BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Mac 12, 2007

Keputusan SPM 2006 VS Keputusan SPM 2004 - KONTROVERSI

Saya masih belum sihat untuk menceritakan perkara ini. Kontroversi dalam dunia pendidikan. Namun hari ini selepas melihat putar belit yang berlaku sehingga menyakitkan hati saya memikirkannya, akhirnya barulah dapat saya mengisi blog ini dengan berita yang sepatutnya. Saya yakin, pelajar-pelajar pintar ini pasti akan dapat mengharungi ujian hidup masing-masing.


Berita Pertama: Khabar Angin Keputusan SPM 19A untuk SPM 2006

BATU PAHAT: Nadiah Amirah Jamil, yang diuar-uarkan mencipta rekod baru dengan mencapai 19 A1 dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hanya memperolehi 14 A1, empat A2 dan satu B3.

Pelajar cemerlang dari SMK Tun Sardon telah pun menulis dua buku bagi merakamkan kejayaan yang digembar-gemburkan itu seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar baru-baru ini.

Buku pertama Diari Nadiah dijangka diterbitkan hujung bulan ini manakala buku kedua Meniti Kecemerlangan dijadual terbit pertengahan tahun ini

Papan pemidang yang mengucapkan tahniah atas "kejayaan 19 A1" Nadiah digantung di tiang-tiang lampu di sekitar pekan Rengit.

Tetapi apabila keputusan rasmi diumumkan di sekolahnya hari ini, Nadiah gagal memecah rekod sebelumnya 17 A1 yang dicipta oleh Nur Amalina Che Bakri dalam SPM 2004.

Nadiah gagal mendapat A dalam subjek Bahasa Inggeris dalam Sains dan Teknologi (EST), manakala empat subjek lagi sekadar A2: Biologi, Matematik Tambahan, Ekonomi dan Sastera.

Nadiah pada awalnya merancang mengambil dua lagi subjek -- lukisan teknikal dan seni -- menjadikan jumlah semuanya 21 tetapi tidak digalakkan oleh ibu bapanya.

Dia memperolehi A1 dalam subjek-subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik Moden, Fizik, Kimia, Sejarah, Pendidikan Islam, Prinsip Akaun, Perdagangan, Tasawur Islam, Pendidikan al-Quran dan Sunah, Pendidikan Syariah Islam, Sains Teras dan Geografi.

Nadiah berkata dia tidak berpuas hati dengan keputusan itu tetapi ia tidak akan mengecewakannya.

"Saya terima keputusan dengan reda. Yang penting, saya telah berusaha sedaya-upaya dalam SPM," katanya.

Ditanya prospek jualan bukunya akan terjejas dengan keputusan yang tidak memenuhi ramalan umum, Nadiah tidak menolak kemungkinan tersebut.

"Saya tidak fikir jualan buku-buku saya akan terjejas teruk. Buku-buku itu akan tetap diterbitkan. Kami harus mengambil risikonya," katanya.

Gadis 18 tahun ini merancang untuk menyambung pelajaran dalam bidang farmasi di United Kingdom dan telah memohon biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Seorang pelajar pintar sejak di sekolah rendah, Nadiah mencatatkan keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).


Berita Kedua: Khabar angin palsu berkaitan Nur Amalina

KUALA LUMPUR: “Itu semua khabar angin,” kata Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004, Nur Amalina Che Bakri, berhubung dakwaan beliau sudah tersingkir daripada pengajiannya di Cheltenham Ladies College (CLC), Gloucestershire di United Kingdom, baru-baru ini.

Amalina, 19, yang mencipta sejarah apabila memperoleh keputusan 17 A1 dalam peperiksaan itu berkata, pengajiannya di kolej berkenaan berjalan dengan baik dan program A-Level yang diikutinya dijangka selesai tahun ini.

“Jangan bimbang... itu (khabar angin) semua tidak betul. Saya masih belajar di CLC. Saya pun hairan bagaimana khabar angin ini boleh timbul. Namun, saya sedar ini semua resam bila jadi orang terkenal.

“Bila teringatkan khabar angin ini, saya ketawa sendiri. Tidak terfikir pun ada orang akan ambil berat pasal pengajian saya. Saya pun tidak ambil serius khabar angin ini. Tumpuan saya pada pengajian pun tidak terjejas,” katanya ketika dihubungi New Straits Times.

Selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2004, Amalina mendapat biasiswa Bank Negara untuk melanjutkan pengajian pada peringkat A-Level di CLC, selain dilantik sebagai Duta Pendidikan bagi akhbar sisipan Skor, Didik dan Minda Pelajar terbitan Berita Harian.

Katanya, sebaik saja menamatkan pengajiannya di CLC, beliau berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Cambridge, London atau Imperial College, Universiti Edinburgh dan Universiti Bristol.

Amalina, 19, yang mencipta sejarah apabila memperoleh keputusan 17 A1 dalam peperiksaan itu berkata, pengajiannya di kolej berkenaan berjalan dengan baik dan program A-Level yang diikutinya dijangka selesai tahun ini.

“Permohonan sudah pun saya hantar ke empat-empat universiti itu. Bagaimanapun, baru satu tawaran saya terima setakat ini, dari Universiti Bristol. Saya masih tunggu tawaran dari universiti lain sebelum buat keputusan pilih universiti mana,” katanya.

“Saya harap rekod itu dapat dipecahkan. Saya mahu lihat lebih ramai anak Malaysia mencatatkan keputusan cemerlang dalam pelajaran mereka, seterusnya mampu melahirkan sebuah bangsa yang berjaya,” katanya.



Berita Ketiga: Calon termuda 15 tahun dapat 16A1

Melisa Sia Yin Ying, walaupun baru sahaja mencapai usia 15 tahun, membuktikan usianya tidak menjadi penghalang bagi mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2006 dengan memperolehi 16 A1 dalam semua mata pelajaran yang didudukinya.

Melisa suka permainan komputer dan gemar mendengar muzik rock. Pelajar Sekolah Menengah Kian Kok dekat sini yang memulakan zaman persekolahannya pada usia empat tahun muncul sebagai pelajar SPM terbaik Sabah.

Anak seorang doktor, Dr Edward Sia Hock Nun, Melisa Sia memperoleh A1 dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Literature in English, Fizik, Kimia, Biologi, Sains, Pengetahuan Moral, Pendidikan Seni Visual, English For Science and Technology, Ekonomi Asas, Perdagangan, Matematik, Matematik Tambahan, Sejarah dan Geografi.

Malah jika keputusan A1 mata pelajaran Bahasa Inggeris 1119 diambil kira, Melisa Sia mendapat 17A1.

Ditanya mengenai rahsia kejayaannya, Melisa Sia berkata: "Saya memberi sepenuh perhatian terhadap pembelajaran di kelas dan mengulang kaji di rumah antara dua hingga tiga jam sehari."

Anak sulung dari tiga beradik itu yang sering lompat darjah semasa di sekolah rendah, berkata beliau belajar tanpa menggunakan jadual namun pada lumrahnya semua kerja rumah yang diberikan guru akan disiapkan semasa di sekolah lagi.

Bercita-cita untuk mengikut jejak langkah ayahnya untuk menjadi seorang doktor, Melisa Sia yang amat berminat terhadap permainan strategi di komputer dan gemar mendengar muzik rock kumpulan Nickel Back dari Kanada, berkata minatnya itu tidak langsung menjejaskan pencapaian akademik, malah membantu melapangkan pemikirannya.

Ayahnya Dr Edward Sia berkata pada mulanya hobi anaknya itu merisaukan kerana Melisa Sia suka bermain komputer kadang-kadang hingga jam 3 pagi namun selepas puas menasihatinya, beliau akur dengan minat anaknya itu asalkan ia tidak menjejaskan pelajaran.



HAKIKATNYA: PETUA dapat banyak A dalam peperiksaan. Solat hajat, baik sesama manusia

KOTA BHARU: Kejayaan Nur Amalina Che Bakri yang meraih A1 dalam semua 17 subjek yang diambilnya pada peperiksaan SPM 2004 lepas menjadi perangsang kepada dua pelajar negeri ini untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan mereka yang diumumkan hari ini.

Malah bagi Siti Fatimah Mukhtar, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMA) Maahad Muhammadi Perempuan beliau telah berjaya mendapat 17A1 dan 1A2, sementara Siti Aisyah Hussin, 17, dari SMK Ahmad Maher pula hanya berjaya mendapat 14 A1.

