itu begitu mudah untuk dilihat?" Aku tahu kakandaku sudah tidak ingat kisah zaman kecilnya. Tapi aku masih ingat. Sebab waktu itu aku berkesedaran.

Suatu hari guruku menerangkan tentang penyakit. Kemudian guruku memintaku membaca sesuatu. Aku tidak puas hati. Aku rasa apa yang diterangkan dalam buku itu terlalu kebudak-budakan. Kelakar, aku juga budak. Baru berusia tujuh tahun.

Aku menerangkan mengenai kuman baik dan kuman jahat. Sebenar apa yang aku terangkan itu ialah konsep sel darah putih dan darah merah. Aku tidak tahu. Tidak ada orang mengajarku. Aku cuma tahu aku tahu benda ini betul. Aku menerangkan dengan yakin, dengan kefahamanku, dengan ayatku sendiri. Rakan-rakan sebayaku ketawa. Guruku terdiam. Dia menyuruh semua budak diam. Guru itu berkata dengan nada tergagap-gagap, serius,"Apa yang Amien terangkan itu semuanya betul." Guruku memandangku dengan mata yang pelik, seolah-olah ada perasaan takut, perasaan yang aneh. Sejak itu aku jadi popular di kalangan kawan-kawan sebayaku.

Kawan-kawanku sering kali membenarkan apa yang aku kata. "Amien seorang Profesor. Apa yang Amien cakap semuanya betul." Aku tak kisah. Aku tidak tahu apa perasaan orang lain ketika itu. Setiap kali ayahandaku pulang membawa surat khabar, aku cepat-cepat merebutnya, membacanya. Aku suka sekali dengan buku-buku. Buku-buku kecil juga. Apabila usiaku mencecah lapan tahun. Aku menulis buku tentang warna. Konsep warna. Kesepadanan warna. Gabungan warna. Peranan warna dengan objek-objek yang biasaku lihat. Lalu aku menebuk dua pada bahagian sisi buku itu. Mengikatnya menjadi buku. Buku pertama tulisanku.

Aku membesar sebagai pelajar yang pemalu, rendah diri dan unik. Surat khabar masih menjadi rebutanku. Paling aku suka ialah ruangan artikel tulisan Ainon Mohd. Mengenai pemikiran, mengenai teknik-teknik berfikir. Sesuatu yang ganjil, ialah kebolehan kinestatik yang kumiliki. Aku pandai bersukan. Cepat menangkap. Olahraga kegemaranku. Apabila tiba masa pendidikan jasmani, aku sering ditarik-tarik supaya menyertai pasukan, kumpulan pelajar. Sebab aku selalu menang. Oh, ya. Ahli-ahli keluargaku memang terdiri daripada kalangan atlit sekolah. Adik-beradikku lasak tidak kira lelaki atau perempuan. Ayahku juga pernah menjadi Pengerusi Kelab Tenis di tempat kerjanya, dia sering menyandang kejuaraan.

Aku tidak takut kepada pelajar-pelajar nakal yang lebih tua daripadaku. Pernah suatu ketika, adindaku dibuli orang. Apabila aku melihatnya, aku membuli budak itu semula sampai menangis. Pernah suatu ketika, kakandaku dibuli orang, lalu aku mematahkan tiang kayu penyidai dan membelasah budak itu dengannya. Aku sudah menjadi seorang yang agresif. Selincah monyet, selaju arnab berlari, tajam deria dan kekuatanku dikatakan luar biasa. Apabila aku naik angin, semua pelajar tidak berani mendekatiku, tidak berani masuk ke kelas. Dunia makin ganjil. Aku bukan milik dunia ini. Kesedaran luar biasa makin kuat. Masa depan. Seolah-olah boleh diketahui. Boleh diagak. Ini bukan firasat, sebab gambaran masa depan itu boleh dilihat. Bukan sekadar rasa-rasa, bukan deja vu. Ini perasaan benar, aku mengetahui sesuatu akan berlaku, lalu aku menunggu dan melihat sekiranya ia benar-benar berlaku. Dan ia benar-benar berlaku! Ini bukan deja vu. Ini takdir yang sudah diberitakan lebih awal.

Kemahiran melukisku meningkat. Aku tidak tahu kenapa aku boleh melukis, aku cuma tahu aku mampu melukis. Aku melukis potret seseorang. Itu M. Nasir. Adik beradikku, bibiku (pengasuhku), kagum. Abang sulungku berhasad dengki, dia mengatakan lukisan itu dia yang lukis. Ketika itu abang sulungku sudah sekolah menengah. Aku pula budak baru belajar sekolah rendah. Suatu hari dia menconteng buku kerja Bahasa Inggerisku. Dia melukis gambar-gambar. Helikopter dan sebagainya. Seolah-olah mahu buktikan dia lebih hebat daripadaku. Dia geram dan marah dengan kebolehanku. Aku tidak berani membawa buku itu ke sekolah. Setiap kali waktu kelas, aku dimarahi dan didenda oleh guru Bahasa Inggerisku. Dirotan dan disebat. Aku mendiamkan diri apabila ditanya ke mana hilangnya buku Bahasa Inggerisku. Abangku telah menconteng buku itu.

Umurku sekitar sembilan tahun. Aku dikatakan lebih kuat berbanding kawan-kawanku. Kekuatanku luarbiasa. Aku juga semakin suka berkawan dengan binatang-binatang. Arnab, itik, kucing, lebah, ular dan sebagainya. Kadangkala aku meniru gaya mereka. Aku mempelajari cara binatang-binatang ini berkomunikasi, merasai daun-daun lalang, bermanja, bergurau dan memburu. Seolah-olah ada aliran vibrasi, fikiran halus terhubung antara aku dan haiwan-haiwan ini. Aku merasai angin, menghayati bunyi daun-daun, cengkerik, siulan serangga, ranting patah dan bau daun kering. Kemudian secara tidak langsung, pelbagai falsafah dan teori tercetus dalam fikiranku. Kehidupan sungguh unik. Apabila kita ada sesuatu pertanyaan, jawapan itu tersembunyi dalam alam ini. Alam ini sahabat kita. Damai. Tenang.

