BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Mac 26, 2007

Laluan Pintas Dari Rumah Barkat ke City Square

Kali ini saya ingin mendedahkan mengenai laluan pintas untuk para pejalan kaki. Anda boleh juga menaiki teksi dari City Square ke Rumah Barkat, tetapi berulang-alik sahaja, akan memakan kos sebanyak RM10-RM12. Itu untuk satu kali ulang-alik, bagaimana pula untuk banyak kali?

Oleh itu, di sini, saya ingin berkongsi laluan pintas yang pernah saya lalui (siang hari) untuk sesiapa yang berminat untuk berjalan kaki.

Ini adalah peta satelit mengenai kedudukan Rumah Barkat dari City Square. Garis biru muda (Cyan) itu merujuk kepada anggaran laluan saya (hanya boleh dilalui dengan berjalan kaki - kereta atau motosikal tidak boleh lalu) dari Rumah Barkat ke City Square semasa Ramadhan 2006. Berdasarkan imej satelit, jaraknya dipercayai dalam lingkungan 1 kilometer. Berhati-hati dengan pencopet.

Laluan ini sah boleh digunakan pada Ogos-September (bulan Ramadhan) tahun lalu (2006). Sekarang saya tidak pasti sama ada boleh dilalui lagi atau tidak, sebab projek pembinaan sedang pesat dilaksanakan di sana. Ketika itu, bulan Ramadhan, saya mengajar anak-anak yatim Tingkatan 5 di Rumah Barkat pada waktu petang. Laluan ini saya perolehi dengan bertanya kepada penduduk di Flat Bukit Cagar.

Awas! Sekali lagi saya beri peringatan. Laluan ini ada pencopet. Tidak digalakkan mengikuti laluan ini pada waktu petang, senja atau malam. Juga ada kemungkinan anda akan bertembung dengan anjing-anjing liar atau penagih dadah. Anda juga perlu mengharungi lintasan rel keretapi, jadi berhati-hati sebelum melintas pada malam hari, takut kaki tersangkut pada rel keretapi.

Juga perlu diingatkan, kesesakan lalu lintas akan bermula sekitar jam 5.30 petang. Sekiranya anda menaiki bas pada waktu ini, kemungkinan anda akan tiba di Taman Universiti sekitar jam 7.30 malam. Jadi, tunaikan apa-apa yang patut semasa anda berada di Rumah Barkat atau di City Square.

Rumah Barkat dalam kenangan. Saya ingin pergi lagi pada masa akan datang. Namun kali ini saya tidak lagi berseorangan, sebab saya akan menyertai geng tutor sebuah organisasi yang beroperasi di UTM. Juga ada kemudahan bas atau pengangkutan yang sewajarnya, harapnya, begitulah.

Kewujudan organisasi ini, Kelab Penyayang tidak saya ketahui sehinggalah semasa saya pergi dan mengajar sendiri di Rumah Barkat. Ramai orang ingin melakukan sesuatu kebajikan, namun tidak tahu ada saluran-saluran tertentu. Oleh itu, perlu ada promosi dan hebahan mengenai aktiviti-aktiviti kebajikan pada masa akan datang, supaya lebih ramai orang tahu dan tertarik untuk menyertainya, demi kebaikan semua pihak.

Aktiviti tutor di Rumah Barkat dijangka bermula kembali pada semester hadapan, khusus untuk pelajar-pelajar UTM. Sementara itu, KITAB kini bakal melaksanakan kelas ke-4 dan ke-5. Selepas itu akan disambung dengan KITAB2 pada semester hadapan.

Mahasiswa UTM atau bakal-bakal mahasiswa UTM (yang akan belajar di UTM) pada semester hadapan, sekiranya anda membaca catatan ini, nantikan kemunculan KITAB2.


NOTA AMIENE REV: Kedua-dua aktiviti ini, Tutor Anak-anak Yatim Rumah Barkat (Kelab Penyayang, UTM) dan Tutor Anak-anak Desa Bakti (Cikgu Amien - PMP, Fakulti Pendidikan, UTM) dianjurkan oleh dua organisasi berbeza. Matlamatnya sama, tetapi pendekatannya akan ada perbezaan. KITAB Fasa 1 (percubaan) akan tamat tidak lama lagi, dan pada semester hadapan, objektif-objektif baru akan ditambah lagi.

Memandangkan ada antara tunggak-tunggak penting KITAB akan menjalani latihan mengajar pada semester hadapan, muka-muka baru akan dicari untuk meneruskan perjuangan orang-orang lama.

Aku tidak pasti sama ada masa itu masih banyak atau tidak... perlu ada orang yang arif mengenai konsep KITAB sebelum dia berupaya untuk menggantikan tempat aku apabila aku tidak ada lagi di UTM pada tahun-tahun seterusnya. Buat masa ini, calon-calonnya sudah ada. Sekiranya aku pergi lebih awal, maka KITAB akan diteruskan dengan tahap Fasa 1 sahaja...