BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Mac 22, 2007

Kuda Ketenangan dan Kayak

Biar aku mulakan jurnal aku hari ini dengan sebuah Haiku yang aku tulis sebentar tadi:

KUDA BERLARI
Hakcipta: Amiene Rev (C) 2007

Kuda berlari
Menabur debu pasir
Tenang gembira

The Horse is running
Spreads the powder of the sand
Peaceful and happy

Begitulah, bunyi haiku ini. Sehari sebelum kelas ketiga KITAB berlangsung, aku meluangkan masa berjalan kaki sekitar beberapa kilometer di perkarangan universiti. Sejak awal tahun ini, aku belum berkesempatan bercuti.

Tidak ada kesempatan untuk berehat. Jadual harian dan tanggungjawab yang padat, memenuhi ruang-ruang nafasku. Aku berjalan-jalan menyaksikan kayak yang berderetan di tasik. Aku harap akan dapat mengayuh kayak di tasik pada suatu ketika nanti.

Kemudian aku berjalan-jalan lagi, merentasi padang yang luas menghijau, dengan deretan kanak-kanak yang baru pulang dari Sekolah Agama dan pemain-pemain bola sepak, hoki, kriket yang bertaburan di atas padang. Matahari belum bercahaya jingga, aku tiba di sebuah kandang kuda yang luas. Belasan ekor kuda pelbagai warna, kuning pasir, putih susu, coklat, perang, hitam dan merah, ada yang berada di dalam kandang, ada yang berlari-lari di atas pasir.

Aku mendapati bunyi bising di padang kawad, persiapan untuk Pesta Konvo yang akan berlangsung sekitar satu minggu. Aku melihat ada beberapa pelajar warga asing sedang berlatih menunggang kuda. Aku melalui berhampiran pagar, melihat ada dua ekor kuda yang tidak ditunggangi, bermain-main di dalam padang.

Aku merapati pagar. Salah seekor kuda datang menghampiriku. Dia merenungku. Kemudian dia berlalu pergi. Berlari-lari, kemudian datang sekali lagi menapak ke arahku. Aku memandangnya sekilas lalu.

Kemudian kuda itu berguling-guling di atas lantai. Aku memandangnya seketika sambil tersenyum. Kemudian aku kembali mendengar kata-kata jurulatih yang sedang mengajar seorang pelajar menunggang kuda.

Kuda itu datang dekat kepada aku, lalu meragut rumput-rumput yang berhampiran di kakiku. Aku memerhatinya lagi, kemudian mengalihkan lagi pandangan terhadap pelajar yang sedang menunggang kuda. Pelajar itu belajar mengendalikan kudanya untuk melompat pagar.

Ketika aku sedang khusyuk mendengar kata-kata jurulatih terhadap seorang pelajar. Tiba-tiba kuda itu sengaja berjalan di samping aku, lalu melibas ekornya ke muka aku.

"That's one is a female. Very dangerous," ujar seorang pelajar warga asing kepadaku sambil ketawa.

Rupa-rupanya kuda betina itu geram kerana aku tidak melayannya. Ha! Ha!