Siti Fatimah mendapat A1 dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Geografi, Matematik Tambahan, Prinsip Akaun, Ekonomi Asas, Fizik, Kimia, Biologi, Tasawwur Islam, Pendidikan al-Quran dan Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah dan English For Science and Technology (EST), dan A2 bagi mata pelajaran Bahasa Arab Tinggi.

Siti Aisyah pula mendapat A1 dalam semua mata pelajaran yang diambilnya iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan, Sejarah, Pendidikan Islam, English For Science and Technology (EST), Kimia, Fizik, Biologi, Seni Visual, Ekonomi Asas, Prinsip Akaun dan Tasawwur Islam.

Siti Fatimah semasa ditemui di sekolahnya berkata kejayaannya itu membuktikan pelajar aliran agama juga mampu mendapat keputusan yang baik jika disertakan dengan usaha yang gigih.

"Mungkin orang ramai beranggapan aliran agama ini agak susah namun saya buktikan ia tidak sukar jika kita inginkan kejayaan," kata anak ketujuh daripada lapan beradik itu.

Beliau berkata ketika pertama kali melihat keputusan Nur Amalina hatinya nekad untuk mencapai kejayaan yang serupa bahkan mungkin lebih baik daripada itu.

"Alhamdulillah saya mampu lakukan walaupun pada mulanya keluarga agak bimbang, takut saya tidak mampu belajar sebanyak itu," katanya yang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Ireland atau Jordan.

Beliau yang sentiasa memberi penumpuan semasa pembelajaran dalam kelas serta mengambil kelas tambahan untuk subjek yang sukar berkata: "Apa yang penting saya mendekatkan diri kepada Allah, selalu solat hajat dan jalinkan hubungan baik sesama manusia, insya Allah kejayaan akan jadi milik kita."

Sementara itu bagi Siti Aisyah yang juga bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di United Kingdom berkata beliau lebih suka memberi fokus terhadap apa yang hendak dilakukan berbanding mengikut jadual harian.

"Saya mengulang kaji seperti biasa dan turut aktif dalam sukan terutamanya bola keranjang tetapi saya sentiasa meletakkan sasaran apa yang perlu dilakukan bagi setiap subjek untuk meningkatkan pemahaman," katanya


BERITA SELANJUTNYA:

Siti Fatimah Mukhtar, pelajar Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Perempuan, mendapat 18A, iaitu 17 A1 dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pengajian Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Geografi, Matematik Tambahan, Prinsip Akaun, Ekonomi Asas, Fizik, Kimia, Biologi, Tasawwur Islam, Pendidikan Al-Quran dan Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah dan English for Science and Technology (EST) dan 2A2 untuk subjek Bahasa Arab.

Siti Fatimah Mukhtar ditawarkan biasiswa RM250,000 bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Tawaran Kerajaan Negeri Kelantan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, Nik Mohd Amar Nik Abdullah, yang menemui pelajar itu di sekolah berkenaan, semalam.

Siti Fatimah berkata, beliau menerima biasiswa itu untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Asia Barat kerana memang berminat mendalami bidang perubatan di sana.

Nik Mohd Amar berkata, Siti Fatimah yang juga anak ketujuh daripada lapan beradik dianggap pelajar terbaik negara oleh kerajaan negeri, layak menerima biasiswa melanjutkan pengajian dalam bidang itu.“Kerajaan negeri meluluskan biasiswa untuk Siti Fatimah kerana beliau melakar sejarah kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) memperoleh 18 A."

“Kita mencadangkan Asia Barat kerana Siti Fatimah berlatar belakang pendidikan agama dan tahfiz. Selain perubatan, beliau boleh mendalami Bahasa Arab serta menghabiskan tahfiz al-Quran,” katanya.

NOTA AMIENE REV: SAYA MEMASUKKAN BERITA INI PADA 22 MAC 2007. HATI SAYA TIDAK TENTERAM DENGAN LAPORAN BERITA SEBELUM INI BERKAITAN KEPUTUSAN 19A. Sekarang saya faham kenapa hati saya tidak tenteram, rupa-rupanya kerana ada kebenaran yang tidak dipaparkan. Sekarang kebenaran itu sudah ada. Ini, cuma firasat seorang pendidik... barangkali...

Ditulis semula berdasarkan gabungan sumber-sumber berikut:
www.bharian.com.my, utusan.com.my, kelatedaiy.net, mstar.com.my, BERNAMA