KITAB: Kematian dan RM300
Aku berdiri di depan bilik penasihat PMP. Kalau sudah mendapat kelulusan penasihat, baru boleh mendapat kelulusan HEP. Juga, masalah untuk mendapat tapak program akan terhapus sama sekali. Satu-satu keperluan yang belum ada untuk melaksanakan KITAB ialah tapak program. Tenaga pengajar sudah ada. Peralatan pula sudah agak mencukupi. Tabung sokongan pula boleh diwujudkan, malah tidak akan jadi satu masalah jika program ini mendapat peruntukan daripada HEP.
Aku berdiri di depan bilik penasihat. Penasihat tidak menghubungi aku seperti yang dijanjikannya. Pasti, sudah berlaku sesuatu krisis. Kemudian kedengaran bunyi kasut berkletak kletuk. Datang seorang pensyarah yang lain.
"Dia tidak ada hari ini."
"Hmmm...? Dia ke mana?
"Ibu mertuanya meninggal dunia." Pensyarah itu menyelitkan satu sampul surat ke bawah pintu.
Ya. Kadangkala, kematian selalunya akan menjadi penghalang dan penamat dalam sesuatu perkara. Aku mengambil keputusan untuk tidak membincangkan hal ini dengan penasihat buat sementara waktu. Barangkali dalam tempoh tujuh hari ini, tidak akan ada apa-apa perbincangan berkaitan ini dengan penasihat tersebut.
Aku berjalan perlahan-lahan. Badanku agak lemah. Sebab aku hanya menjamu mi segera sahaja sejak beberapa hari ini. Ada sedikit masalah kewangan. Ada sebabnya berlaku masalah tersebut. Ya, seterusnya ke mana harus aku pergi?
Tahun Baru Cina sudah hampir. Ak berhajat untuk pergi ke sebuah pusat membeli belah. Biasanya ketika ini pusat membeli belah tersebut memerlukan pekerja tambahan. Boleh aku dapatkan jumlah RM300 yang aku mahukan dalam tempoh yang singkat itu. Aku perlukan RM300 untuk membayar yuran asrama bagi bulan April dan Mac. Jadi wang tersebut harus ada selewat-lewatnya pada akhir bulan April 2007.
Namun badanku meminta aku makan. Sudah puas menjamu mi segera dan kismis. Juga milo. Aku pergi ke medan berdekatan. Ternampak dua orang rakan aku. Dah lama tak bertemu, aku sibuk juga dalam seminggu dua ini.
Dia mengajak aku menyertai mereka.
"Mahu minum apa?"
"Tidak. Aku tidak mahu minum."
"Pesanlah apa-apa air, aku belanja," kata kawanku ini.
Aku diam. Lalu aku bertanya bagaimana pekerjaannya sekarang. Kepada seorang rakan aku yang lain juga. Kami berbual-bual. Melihat aku belum mengambil apa-apa tindakan untuk memesan air minum, dia pergi sendiri ke kaunter minum dan memesan air Milo ais. Lalu dia membawa gelas air tersebut dan meletakkan di atas meja, di hadapan aku. Nampaknya aku tak boleh menolak lagi. Air sudah ada di depan mata, dan sudah pun dibayar harganya.
Kemudian dia memberitahu aku, dia ingin mengupah aku membantunya dalam penulisan akademik. Aku menolak. Lalu dia katakan, dia akan memberi upah sebanyak RM300. Oh, kebetulan pula aku memerlukan nilai sebanyak itu. Aku katakan, semester ini aku agak sibuk dan mungkin hasil pekerjaan aku nanti agak mengecewakan, jadi aku menolak lagi.
"Tak apa. Tak kisah."
"Bagaimana kalau kau tak sempat siap?"
"Aku bayar RM300." Katanya lagi.
"Baiklah, tapi kalau kau tak siap, tak payah bayar." Jawabku. Aku memang segan untuk menerima wang kalau hasil kerja aku tidak memuaskan. Tiba-tiba aku teringatkan seorang pensyarah aku.
"Tak apa. Tak siap pun aku bayar RM300." Aku tidak berapa setuju. Fikiran aku terimbas kembali kepada seorang pensyarah. Aku sebenarnya agak tidak bersetuju dengan tindakan pensyarah tersebut, menyiarkan hasil kerja aku tanpa ada kredit nama aku. Bukan soal nama atau untuk membangga diri, tetapi tindakan pensyarah tersebut boleh menutup periuk nasi seseorang. Katakan kalau ada orang luar yang tertarik dengan hasil kerja kita dan ingin mengupah kita, bagaimana? Pensyarah itu pula seorang yang sangat-sangat sibuk.
Perbincangan mengenai upah tersebut ditamatkan. Kami berborak-borak. Tiba-tiba datang seorang lagi kawan aku, seorang wanita, seorang guru yang menyambung pengajian dalam bidang Sarjana Matematik.
"Eh, Amien. Lama tak nampak?" Melihat kami bertiga lelaki, dia pun duduk di satu sudut meja yang lain. Kebiasaannya jika dia menemui aku keseorangan, dia akan duduk bersama aku sambil berborak-borak.
Daripadanya, aku mengetahui seorang rakanku akan berkahwin. Di Melaka, pada bulan Mac ini. Oh, sudah pasti ada kad jemputan yang akan sampai di rumah, dan aku pula tidak ada di rumah.
Ya, pertemuan dengan kawan-kawan, pada saat ini, sekurang-kurangnya dapat melegakan sedikit rasa terkilan. Kematian ibu mertua penasihat tersebut adalah perkara yang tidak diduga.
Kata-kata yang popular, manusia hanya merancang dan yang menentukannya hanya Tuhan.