BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Mac 20, 2007

Sebelum Lilin Sebelum Pendidik Mula Cair Mula Berkorban

Siapakah manusia yang mula-mula sekali, mencetuskan idea "Guru Umpama Lilin Yang Membakar Diri", sehingga fragmen mulia ini bercantum dalam pelbagai versi ucapan dan puisi?

Kita teliti api lilin yang menyala-nyala di dalam kegelapan. Kita teliti cairan lilin seperti tangisan harapan dan keringat kudrat seorang pendidik.

Lilin itu terus berjuang dalam kesunyian untuk menerangi dalam kegelapan, memberi petunjuk kepada sekian manusia. Adakah setiap guru itu umpama lilin yang membakar diri?

Adakah hanya segelintir guru sahaja yang layak memegang status ini? Dalam mata masyarakat dunia hari ini, guru tidak lagi dipandang kerana statusnya sebagai seorang pendidik. Profesionalisme dalam dunia pendidikan. Guru juga dianggap sebagai seorang yang memberikan kualiti perkhidmatannya berasaskan urusan antara dua pihak. Etika seorang guru. Prinsip dan piagam pelanggan. Status guru sudah semakin berubah.

Ibu bapa meminta sesuatu daripada guru, berdasarkan apa yang mereka 'dagangkan'. Guru juga adalah manusia, dalam dunia yang memandang wang dan material sebagai salah satu subjek asas kehidupan, harus menepati kualiti kerja mereka, atas prinsip profesionalisme dalam bidang perguruan.

Ini adalah perubahan. Pembudayaan intelektual, adalah perkara yang harus dibiarkan terus terserap. Namun sekiranya manusia masih memandang terhadap konsep yang salah berkaitan ilmu dan intelektual, maka bolehkah persoalan: "Apakah perkaitan antara memberi sumbangan dengan mendapat pencapaian akademik yang cemerlang?" dijawab dengan begitu mudah.

Di manakah guru-guru, yang pada suatu ketika dahulu berjuang atas dasar pendidikan percuma? Di manakah guru-guru, yang suatu ketika dahulu tidak mengharapkan ganjaran, kerana usaha mereka, memberi peluang kepada anak-anak bangsa untuk maju ke hadapan? Adakah, tanpa diberikan ganjaran, para guru akan terus berjuang atas dasar nama perguruan sejati, mutlak, unggul dan gemilang?

Zaman ini, tidak seperti zaman dahulu. Namun nilai-nilai kemanusiaan, langsung tidak akan berubah. Cuma, nilai-nilai ini akan terus diabaikan dari mata, telinga, jiwa dan logik akal yang bebas. Manusia terkongkong dengan peradaban baru yang dicipta oleh manusia-manusia yang dianggap berjaya.

Adakah penyelesaiannya? Setitik dakwat yang digunakan untuk menulis langkah-langkah penyelesaiannya adalah lahir daripada air mata kesedaran, seorang pendidik. Dalam diri anda semua, tersembunyi sumbu lilin yang menunggu, untuk kembali membara dan...