Ada sebuah majalah yang menjadi kegemaranku. Majalah Kuntum. Adik-beradikku yang lain semuanya hairan kenapa aku suka sangat baca majalah ini. Membosankan. Buku ini seolah buku akademik. Tidak kelakar. Di dalamnya terkandung banyak fakta, aktiviti sosial dan sebagainya. Aku pula meminatinya. Setiap kali pulang ke kampung, aku suka berkurung di dalam bilik datukku. Ada banyak buku-buku dari luar negara. Kadangkala aku mencuri buku-buku ini, membawanya pulang ke rumah. Aku suka buku-buku ini. Biarpun sudah berdebu. Biarpun sudah kuning. Biarpun sudah kering halaman-halamannya. Apabila berhari raya di rumah orang, yang menjadi tumpuan aku bukannya duit raya, atau kuih raya, atau permainan video, tetapi almari buku yang besar-besar. Aku menarik keluar sebuah buku dan membacanya sehingga keluargaku mahu beredar dari rumah itu. Aku juga gila memancing. Tahan berpanas di tengah hari. Juga suka berkubang di kolam ikan. Bertembung dengan ular air sudah menjadi perkara biasa. Ular ekor kontot itu kelakar juga telatahnya.

Umur aku meningkat sepuluh tahun. Aku sudah petah berbicara. Daripada seorang pendiam, aku berubah menjadi seorang yang peramah. Namun seketika sahaja. Aku dirundung perasaan murung. Ini zaman gelap aku. Aku sering kali berkurung di tempat gelap, bersandar di almari buku milik keluargaku. Membaca pelbagai jenis buku, bidang keagamaan, Sirah, Psikologi, Sosial, Sejarah, Matematik, Sains, Fizik, Alam dan Manusia, Dilema Melayu, Pendidikan Jasmani, Kemahiran Hidup, Resepi Barat, Ukiran, Arkitek, Biologi dan sebagainya. Sejak itu mataku semakin kabur. Pelajaranku pada usiaku tidak stabil. Aku dianggap sebagai seorang budak yang ganas, agresif, nakal dan sering menimbulkan masalah di sekolah. Suatu ketika aku mendapat markah tertinggi dalam Bahasa Melayu, semua orang terkejut. Aku sendiri tidak tahu, namun itu sebenarnya adalah kunci yang memberitahu, bakat dominan dalam diriku.

Umur sebelas tahun, aku sudah mula bermain bola sepak. Daripada penjaga gol, pemain tengah, pemain pertahan dan penyerang, semua posisi aku bermain. Aku paling suka jadi pemain tengah. Aku suka berlari menyekat bola, menghantar bola. Aku tidak kisah siapa pun yang menjaringkan gol. Cukup seronok! Zaman itu cukup seronok! Kadangkala aku berbasikal dengan rakan-rakan rapatku. Juga mengacau budak-budak perempuan sebayaku. Hidup pada zaman kanak-kanak penuh dengan pengembaraan dan fantasi. Bermain kongsi gelap, kumpulan baik menentang kumpulan jahat, bergaduh suka-suka, kejar mengejar dan sebagainya. Aku paling suka memutar-mutarkan kawan-kawanku sehingga melayang-layang di udara. Biar dia pening. Ganas betul aku ketika itu. Namun sama seperti tahun-tahun sebelumnya, aku paling suka pergi ke hutan, bersama ayah, bapa saudara dan adik beradikku. Bercucuk tanam, mengutip buah-buahan, mandi di sungai, mengutip siput dan ketam. Kadangkala terjumpa ikan yang seperti belut di dalam buluh. Aku sudah lupa nama ikan itu. Barangkali sudah pupus. Buah beluru, sungai berpasir, air sejuk dan nyaman menyegarkan. Indah sungguh pengalaman ini.

Banyak bahagian sudah kutapis. Kisah-kisah dan peristiwa-peristiwa dalam hidupku terlalu panjang untuk ditulis di dalam blog ini. Ah, lebih baik aku simpan dulu catatan ini. Entah bila mahu aku terbitkan dalam blog ini. Tunggulah bila aku rasa patut diterbitkan atau tidak. Ramai orang selalu menulis hal-hal peribadi dan luahan rasa di dalam blog. Aku juga patut menyelitkan perkara yang sama. Kisah yang menyebabkan aku rasa sunyi. Sebab aku mahu menemui rakan-rakan yang seperti denganku. Aku ini Indigo. Pemikiranku lain dari yang lain. Aku meminati sesuatu yang artistik bukan kerana keindahannya tetapi keupayaannya untuk meningkatkan penyebaran ilmu. Sampai di sini saja.

Aku gila kerana menulisnya di sini. Namun sudah sampai masanya untuk aku bertemu dengan mereka. Keluarlah! Mari kita bertemu lagi. Biar kita bertemu. Kita adalah saudara-saudara yang paling rapat. Berhenti terngiang-ngiang, berhenti bergema-gema. Berhenti bermimpi. Hadapi realiti.

Sudah semakin sampai masanya untuk pergi ke sana. Ini akan menjadi titik perubahan dalam hidupku. Sangat sibuk. Sangat sibuk!

Sudah Gila!

Kata kepada diri sendiri:

Sejak akhir-akhir ini terlalu banyak idea untuk ditulis. Akhirnya saya memutuskan untuk melakukan kerja-kerja penulisan yang mendalam, selain daripada penulisan tesis dan akademik saya.

Saya berharap untuk menulis tiga buah novel dalam masa satu minggu. Buat masa ini jam belum dikunci, tetapi idea itu sudah makin bercambah. Antara novel-novel yang ditulis itu, cuma yang terbaik akan dipilih. Yang lainnya akan dikitar semula menjadi novel-novel baru.

Harap-harap kata ini akan tersemat dalam jati diri. Sebelum penghujung tahun 2008, saya mahu menghasilkan sekurang-kurangnya 5 buah novel. Genrenya sudah ditetapkan!

Syarikat penerbitan akan dihubungi kemudian. Resolusi telah ditulis di dalam blog. Apa yang sudah ditulis di dalam blog, mesti dilaksanakan. Kalau gagal melaksanakannya, hukuman terhadap diri sendiri harus dilakukan. Apakah hukuman itu? Sudah pasti hukuman yang sangat... sangat... berat!

Pegang kata-kata ini!

Rabu, November 15, 2006

SPM: Hidup dan Matimu?

Langit masih mendung, tetapi tidak semendung pada malam hari. Tengah hari sudah berlangsung, matahari tegak, cahayanya patah tidak dapat menongkat bumi. Adakah keputusan SPM itu akan menjadi tongkat masa depanmu, duhai anak-anak muridku?

Peperiksaan yang telah berlangsung, apakah pula yang berlangsung di mindamu, wahai anak-anakku? Apakah hari ni masih bermain di fikiranmu, lorong-lorong jalan, asap motosikal dan bunyi enjin ketika kau merempit di jalanan? Atau masih adakah dalam fikiranmu, kisah-kisah cinta yang mengiringi masa-masa lalu? Atau terlintas dalam fikiranmu, permainan komputer dan semak-semak yang menjadi kubu pontengmu?

