KITAB: Malam Ketiga Yang Damai dan Mesra
Malam tadi, biarpun bertembung dengan program besar di universiti, program yang kebiasaannya menarik ramai mahasiswa untuk ke tapak kawad, namun suasana di Fakulti Pendidikan tetap tidak terjejas.
Sambutan masih terus menggalakkan. Malah kali ini, aura kedamaian dan kemesraan sudah mula dapat dirasai.
Sebenarnya aku tidak sangka, budak-budak ini akan mengingati nama aku. Sebab bagiku, sepanjang program ini berlangsung, aku tidak begitu menonjolkan diriku, atau mempamerkan nama aku terhadap khayalak. Malah ada yang masih tersalah anggap siapa sebenarnya yang menganjurkan program ini. Namun, aku membiarkan sahaja. Bagi aku, yang penting ialah kejayaan melaksanakan program ini, bukan atas dasar individu.
Namun begitu, dari segi asas dan konsep program ini aku pertahankan, sebab itu penting untuk menjamin matlamat program ini tercapai. Merujuk kepada pengasas adalah perkara yang perlu ditekankan terutama pada peringkat awal. Salah faham mengenai program akan berlaku apabila orang yang tidak arif mengenai program ini, membuka mulut. Namun segala-galanya sudah tidak jadi masalah lagi.
Aku jarang memberi arahan terang-terangan kepada para AJK KITAB. Arahan itu akan disampaikan oleh orang-orang yang telah kulantik, mengawal setiap bahagian masing-masing. Mereka perlu memahami konsep, rutin dan amalan yang perlu dilakukan sepanjang kelas ini berlangsung. Program ini bertujuan mewujudkan budaya intelektual secara santai, damai dan mesra di kalangan mahasiswa UTM dan anak-anak Desa Bakti.
Malam tadi namaku disebut-sebut. Budak-budak yang pernah belajar denganku memujiku di belakang-belakang. Mereka mahu belajar dengan aku. Hal ini dimaklumkan oleh Penasihat PMP dan juga para tutor yang lain. Mengikut sistem penyelarasan tutor KITAB, tutee tidak semestinya mendapat tutor yang sama setiap minggu. Namun, nampaknya pada malam tadi, aku terpaksa akur bahawa tutee yang sama mahu belajar lagi dengan aku.
Melihat semangat dan motivasinya untuk belajar lagi, biar pun pada malam itu dia agak keletihan kerana selsema dan latihan bola sepak sehingga jam 7 petang. Malam itu dia tetap bersemangat mahu menghadirkan diri untuk belajar. Jadi aku memenuhi hasratnya.
Tiba-tiba, aku teringatkan anak-anak murid aku di Kota Tinggi. Perkara yang seakan-akan sama nampaknya berulang lagi. Mengendalikan anak-anak murid yang keletihan kerana latihan sukan setiap hari.
Dalam kesibukan latihan, mereka perlu juga meluangkan masa untuk belajar. Nampaknya, pengalaman aku mengajar di sekolah sukan pada suatu ketika dahulu, boleh juga diaplikasikan untuk budak-budak yang belajar di sekolah biasa.
Mereka seronok belajar, mendengar, membaca dan menceritakan sesuatu kepadaku... dalam keadaan letih, mata yang penat, minat dan semangat mereka disegarkan kembali dengan teknik dan gaya pengajaran yang sesuai.... dan pada malam itu, barangkali mereka tidak tahu, seperti biasa migrain dan sakit yang masih menyerangku seperti kebiasaannya sedang berlaku. Namun, aku meneruskan pengajaranku seperti biasa. Sistem MANDAT telah diwujudkan sejak minggu lalu, jadi aku tetap yakin segala-galanya boleh berjalan lancar malam tadi.
Ini, barangkali, suatu perkara wajib diketahui dalam kehidupan setiap pendidik, yang perlu aku lalui.
Sekali lagi aku memohon, agar Tuhan sentiasa memberkati usahaku, mempermudahkan urusanku, meredhai tindakanku, merahmatiku dan juga para AJK dan Tutor KITAB yang lain.
|