Ulasan Filem The Darkest Mind
The Darkest Mind memang kelihatan menarik dengen efek khas dan permainan emosi antara hubungan ibu bapa dengan anak, persaudaraan, setiakawan dan cinta tiga segi, tetapi pengisahannya melibatkan banyak unsur kitar semula daripada filem-filem yang sebelumnya termasuk X-Men dan Wolverine. Boleh dikatakan filem The Darkest Mind dalah filem tentang persoalan, apa akan jadi jika Profesor Charles Xavier dalam filem X-Men adalah seorang gadis muda dengan kuasa yang lebih kurang sama. Boleh membaca fikiran, telepati, memukau, menguasai minda dan mengawal badan orang lain.
Filem ini mengisahkan tentang dunia di mana kebanyakan kanak-kanak dan remaja berusia 17 tahun ke bawah mati kerana wabak misteri. Mereka yang terselamat pula ditakuti kerana dianugerahkan dengan kuasa luar biasa. Kuasa-kuasa itu dikategorikan kepada beberapa peringkat atau kelas. Kelas paling selamat ialah Hijau di mana kanak-kanak dan remaja dalam kategori ini akan memiliki kepintaran luar biasa. Kelas Biru adalah untuk kanak-kanak dan remaja yang memiliki kuasa telekinesis, dan mereka boleh menggerakkan objek dengan minda. Kelas Kuning atau Emas pula adalah untuk mereka yang boleh mengaktifkan kuasa elektrik. Kelas Oren pula untuk mereka yang boleh mengawal minda, kuasa telepati dan ini sangat mirip dengan watak Profesor X dalam X-Men. Kelas terakhir ialah Merah. Kanak-kanak dan remaja kelas Merah sangat ditakuti kerana berupaya menghasilkan api. Ruby Daly yang berkuasa hampir sama seperti Profesor X, akan menjadi tokoh utama yang membela nasib kanak-kanak dan remaja.
Biarpun dalam filem itu, Merah digambarkan sebagai kelas yang paling ditakuti tetapi kuasa yang paling merbahaya adalah kuasa dari kelas Oren. Kanak-kanak dan remaja dalam kelas Oren akan dibunuh terus jika dikesan kerana keupayaan mereka untuk menguasai minda orang lain termasuk mengubah memori, pukau dan lain-lain yang boleh menjadikan musuh kepada kawan atau hamba mereka. Filem ini akan membuatkan kuasa yang dimiliki oleh Profesor X sebagai kuasa yang paling menarik dan berkuasa. Ini menunjukkan kenapa Profesor X merupakan salah satu mutan terkuat dalam filem X-Men. Pendapat yang sama meletakkan Oren sebagai peringkat paling bahaya.
Biarpun kanak-kanak dan remaja lain masing-masing memiliki kuasa luar biasa tetapi di dalam filem ini mereka digambarkan sebagai tidak suka menggunakan kuasa luar biasa mereka. Kebanyakannya masih menggunakan senjata api. Disebabkan hal ini, filem adaptasi The Darkest Mind kelihatan banyak kelemahan. Ada perkara yang sepatutnya boleh menjadi tidak boleh, ada banyak perkara dikembangkan atau diperihalkan lagi tetapi sumbernya kurang, menjadikan filem ini suatu teka-teki atau misteri, penuh dengan pertanyaan yang tidak terjawab. Penonton akhirnya perlu mengandaikan diri jawapannya atau jika mereka sekadar menonton untuk hiburan, maka mereka mungkin boleh berpuas hati dengan filem ini yang mengandungi unsur kesan khas, kuasa luar biasa dan sedikit humor.
The Darkest Mind tetap menghiburkan walaupun ia bukan kisah segar. Filem adaptasi novel ini turut menyinggungkan perasaan penulis novelnya apabila watak Charles atau Chubs yang sepatutnya berada dalam kelas Biru ditukar menjadi kelas Hijau. Ini menimbulkan kekeliruan di kalangan peminat novelnya apabila menonton filem ini. Namun ada juga pembaca novel yang suka dengan perubahan kelas tersebut kerana Chubs terlalu pintar untuk berada dalam kategori kelas Biru dan lebih sesuai berada dalam kelas Hijau.
|