Oh, tidak. Bukan begitu. Wahai anak-anak muridku, dalam fikiranmu kini masa depanmu. Dalam mindamu kini bidang kerjayamu. Dalam lintasan cita-citamu kini ialah usaha, tekad dan tawakal.

Jom, kita sama-sama mengulangkaji. Gurumu di sini, dan kalian pula di sana. Mari, kita jejakkan kaki ke medan peperiksaan. Gurumu di sini, dan kalian di sana. Sama-sama kita menjawab soalan itu.


Terus, mara!

Jangan terusik dengan rintik-rintik hujan!
Melangkah terus!
Jangan megah dengan ilmu sedia ada!
Maju ke hadapan!
Jangan merajuk dengan kekesalan kisah silam!
Ayuh! Gerakkan semua panca inderamu!
Aktifkan mindamu, tanganmu, kakimu, matamu, lidahmu...!


Selasa, November 14, 2006

Pandangan Peribadi Mengenai Kempen Budi Bahasa Dan Nilai-nilai Murni

Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni
Fasa II 2006

SUMBER:
www.heritage.gov.my


VISI: Budi Bahasa Intisari Jatidiri Bangsa Malaysia
MISI: Melahirkan Masyarakat Malaysia Yang Berbudi Bahasa
OBJEKTIF: Menanam, Menghayati dan Mengamalkan Nilai-nilai Murni
TEMA: Bagi tahun 2006, nilai murni yang dipilih sebagai tema ialah Kesopanan. Ia selaras dengan prinsip kelima Rukun Negara iaitu 'Kesopanan dan Kesusilaan' dan diterjemahkan ke dalam aktiviti-aktiviti kekeluargaan, pembelajaran, kemasyarakatan dan perkhidmatan.

Ulasan: Tema yang dipilih iaitu kesopanan adalah sangat tepat. Sejak akhir-akhir ini sering kita lihat masyarakat kita bertindak kurang sopan, kasar dan liar tidak kira dalam apa jua urusan sosial. Lebih menyedihkan lagi apabila golongan yang bertindak kurang sopan, kasar dan liar ini terdiri daripada golongan dewasa itu sendiri. Kejadian yang memalukan ini biasa dilihat dalam sektor pekerjaan yang melibatkan perkhidmatan awam.



Aktiviti-aktiviti Selari Dengan Tema

1. Mengenang Jasa Ibu Dan Bapa (Kekeluargaan)
Mengadakan aktiviti seperti makan sekeluarga, menghormati ibu dan bapa, meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa, pertandingan sajak, pertandingan bergambar dan minggu keluarga.

Ulasan: Aktiviti yang berkaitan dengan menghormati ibu bapa, hubungan dengan ibu bapa perlu dijelaskan lagi. Contohnya mencium dahi, pipi dan tangan ibu bapa. Memeluk ibu bapa. Saya tahu dan pernah lihat anak orang yang enggan atau malu untuk berbuat demikian. Patut kita semaikan dalam acara seperti ini.


2. Pelajar Berbudi Bahasa (Pembelajaran)
Mengadakan pertandingan pidato, bahasa, pantun, drama, sketsa, choral speaking, boria, dikir barat, kuiz, nasyid, Kembara Budi Bahasa, melukis, animasi, Anugerah Asrama Terbilang dan Kem Jatidiri.

Ulasan: Saya tak nampak elemen-elemen kesopanan terhadap guru dan masyarakat dalam aktiviti yang dinyatakan di atas. Bagaimana aktiviti pidato, melukis itu dapat membentuk kelakuan sopan pelajar terhadap guru? Mungkin secara pernyataan ayatnya tidak ada, tetapi objektif, matlamat dan hasilnya akan dapat dilihat apabila kita melibatkan diri dalam aktiviti ini. Setakat ini anak-anak murid saya mencium tangan dan mengucap salam apabila bertemu guru. Juga perlu ditegaskan di sini, cara mengemukakan soalan, tingkah laku dalam kelas, kawalan diri murid semasa guru mengajar, cara menjawab panggilan guru dan sebagainya.


3. Berbudi Bahasa (Kemasyarakatan)
Mengadakan aktiviti seperti Minggu Budi Bahasa, Kenali Jiran Anda dan Kempen Pemanduan Bersopan.

Ulasan: Aktiviti-aktiviti yang diwujudkan belum cukup memadai. Perlu ditegaskan dan dijelaskan dengan secara langsung di sini apakah itu Minggu Budi Bahasa. Bukan sekadar kenali jiran anda, malah kenali orang yang lebih tua daripada anda, kenali rakan-rakan anda juga patut dilakukan. Sikap mementingkan diri sendiri di kalangan pemandu masih boleh dikesan semasa musim perayaan baru-baru ini. Masih ramai pemandu yang menggunakan laluan paling kiri untuk cepat sampai ke destinasi dan hal ini menimbulkan kesesakan lalu lintas.


4. Senyum dan Terima Kasih (Perkhidmatan)
Mengadakan kempen 'Kenali Saya' bagi anggota penguatkuasaan dan perkhidmatan kaunter supaya mengamalkan budaya senyum, memperkenalkan diri dan mengucapkan terima kasih.

Ulasan: Kempen ini masih gagal sebahagian besarnya. Masih ada pemandu bas, pemandu teksi, pelayan kafe, tukang gunting rambut, penjual yang kasar, kerani yang panas baran, kasar dan biadab. Satu usaha yang serius perlu dilakukan. Jika budaya berbudi bahasa dapat diwujudkan di kalangan masyarakat Malaysia, maka itulah tarikan pelancongan yang paling utama. Juga dapat mengurangkan tekanan emosi semasa bekerja di kalangan rakyat Malaysia.


5. Cintai Alam Sekitar, Flora dan Founa
Mengadakan aktiviti seperti gotong-royong 'Sungaiku Bersih Alamku Permai',' Tandas Bersih', 'Kampung Indah Masyarakat Ceria', 'Anugerah Bandar Berbudi Bahasa', 'Anugerah Gerai/Pasaraya Terbaik' dan 'Anugerah Untuk Perusahaan Kecil'.

Ulasan: Masih tidak terlaksana dengan baik terutama di bandar-bandar. Hal ini menimbulkan kesan wabak denggi percuma untuk penduduk setempat. Prosedur-prosedur ringkas tetapi fleksibel harus diwujudkan supaya mudah difahami dan diikuti oleh penduduk setempat. Wang yang digunakan mengubati penyakit denggi dan usaha pembersihan tampak lebih tinggi berbanding usaha untuk melantik orang-orang tertentu bagi mengawasi tindak tanduk penduduk tempatan dari membuang sampah di merata-rata tempat.


