BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Ogos 19, 2018

DESARU COAST ADVENTURE WATERPARK (Desaru, Johor, Jun 2018)


Desaru Coast Adventure Waterpark adalah taman tema air yang terbaru di Malaysia dan juga di negeri Johor. Desaru Coast Adventure Waterpark memiliki kolam berombak yang merupakan antara kolam berombak terbesar di dunia. Wave Pool Desaru Coast Adventure Waterpark ini dipanggil sebagai Tidal Wave Beach.

Kid Ahoy merupakan taman permainan air khusus untuk kanak-kanak dan awal remaja. Sesuai untuk budak-budak kecil bermain. Terdapat 13 slaid air dan peralatan permainan air.

Riptide adalah permainan air yang mengutamakan kelajuan. Empat orang akan bersama-sama menaiki pelampung yang telah direkacipta untuk empat orang. Ia sesuai untuk mereka yang mencari peluang untuk menjerit sekuat-kuat hati kerana perasaan panik dan cemas yang diselangi perasaan menghiburkan.

Kraken's Revenge adalah rollercoaster air di mana anda akan dibawa naik ke puncak setinggi 30 meter dan kemudian menjunam ke bawah dengan kelajuan 70 kilometer sejam. Pasti menggegarkan jantung dan jeritlah sekuat-kuat hati atau menguap mengantuk sekiranya anda mampu.

Surf Wall adalah tempat bagi mereka yang baru bermula atau baru belajar bermain meluncur air dan ombak. Jika anda tidak pernah meluncur ombak, ini adalah tempat yang sesuai untuk bermula. Tidak perlu takut pada ikan jerung di lautan.

On Wild Whirl akan membawa anda yang berada di atas pelampung, berputar-putar mengelilingi lubuk sebelum ditelan ke dalam terowong dalam. Peluang merasai bagaimana berada di dalam kapal atau rakit yang karam ditelan lubuk pusar.

The Super Twister akan membawa penunggang pelampung bergerak secara bergoyang-goyang ke kiri dan ke kanan dinding slaid air, seolah-olah berada di jeram atau sungai yang berarus deras, sebelum keluar menerusi terowong-terowong tertentu.

The Tempest kelihatan amat menggerunkan apabila penunggang pelampung dibawa setinggi 24 kaki menerusi corong tenaga yang akan melontar para penunggang pelampung yang akan membawa anda menerusi tiub sekitar 55 kaki panjang sebelum ditelan pusaran.

Penawar River adalah tempat untuk mereka yang ingin bermalas-malasan dihanyutkan air sungai sejauh 350 meter sambil menghanguskan kulit sambil melihat pemandangan di sekitar tebing sungai yang terdiri daripada kebanyakan permainan yang pernah disebutkan tadi.

Penawar Falls terdiri daripada tiga jenis air terjun yang akan membawa anda ke satu dunia fantasi berkenaan wira, lanun dan orang kampung yang tidak berdosa.

Sekiranya anda seorang yang takutkan air, anda boleh mencuba The Swinging Ship yang akan membuatkan perut anda geli dan ketawa berdekah-dekah.

Anda juga boleh mencuba pelbagai jenis makanan yang ada dijual di sini selain tinggal di resort-resort berhampiran. Terdapat perkhidmatan bas shuttle setiap 15 minit untuk memudahkan pergerakan anda.

Taman tema iar Desaru Coast Adventure Waterpark dibuka dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari.