BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Mac 04, 2007

KITAB: Kejayaan Taklimat Kejayaan Semua!

Selepas solat Isyak berjemaah, Jumaat lalu satu taklimat untuk ibu bapa telah diadakan di Surau Desa Bakti. Surat makluman mengenai taklimat ini telah diedarkan tiga hari sebelumnya, kepada ibu bapa oleh Ketua Unit Perhubungan dan ahli-ahli jawatankuasanya. Basah kuyup ahli-ahli jawatankuasa Unit Perhubungan KITAB pada hari itu, dengan bersemangatnya mereka menyampaikan surat-surat dari rumah ke rumah.

Pada malam itu, para kenamaan terdiri daripada Penghulu Desa Bakti, Imam Surau Desa Bakti, Penasihat PMP, Aku (Pengarah KITAB), Timbalan Pengarah Operasi KITAB, Timbalan Pengarah Strategik KITAB, Setiausaha KITAB, Ketua Unit Penyelaras Tutor KITAB, Ketua Unit Perhubungan KITAB, Ketua Unit Kebajikan dan Pengangkutan KITAB.

Para hadirin dianggarkan dalam 40-50 orang, terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak Desa Bakti. Kehadiran anak-anak menggamatkan suasana.

Penghulu Desa Bakti mempengerusikan majlis pada malam itu, ucapan diberikan oleh Penasihat PMP, kemudian aku dan seorang wakil daripada tutor siswi, iaitu Timbalan Pengarah Operasi KITAB.

Aktiviti pada malam itu melibatkan pengenalan, tentatif program, sesi soal jawab dan perbincangan yang berkaitan dengan keselamatan dan pengangkutan untuk anak-anak Desa Bakti.

Esoknya, aku mendapat SMS daripada Penasihat PMP, memaklumkan kesyukurannya mengenai kejayaan mengadakan taklimat pada malam itu.

Alhamdulillah. Sudah lama aku tidak berdepan dengan orang ramai dan sudah lama aku tidak melibatkan diri dalam perkara-perkara melibatkan organisasi. Kali terakhir ialah ketika aku dijemput untuk memberi ucapan di hadapan 2500 orang pelajar di sebuah institusi, beberapa tahun lepas.

Penasihat PMP menjemput aku untuk hadir ke satu program khas, atas matlamat untuk menubuhkan KITAB sebagai sebuah kelab rasmi pada masa akan datang. Jika KITAB sempat ditubuhkan, maka ini adalah khazanah paling berharga untuk para pelajar junior sekalian. Aku merancang untuk menjadikan KITAB sebagai program rasmi fakulti pada masa akan datang untuk melatih junior-junior aku.

Apa pun, kejayaan KITAB kali ini adalah hasil kerjasama semua pihak yang terlibat, terutamanya barisan jentera penggerak KITAB dan warga Desa Bakti.