Pandangan daripada laman web asal:

Kempen ini perlu diadakan kerana kedapatan di kalangan masyarakat masa kini nilai-nilai dan amalan hidup yang kasar, yang langgar bahasa, yang tidak mengendahkan tatasusila dan beradab. Cara memberi khidmat, cara melayani pelanggan atau orang ramai oleh kakitangan kaunter hadapan di jabatan-jabatan kerajaan seterusnya menimbulkan tidak puas hati di kalangan orang ramai.

Ada yang menjawab telefon dengan kasar dan acuh tak acuh (atau langsung tidak terjawab), surat-menyurat rakyat yang lambat dijawab, merosotnya amalan gotong-royong dan kecenderungan menolong orang lain dalam kesusahan, menghilangnya amalan hormat-menghormati identiti manusia dan pihak-pihak tertentu yang dahulunya dihormati, keterlaluan mengejar kemajuan kebendaan sehingga kita lupa akan betapa pentingnya tatasusila berhemah diamalkan semula secara menyeluruh. Tuntutan Rukunegara tentang ketatasusilaan yang baik harus diisi semula. Bangsa Malaysia yang dicita-cita harus terus berbekal amalan-amalan murni.


PETlKAN DARIPADA UCAPAN YAB PERDANA MENTERI
Sempena Majlis Pelancaran Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni Peringkat Kebangsaan

"Pembangunan modal manusia menjadi sangat penting kepada negara pada masa depan dan mereka ini mestilah berkualiti, kualiti bukan sahaja dari segi pendidikan, kepakaran.. .tetapi juga dari segi nilai moral yang tinggi, bertanggungjawab dan mengutamakan nilai-nilai murni dalam kehidupan"

"Negara akan menjadi agung jika warganya terdiri daripada insan-insan yang mengamalkan budaya murni"


Kesimpulan: Rancangan-rancangan yang dilakukan untuk menjayakan Kempen Budi Bahasa wajar dipuji, namun dari segi pelaksanaannya masih tidak berjaya sepenuhnya. Sehingga ke hari ini masih wujud sikap yang melanggari hasrat dan objektif yang ditanamkan oleh kerajaan melalui Kempen Budi Bahasa. Penekanan secara praktik harus dibuat di mana perlu ada satu program di mana semua peserta yang terdiri daripada warganegara Malaysia, tidak kira tua, muda, berpelajaran atau tidak, harus menyertainya dan mempraktikkan tingkah laku sopan dan berbudi bahasa di bawah pemerhatian dan pengawasan pihak berkuasa. Mungkin boleh dijalankan secara kelompok besar di serata Malaysia.

Tidak rugi jika wang dihabiskan untuk tindakan sedemikian sebab seorang manusia yang berbudi bahasa, bertanggungjawab dan suka berbakti itu jauh lebih bernilai daripada wang satu juta ringgit. Usaha kita seharusnya ke arah ini!

Klik kanan: Muat Turun Teks Ucapan Berkaitan Kempen Budi Bahasa (PDF)

Isnin, November 13, 2006

Dalam Kegelapan Suram Tragis Berguguran Hujan

Kelihatan bangunan-bangunan runtuh di persekitaran. Seolah-olah ditimpa bencana. Langit gelap dengan awan hitam. Kelihatan lopak-lopak air. Namun tidak ada hujan yang turun. Aku berada dalam kelompok manusia yang satu orang pun tidak aku kenal. Namun mereka semua seolah-olah telah lama mengenaliku.

Ketika itu aku melihat ada satu jasad berupa manusia. Tubuhnya kecil sahaja seperti kanak-kanak. Berwarna hijau pucat bercampur biru dan kelabu pucat. Duduk terbaring dalam bingkisan daun hijau gergasi. Pohon-pohon menjalar meliliti tubuhnya. Rambutnya kelihatan seperti jurai-jurai tumbuhan menjalar. Ini sudah pasti bukannya manusia. Aku lalu menghampirinya dan menyentuhnya. Tiba-tiba jasad itu bercahaya dengan warna hijau kekuningan. Namun tetap tidak terbuka matanya. Masih dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Kau telah menyembuhkannya." Tiba-tiba di kalangan orang ramai itu terdengar seseorang bersuara.

Tiba-tiba di kalangan orang ramai itu berlaku perbincangan. Aku tidak kenal mereka ini tetapi aku rasa rapat dengan mereka. Mesra dengan mereka. Mereka seolah-olah mahu pergi ke suatu tempat. Ketika itulah datang pula unggas-unggas dan juga kelawar yang besar-besar berterbangan rawak di angkasa. Terbang rendah dan berhinggapan.

Kemudian datang kepadaku, seekor haiwan yang rupanya seakan-akan harimau dan seakan-akan singa. Lalu aku naik ke atas badannya dan menunggangnya. Juga datang pula seekor binatang seperti beruang rupanya. Lalu makhluk aneh yang bercahaya hijau kekuningan itu diletakkan di atas badan binatang yang seakan-akan beruang itu.

Selepas itu kedua-dua haiwan itu berlari laju ke suatu arah. Aku menunggang haiwan yang seakan-akan harimau itu. Manakala makhluk aneh itu masih tidak sedarkan diri berada di atas binatang yang berupa beruang itu. Aku terasa seolah-olah rapat dengan binatang-binatang ini. Namun aku tidak kenal siapa mereka? Lalu kami melalui kawasan-kawasan yang kelihatannya seperti sebuah dataran ladang, dengan tumbuhan-tumbuhan seakan-akan nenas atau kelapa sawit renek. Juga kelihatan beberapa tempat yang kelihatan lopak-lopak air.

Dan kami terus memecut laju, naik ke atas sebuah bukit yang makin tinggi dan makin tinggi. Sampai di puncak bukit itu, kedua-dua binatang itu berhenti. Makhluk aneh itu masih tidak sedarkan diri. Aku pula masih duduk di atas binatang yang berupa harimau itu. Kami memandang dari atas bukit itu. Tiba-tiba di suatu arah, kelihatan matahari sedang terbit.

Sementara itu di pinggir pantai, kelihatan beribu-ribu binatang seperti cacing dan ulat bulu naik ke pesisiran pantai. Suasana masih diselubungi kegelapan, seperti mendung hendak hujan. Dan, aku masih duduk di atas badan haiwan itu seolah-olah memahami sesuatu akan berlaku lagi.

Jangan ketawakan saya. Ini cuma mimpi. Entah kenapa tiba-tiba saya mendapat mimpi seaneh ini. Saya rasa mimpi ini patut diabadikan dalam blog ini.

