Ulasan Filem PULANG (2018)
Pulang adalah sebuah filem Kabir Bhatia. Pengarah filem yang pernah menghidupkan drama Kekasihku Seru dan Nur Kasih, dua drama bersiri yang sangat popular. Nur Kasih menjadi drama paling cemerlang dalam sejarah Malaysia apabila berjaya menarik tontonan tertinggi. Filem Nur Kasih yang ditayangkan 8 tahun kemudian turut mencatat kejayaan yang sama.
Karya Kabir Bhatia mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Sinematografi yang sangat indah. Setiap babak memaparkan permainan kamera. Keindahan pantai, perkampungan nelayan dan lautan dipaparkan dengan sangat cantik dan menarik.
Kemudian, muncul para pelakon yang terpilih, dengan lakonan dan dialog yang penuh menyentuh emosi. Itulah apa yang sering dijangkakan daripada karya filem Kabir Bhatia.
Misteri. Ini antara elemen yang pasti. Jawapan disimpan dan dipendam, mencetuskan konflik sebelum akhirnya diurai pada detik yang sesuai. Kenapa Othman tidak mahu pulang selepas sekian lama belayar? Persoalan ini dimainkan sepanjang kisah, dan pembongkarannya menceritakan tentang dosa, salah faham dan penderhakaan yang mungkin langsung tidak dijangka oleh penonton. Siapakah yang menderhaka? Siapakah yang salah faham? Siapakah yang merahsiakan sesuatu?
Setiakawan, persaudaraan, kekeluargaan adalah antara elemen penting dalam setiap karya Kabir Bhatia. Kali ini dua manusia berbeza keturunan, Cina dan Melayu, ditemukan dengan takdir yang akhirnya menjadi kunci yang membuka peluang untuk menyatukan kedua-dua pasangan suami isteri tersebut tetapi adakah takdir membenarkannya?
Aksi. Babak pergelutan antara Othman dengan askar Jepun, dengan kelasi-kelasi asing di atas kapal dan bencana di lautan adalah antara elemen cemas yang cuba diadun dengan sinematografi bagi mempamerkan visual terindah.
Kesedihan, kesayuan dan jalan cerita yang mengharukan. Sebelumnya perlu diketahui bahawa filem ini adalah berlandaskan kisah benar sebuah keluarga nelayan Melayu. Isteri dan anak yang ditinggalkan suaminya selepas si suami bekerja di atas sebuah kapal, belayar mengelilingi dunia. Dapatkah si isteri menemui semula suaminya?
Filem Pulang memaparkan kelemahan manusia dalam pelbagai sisi kehidupan, biar sekuat mana pun cinta, sekuat mana pun kemahuan dan sekuat mana pun keazaman. Sudah naik pangkat, sudah naik gaji tetapi tidak mahu pulang?
Othman mampu pulang setiap kali ditimpa bencana tetapi kali ini, selepas jauh belayar dia tidak pulang-pulang. Menyedihkan. Ini adalah karya kisah benar, kesedihan yang dikongsikan oleh sebuah keluarga terhadap berjuta-juta keluarga yang lain. Ketika ulasan ini ditulis, barangkali filem Pulang sudah mencatat kutipan tiket sekitar tujuh angka. Filem ini mempunyai potensi ke arah itu. Sebuah karya yang cantik visual dan indah emosinya.
|