Ahad, November 12, 2006

Contoh Penulisan Folio Kajian Sejarah Tempatan

Penulisan, esei atau karangan Folio atau Kajian Sejarah Tempatan biasanya memerlukan isi-isi seperti berikut:

1. Latar belakang peristiwa:
  • Nama peristiwa
  • Nama lain (sekiranya ada)
  • Tarikh,masa dan tempat
  • Pihak yang terlibat
2. Sebab-sebab peristiwa itu berlaku.
3. Catatan peristiwa mengikut kronologi.
4. Kesan daripada peristiwa tersebut.
5. Unsur-unsur patriotisme tentang tajuk yang dikaji dan lain-lain.
6. Iktibar kepada diri,bangsa dan negara.
7. Rujukan

Folio ini juga meminta bahan-bahan rujukan seperti gambar foto, peta dan salinan dokumen sejarah.

Kali ini apa kata kita lihat contoh penulisan, esei atau karangan berkaitan dengan folio sejarah . Di bawah ini terdapat beberapa contoh esei karangan sejarah yang dikirimkan oleh beberapa orang anonymous.


Contoh Karangan Esei Sejarah: Sebab-Sebab Kemerdekaan

Salah satu sebab yang membawa kepada Kemerdekaan Tanah Melayu ialah pengenalan Sistem Ahli. Untuk membina sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan suatu perkara yang bukan mudah untuk dilakukan. Sejak sebelum merdeka lagi, pihak British telah memberi latihan untuk mentadbir negara kepada penduduk tempatan supaya mereka mampu berkerajaan sendiri.

Pembinaan sebuah negara dan bangsa yang merdeka melibatkan rundingan dan kerjasama antara pemimpin terdahulu dengan pihak tertentu untuk menentukan hala tuju negara kita. Sistem ahli dilaksanakan pada bulan Januari 1951 sehingga bulan Jun 1955, iaitu sebelum pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan (MPP) yang diadakan pada bulan Julai 1955.

Tujuan Sistem Ahli ditubuhkan adalah untuk melatih penduduk tempatan dan juga kaum lain menerajui Tanah Melayu. Idea penubuhan Sistem Ahli ini telah disuarakan oleh Dato’ Onn Ja’afar dalam perbincangannya dengan Sir Henry di Kuala Lumpur. Mengikut cadangan Sir Henry, model yang telah dilaksanakan di negara Kenya dan Rhodesia Utara juga boleh dilaksanakan di Tanah Melayu.

Cadangan ini bertepatan dengan hasrat British untuk menjalankan dasar dekolonisasi, iaitu dasar pemberian bantuan ke arah berkerajaan sendiri secara beransur-ansur kepada tanah jajahan. Ahli-ahli yang dilantik untuk menganggotai Sistem Ahli diberi tugas menjana satu portfolio yang mengandungi beberapa buah jabatan kerajaan. Mereka diberi tanggungjawab menguruskan pentadbiran harian jabatan tersebut mengikut dasar-dasar yang tersedia. Mereka juga bertanggungjawab mencadangkan undang-undan yang berkaitan dengan jabatannya untuk dibentangkan dalam Majlis Perundangan Persekutuan (MPP).

Untuk menyediakan cadangan undang-undang tersebut, Ahli akan berbincang dengan pegawai kanan British untuk mendapatkan persetujuan bersama. Pesuruhjaya Tinggi juga terlibat dengan memberi arahan dan persetujuan dalam perkara-perkara yang dibincangkan. Walau bagaimanapun, pada kebiasaannya cadangan undang-undang itu merupakan pendirian pentadbiran British. Sistem Ahli merupakan tapak asas yang penting untuk melatih penduduk ke arah berkerajaan sendiri. Sistem Ahli terdiri daripada ahli-ahli gabungan pemimpin pelbagai kaum di negara ini telah memulakan proses perpaduan kaum di Persekutuan Tanah Melayu. Justeru, Sistem Ahli telah memberi pendedahan yang berguna kepada penduduk tempatan untuk belajar mentadbir dan menerajui kerajaan apabila merdeka kelak.

Sebab kedua yang membawa kepada kemerdekaan negara ialah pakatan murni. Sebelum penubuhan Perikatan, terdapat beberapa usaha yang dilakukan untuk mengadakan pakatan murni di kalangan penduduk Persekutuan Tanah Melayu. Pakatan ini adalah penting kerana ia akan menyatukan semua kaum yang terdapat di Tanah Melayu.

Pakatan murni merupakan suatu usaha semua di Tanah Melayu menghasilkan satu kerjasama dan tolak ansur politik melalui rundingan. Setiap kaum mempunyai tuntutan yang berbeza dan masalah yang tersendiri. Penubuhan pakatan murni merupakan suatu jalan penyelesaian untuk menyatupadukan pelbagai kaum di negara ini yang sebelum ini dipisahkan oleh ‘dasar pecah dan perintah’ oleh penjajah British.

Langkah pertama yang diambil ialah penubuhan Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum (CLC) pada bulan Januari 1949 di Pulau Pinang. CLC pada peringkat permulaan hanya dianggotai oleh dua kaum terbesar iaitu Melayu dan Cina. Orang Melayu bernaung di bawah UMNO yang diketuai oleh Dato’ Onn bin Ja’afar dan MCA diterajui oleh Tan Cheng lock, Penubuhan CLC adalah titik permulaan kerjasama kaum di Persekutuan Tanah Melayu. Menurut Dato’ Onn bin Ja’afar, perpaduan antara kaum menjadi asas kemerdekaan Tanah Melayu.

Langkah kedua ialah pembukaan keahlian UMNO kepada bukan Melayu pada tahun 1951 yang dicadangkan oleh Dato’ Onn bin Ja’afar. Walau bagaimanapun, tindakan beliau dikecam hebat oleh masyarakat Melayu kerana mereka enggan berkompromi.

Langkah ketiga ialah penubuhan Parti Kemerdekaan Malaya oleh Dato’ Onn bin Ja’afar. Beliau menggunakan konsep kerjasama kaum dalam sebuah parti dan IMP terbuka kepada semua kaum. IMP gagal mendapat sambutan masyarakat Tanah Melayu masih mengasingkan diri mereka sebagai orang Melayu, Cina dan India.

Langkah seterusnya penubuhan Persidangan Nasional yang bertujuan untuk mencapai kerjasama politik bagi mengurangkan perasaan perkauman. Kerjasama UMNO-MIC terbentuk apabila British menyuarakan akan mengadakan Pilihan Raya Perbadanan Kuala Lumpur pada bulan Februari 1952. Kerjasama antara UMNO Kuala Lumpur dengan MCA Selangor telah diusahakan oleh Dato’ Yahya Abdul Razak dan Ong Yoke Lin. Dalam pilihan raya tersebut, gabungan UMNO-MIC telah memenangi 9 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan. Gabungan UMNO-MIC juga telah memenangi 26 kerusi daripada 37 kerusi yang dipertandingkan di beberapa Bandar utama.

Pada pilihan raya negeri tahun 1954, Parti Perikatan telah memenangi 226 daripada 268 kerusi yang dipertandingkan. Kemenangan ini membuktikan permuafakatan kaum dalam pelbagai parti dapat diterima oleh penduduk Persekutuan Tanah Melayu. Kerjasama ini akhirnya membawa kepada penubuhan Parti Perikatan yang dianggotai oleh parti-parti politik seperti UMNO, MCA dan MIC pada tahun 1955. pada tahun 1954, British telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Raya dalam Majlis Perundangan Persekutuan (MPP). Jawatankuasa ini dianggotai oleh pemimpin parti politik seperti Parti Negara, UMNO, MCA, MIC dan beberapa orang pegawai tinggi British.

Jawatankuasa ini telah mencadangkan 52 kerusi dipilih melalui pilihan raya dan 48 ahli MPP dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi British. Pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan (MPP) tekah diadakan pada 27 Julai 1955 dan Parti Perikatan telah menyertai pilihan raya tersebut.

Manifesto yang digunakan oleh Parti Perikatan ialah untuk mencapai kemerdekaan dalam masa empat tahun. Mewajibkan pendidikan. Menjadikan perkhidmatan awam bercorak tempatan. Menjaga hak asasi manusia. Melindungi hak Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berpelembagaan. Keputusan pilihan raya 1955 ialah, Parti Perikatan telah memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan dan Parti Persatuan Islam Se-Tanah Malaya (PAS) telah memenangi satu kerusi.

Kemenangan yang amat cemerlang oleh Parti Perikatan telah membolehkan Tunku Abdul Rahman, Ketua Parti Perikatan menjadi Ketua Menteri dan membentuk kabinet. Anggota kabinet yang ditubuhkan terdiri daripada pelbagai kaum dan berfungsi sehingga kemerdekaan dicapai.

Dengan kemenangan besar yang diperolehi oleh Parti Perikatan dalam pilihan raya tahun 1955, maka Pemuda UMNO telah mendesak Tunku Abdul Rahman supaya menuntu kemerdekaan dari kerajaan British. Tarikh 31 Ogos 1957 dicadangkan sebagai hari pengisytiharan. Apabila setiausaha Tanah Jajahan Inggeris, iaitu Alan Lennox Boyd dating ke Kuala Lumpur pada bulan Ogos 1955, Tunku telah menyampaikan hasrat rakyat negara ini untuk menuntut kemerdekaan dari pihak British. Alen Lennox Boyd memberi jaminan bahawa beliau sanggup merundingkan tentang perkara tersebut di London pada awal tahun 1956.

Apabila Majlis Raja-raja mengadakan persidangannya pada September 1955, Tunku Abdul Rahman telah memaklumkan perkara tersebut kepada Majlis Raja-raja. Semua raja-raja bersetuju supaya satu perundingan diadakan dengan pihak British mengenai kemerdekaan Tanah Melayu.



Contoh Karangan Esei Sejarah: Latar Belakang Peristiwa Kemerdekaan

Detik yang paling bermakna dan amat penting kepada Persekutuan Tanah Melayu ialah pemasyhuran kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Dengan pemasyhuran kemerdekaan ini,bererti persekutuan tanah melayu telah dibebaskan daripada penjajahan British untuk selama-lamanya.pemashyuran kemerdekaan dibuat tepat pada pukul 12 tengah malam pada 31 Ogos 1957 di hadapan Padang Kelab Selangor,Kuala Lumpur.Bendera Union Jack telah diturunkan dan sejurus kemudian,Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan oleh beberapa orang pemuda UMNO. Peristiwa menurunkan bendera Union Jack yang penuh bersejarah ini disaksikan oleh ribuan rakyat negara ini.

Setelah bendera Union Jack mencecah bumi, orang ramai bersorak dengan tepukan gemuruh dan penuh kegembiraan. Rakyat dengan nada bergema melaungkan ‘merdeka’ yang menandakan kemenangan rakyat terlepas daripada belenggu penjajah. Bendera Persekutuan Tanah Melayu kemudian berkibar megah di puncak tiang. Rakyat berasa bangga menyaksikan peristiwa ini. Pada jam 9.30 pagi, 31 Ogos,1957 bermula dengan nama Allah dan segala pujian bagiNya serta selawat dan salam ke atas para Rasul, Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama telah membacakan Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Stadium Merdeka Kuala Lumpur, di hadapan dua puluh ribu rakyat. Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari tiga puluh negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya.

Stadium Merdeka adalah bangunan negara yang dibina khas untuk melahirkan identiti kebangsaan kepada negara yang merdeka. Orang ramai memenuhi setiap tempat duduk di stadium itu yang menyaksikan peristiwa pemasyhuran tersebut. Raja-raja Melayu pula yang berpakaian songket berkilau, berseri-seri, dipayungi dengan paying diraja. Mereka duduk berbaris bersemayam di pentas khas. Wakil Ratu Elizabeth, Duke of Wellington telah bersedia dengan Dokumen Penyerahan Kuasa tersebut. Upacara dimulakan dengan ucapan wakil Baginda Ratu England. Kemudian, beliau menyerahkan dokumen pengisytiharan kemerdekaan kepada Yang di Pertuan Agong, ketua negara Persekutuan Tanah Melayu.

Dengan penyerahan dokumen pengisytiharan kemerdekaan tersebut, ini menandakan pemulangan semula kuasa politik negara kepada pemerintah tempatan setelah dikuasai oleh penjajah hampir selama 446 tahun. Pemulangan kuasa ini dilakukan dengan penuh tertib. Ketua Kerajaan Perikatan yang bakal menjadi Perdana Menteri pertama negara, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra telah membaca pengisytiharan kemerdekaan itu dengan lantang sekali. Beliau dengan penuh bersemangat melaungkan seruan ‘merdeka’ ! Sebanyak tujuh kali. Laungan ini disambut dengan laungan ‘merdeka’ oleh para hadirin. Laungan keramat ini bergema memenuhi ruang stadium. Rakyat Tanah Melayu sungguh bersemangat dan gembira setelah berjaya melepaskan diri daripada penjajahan kuasa asing


Contoh Esei Karangan Sejarah Elemen 3

Sebagai rakyat Malaysia, harus menghargai kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al – Haj. Hal ini boleh disaksikan melalui pengamalan nilai – nilai murni. Hal ini, boleh melahirkan warganegara yang berbangga sebagai rakyat Malaysia.

Saya menghormati raja dan pemimpin negara serta menghargai jasa dan perjuangan tokoh – tokoh negara. Saya juga menjaga dan mempertahankan maruah bangsa dan negara dengan cara menghargai dan mengamalkan tradisi dan budaya bangsa kita. Saya amat berbangga dengan sejarah negara kita.

Saya juga bersemangat setia negara supaya peka kepada masalah dan isu tentang bangsa dan negara. Saya bersyukur kerana menjadi warganegara Malaysia ,sebuah negara yang aman damai. Selain itu, rasa cinta akan bangsa,negara dan taat serta setia kepada raja dan pemimpin negara haruslah ada dalam diri kita. Kita wajar mempamerkan sikap bertanggungjawab kepada bangsa dan negara di samping berani dan sanggup mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara.

Kita mestilah bersemangat kekitaan mengamalkan sikap bersatu padu dan berharmoni serta bertolak ansur selain bertolerasi sesama sendiri. Kita haruslah bekerjasama dan tolong – menolong serta hormat – menghormati antara satu sama lain. Selain itu, kita mestilah bersefahaman dan bermuafakat. Muhibah dan semangat bermasyarakat mesti ada pada diri kita.

Saya berdisiplin berakhlak dan dan berbudi pekerti mulia serta mempertahankan dan menjunjung Perlembangaan Negara, selalu mematuhi peraturan dan undang – undang negara yang disediakan oleh pemimpin dan kerajaan. Saya juga selalu berkelakuan sopan, bertatasusila dan berhemah tinggi serta bertindak dengan sewajarnya. Saya juga mesti bersifat amanah dan jujur dan berlaku adil dan bertimbang rasa terhadap orang lain.

Selain itu, saya juga harus berusaha dan produktif seperti rajin dan gigih dalam sesuatu pekerjaan. Saya juga mesti berdikari, tabah menghadapi cabaran dan menyokong dan serta melibatkan diri dalam usaha pembangunan negara.

Contoh Kaedah Kajian Sejarah atau Geografi Tempatan

PANDUAN KAEDAH KAJIAN DAN CONTOH-CONTOH TINDAKAN / AKTIVITI YANG BOLEH DIAMBIL OLEH GURU DAN PELAJAR SEMASA MELAKUKAN KAEDAH-KAEDAH KAJIAN

Kaedah utama kajian yang digunakan dalam menjalankan Kajian Sejarah Tempatan ialah:
  • Temuramah
  • Lawatan dan pemerhatian
  • Analisis dokumen atau artifak


A. Kaedah Temuramah

Definisi:
Temuramah merupakan salah satu kaedah tinjauan dalam penyelidikan. Ia melibatkan pertemuan pertemuan pengkaji dengan responden (orang sumber) untuk mendapatkan maklumat. Dalam mendapatkan maklumat, Pengkaji mestilah menyediakan satu instrumen (alat kajian). Alat kajian ini terdiri daripada soalan-soalan yang disediakan oleh pengkaji dan diaju serta dijawab secara lisan.



Persediaan Awal - Sebelum Melakukan Temuramah:

Tindakan Guru:
  • Mengenal pasti orang sumber
  • Membuat temu janji dengan orang sumber
  • Membimbing pelajar membina item-item soalan diikuti dengan penerangan tentang soalan tambahan.
  • Membantu pelajar menyediakan peralatan seperti pita rakaman, pita video, kamera dan alat tulis.
  • Menyemak dan membetulkan draf soalan yang disediakan oleh pelajar.
  • Membantu pelajar membentuk kumpulan.

Tindakan Pelajar:
  • Memilih tajuk kajian.
  • Membentuk kumpulan masing-masing.
  • Mengagihkan tugas mengikut kumpulan.
  • Membina soalan temuramah.
  • Mengenal pasti bahan yang sesuai.
  • Menyediakan buku catatan aktiviti/senarai semak.
  • Membuat rujukan untuk mendapatkan maklumat awal tentang orang sumber.
  • Memperbaiki soalan temuramah selepas diperbetulakn oleh guru.



Soalan Temuramah

Temuramah hendaklah dijalankan dalam bentuk perbualan dan dalam suasana mesra, mengikut situasi dan keadaan serta orang sumber yang ditemuramah.

Soalan-soalan temuramah boleh dibina berdasarkan perkara berikut:
  • Nama penuh.
  • Tarikh dan tempat lahir.
  • Latar belakang keluarga.
  • Latar belakang pendidikan dan pengalaman.
  • Sumbangan-sumbangan penting terhadap sekolah.
  • Sumbangan-sumbangan terhadap masyarakat setempat/sekeliling sekolah.
  • Visi dan falsafah hidup.
  • Sifat-sifat istimewa.
  • Anugerah / sijil penghargaan


Proses Temuramah

Berikut adalah panduan tatacara yang boleh membantu pelajar dalam sesi temuramah:
  • Menemui orang sumber secara berkumpulan di tempat dan masa yang ditetapkan.
  • Mengemukakan soalan-soalan kepada orang sumber.
  • Mendapat maklumat dari orang sumber sama ada secara bertulis atau rakaman kaset.
  • Mengemukakan soalan-soalan susulan secara spontan jika sekiranya orang sumber tidak dapat memberi maklumat dengan tepat kepada soalan asal yang dikemukakan.
  • Merekod dan merakam dan mengambil gambar semasa sesi temuramah.
  • Mendapatkan tandatangan orang sumber bagi mengesahkan temuramah di dalam buku catatan aktiviti pelajar.
  • Menunjukkan sopan santun, budi bahasa dan mematuhi peraturan-peraturan dan tatacara ketika menjalankan temuramah.

Menyusun dan menganalisis maklumat
  • Menyusun maklumat mengikut aspek-aspek yang dikaji.
  • Membincang mengenai maklumat yang telah disusun dengan ahli kumpulan.
  • Menganalisis fakta-fakta kajian.

Menyediakan Laporan
  • Menulis draf laporan kajian yang telah dijalankan.
  • Guru menyemak draf laporan.
  • Memperbaiki hasil laporan setelah disemak oleh guru.


B. Kaedah Lawatan dan Pemerhatian

Definisi:
Lawatan dan pemerhatian adalah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dapat memberi peluang kepada pelajar memerhati dan mengkaji sesuatu secara langsung di luar bilik darjah. Dalam menjalankan Kajian Sejarah Tempatan, pelajar boleh membuat lawatan dan pemerhatian semasa menjalankan kajian tentang asal usul nama tempat/nama jalan, bangunan dan tempat bersejarah, pertumbuhan dan perkembangan penduduk, perkembangan infrastruktur dan kemudahan asas, peristiwa bersejarah, tradisi setempat, lagenda dan cerita rakyat serta pentadbiran setempat. Sebaik-baiknya lawatan dan pemerhatian dibuat di dalam kumpulan.



Persediaan Guru
  • Guru membuat tinjauan atau penyelidikan ke tempat yang hendak dilawati untuk mendapatkan maklumat terlebih dahulu bagi memastikan matlamat Kajian Sejarah Tempat yang dirancang dapat dicapai.
  • Guru membantu pelajar merancang lawatan dan pemerhatian. Butir-butir yang lengkap mengenai law atan dan pemerhatian itu hendaklah diusahakan oleh guru terlebih dahulu seperti menetapkan tarikh, masa dan pengangkutan.
  • Pelajar perlu dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Pembahagian tugas kepada pelajar juga perlulah ditentukan seperti melakar, memerhati, mengumpul risalah dan membuat catatan.
  • Pelajar juga perlu dibimbing untuk membina soalan-soalan sebelum lawatan dan pemerhatian dijalankan. Soalan-soalan ini hendaklah dapat mencungkil maklumat yang akan menjurus kepada tajuk yang dikaji.



Kaedah Analisis Dokumen

Pelbagai dokumen boleh digunakan bagi mendapatkan maklumat dalam masa menjalankan Kajian Sejarah Tempatan. Ini termasuklah dokumen sumber pertama dan sumber kedua. Surat-surat perjanjian, sijil lahir, sijil nikah, catatan, gambar, peta, surat khabar, majalah, buku log, rekod, mata wang, risalah dan sebagainya. Guru perlu membimbing pelajar mencungkil maklumat daripada dokumen semasa menjalankan KST.

Di Tingakatan 1, pelajar akan menganalisis dokumen seperti sijil lahir, sijil mati, sijil nikah, kad pengenalan, sijil perhargaan dan sebagainya semasa pelajar dan sebagainya semasa pelajar menjalankan kajian tentang sejarah diri dan keluarga.

Bagi tajuk Sejarah Sekolah pula, pelajar perlu menganalisis fail-fail yang mengandungi rekod-rekod tentang semua perkara yang berhubung dengan sekolah seperti fail PIBG, rekod kemasukan pelajar, rekod tentang guru dan Pengetua dan kelab/persatuan yang wujud di sekolah itu.

Begitu juga dengan dokumen ini membolehkan pelajar melihat dan mengkaji sumber pertama, meyakinkan pelajar tentang ketepatan fakta yang dikemukakan, dapat memahami sesuatu peristiwa dengan lebih bermakna dan dapat meningkatkan kemahiran mentafsir, menganalisis, menilai, membuat perbandingan dan merumus fakta sejarah.

Dokumen ini diperolehi daripada Arkib Negara, Muzium Negeri, Muziun Negara dan orang perseorangan.



SUMBER: BUKU PANDUAN KAJIAN SEJARAH TEMPATAN SEKOLAH MENENGAH RENDAH PUSAT PERKEMBANGAN KURIKULUM KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2002

Cinta Cicak - Sebelum Cicak-Man Ada sebuah kisah cinta tragis.


Cuti bakal menjelang. Dalam waktu cuti itu saya tidak akan dapat membuka internet. Pasti, saya ingin sekali untuk mengulas filem Cicakman. Namun semasa mencari trailer filem tersebut, saya bertemu dengan sebuah promosi iklan yang agak menarik. Kisah dua ekor cicak yang sedang bercinta, apabila pasangannya mati, yang seekor lagi turut membunuh diri. Aduh, tragis sungguh iklan ini.

Moral yang terdapat dalam iklan ini ialah, pilih bahan buatan yang bermutu dan berkualiti tinggi apabila membina bangunan.

Objektif Kajian Sejarah Tempatan

MATLAMAT KAJIAN SEJARAH TEMPATAN

Matlamat Kajian Sejarah Tempatan adalah untuk memupuk pemahaman dan kesedaran pelajar tentang sejarah perkembangan masyarakat setempat. Kajian ini membolehkan pelajar menghargai dan berbangga dengan sejarah masyarakat dan persekitaran, mengukuh semangat kekitaan dan perpaduan serta dapat memperkayakan khazanah sejarah setempat.



CONTOH-CONTOH OBJEKTIF KAJIAN SEJARAH TEMPATAN

Objektif Kajian Sejarah Tempatan untuk membolehkan pelajar:
  1. mencari, mengumpul, menganalisis, mentafsir serta mensintesis serta merumus maklumat dan fakta-fakta sejarah;
  2. mengenali diri dan keluarga;
  3. mengenali dan memahami sejarah perkembangan sekolah;
  4. mengenali kawasan tempat kediaman/tinggal dan kawasan persekitaran sekolah dengan lebih dekat lagi;
  5. memupuk kemesraan, kasih sayang, kebanggaan serta sikap bertanggungjawab dan hormat menghormati terhadap keluarga, sekolah dan persekitaran;
  6. mengamal nilai murni yang diwarisi bersama dalam keluarga, sekolah, kawasan tempat kediaman/tinggal dan kawasan persekitaran sekolah; dan
  7. mendapat pengalaman secara langsung dalam menjalankan kajian serta membina keyakinan diri.


Contoh Objektif Kajian Sejarah : Salasilah Keluarga
  1. Mengetahui asal usul diri dan keluarga.
  2. Mengenali ahli keluarga dan saudara mara.
  3. Memupuk rasa cinta dan bangga terhadap keluarga.
  4. Menguasai kemahiran mencari, mengumpul, merekod dan menganalisis maklumat tentang salasilah keluarga.


Contoh Objektif Kajian Sejarah : Sejarah Sekolah
  1. Mengenali dan memahami sejarah perkembangan sekolah.
  2. Mengenali nama dan lambang-lambang sekolah.
  3. Memupuk rasa bangsa dan cinta terhadap sekolah.
  4. Mengamalkan nilai murni yang diwarisi bersama dalam warga sekolah.
  5. Menguasai kemahiran mencari, mengumpul, merekod dan menganalisis maklumat tentang sekolah.


Contoh Objektif Kajian Sejarah : Asal Usul Nama Tempat / Nama Jalan
  1. Mengetahui dan memahami sejarah pembukaan tempat/jalan yang dikaji.
  2. iMemahami dan menghargai perkembangan dan kemajuan yang berlaku di kawasan persekitaran yang dikaji.
  3. Mewujudkan semangat perpaduan dan kerjasama di kalangan penduduk setempat.
  4. Menguasai kemahiran, mencari, mengumpul, merekod dan menganalisis maklumat.

SUMBER: BUKU PANDUAN KAJIAN SEJARAH TEMPATAN SEKOLAH MENENGAH RENDAH - PPK PKM 2002