BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, November 17, 2012

Ulasan Filem Istanbul Aku Datang

Ulasan Ringkas Filem Istanbul Aku Datang
Persepsi Amiene Rev (C) 2012

Filem Istanbul Aku Datang sememangnya sebuah filem yang boleh dikatakan memiliki teladan-teladan tertentu dalam dunia percintaan. Adakalanya ada babak-babak dalam filem ini seolah-olah memperlihatkan bahawa Malaysia bukan negara seIslam Turki menerusi beberapa dialog tertentu.

Filem Istanbul Aku Datang mengisahkan Dian, yang mahu mengunjungi bakal tunangnya Azad yang sedang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Istanbul. Dian memutuskan untuk mengambil kursus pendek dalam pengajian bahasa Turki untuk mendekatkan dirinya dengan Azad. Tanpa disedari cadangan Azad supaya Dian jangan datang ke Istandbul selama ini sebenarnya mempunyai rahsia tertentu yang menggemparkan.

Menerusi Filem Istanbul Aku Datang, banyak pengajaran dan pengalaman baru yang diperolehi oleh Dian sepanjang beliau berada di Istanbul. Antaranya ditipu oleh orang Turki, tersalah tafsir atau menilai orang, kesusahan mencari rumah dan sebagainya.

Kedatangan Dian ke Istanbul ada baik dan buruknya di mana Dian mula mempelajari erti kesetiaan dalam percintaan.

Jalan cerita Filem Istanbul Aku Datang adalah menarik, santai dan kelakar. Selain itu pemandangan di Istanbul yang sangat cantik juga menceriakan lagi jalan filem ini.


LAPORAN BERITA: FILEM ISTANBUL AKU DATANG
SUMBER: BERITA HARIAN


FILEM Istanbul Aku Datang memperoleh kutipan RM1 juta bagi empat hari tayangan bermula 8 November lalu.

Perkembangan ini menunjukkan tanda positif bahawa industri perfileman tanah air makin pulih. Ketika ramai produser filem berhadapan risiko karya mengalami kerugian, filem terbitan Primeworks Studios ini mendapat sambutan.

Meskipun menerima komen beberapa pelakon dari latar belakang penyanyi gagal memuaskan hati penonton, namun kekuatan Istanbul Aku Datang masih dilihat dari sudut jalan cerita dengan dibantu pelakon berpengalaman.

Alhamdulillah, memang tidak dijangka filem ini terus menunjukkan peningkatan positif bagi minggu pertama, malah memberangsangkan dari segi jualan tiket," Tengku Iesta Tengku Alaudin, Pengurus Besar Unit Filem dan Drama Primeworks Studios

Pengurus Besar Unit Filem dan Drama Primeworks Studios, Tengku Iesta Tengku Alaudin berkata, pihaknya sentiasa berharap industri perfileman tempatan kembali subur dengan sambutan yang baik di pawagam sekarang.

“Alhamdulillah, memang tidak dijangka filem ini terus menunjukkan peningkatan positif bagi minggu pertama malah memberangsangkan dari segi jualan tiket.

“Dalam situasi semua produser hari ini melalui perasaan berdebar-berdebar ketika filem mereka berada di pawagam, kami mampu menarik nafas lega.

“Tidak dinafikan filem ini terus mendapat pujian kerana jalan cerita yang berbeza. Selain itu, beberapa pelakon seperti Lisa Surihani dan Beto antara pelakon yang berjaya mengimbangi keseluruhan jalan cerita,” katanya yang dihubungi HIP, semalam.

Promosi melalui radio kampus

Menurut Iesta, pihaknya tidak berdepan masalah dengan sambutan penonton di bandar yang rata-ratanya merasai filem ini dekat dengan hati mereka terutama golongan remaja. Namun, situasi itu tidak dilihat di kalangan penonton luar bandar.

“Kawasan bandar besar seperti sekitar Lembah Klang, Melaka, Seremban, Johor Bahru dan Pahang menjadi lokasi yang mencatat penonton yang ramai. Namun, masih perlu ditingkatkan dari segi promosi untuk pawagam di luar bandar.

“Semuanya sudah diatur sejak minggu ini di mana kita bekerjasama dengan semua institusi pengajian tinggi (IPT) melalu radio kampus. Selain itu, promosi menggunakan medium elektronik akan terus dipergiatkan,” katanya.

Selain Lisa Surihani dan Beto Kusyairy, filem arahan Bernard Chauly dari genre romantik komedi ini mendapat sokongan kuat daripada pelakon seperti Tomok dan Aizat. Filem ini melakukan penggambaran di Istanbul, Turki.

ULASAN DARIPADA BERITA HARIAN MENGENAI FILEM ISTANBUL AKU DATANG

INFO: Istanbul Aku Datang
− Pengarah: Bernard Chauly
− Pelakon: Lisa Surihani, Beto Kusyairy, Tomok dan Aizat
− Genre: Komedi Romantik− Mula Tayangan: 8 November 2012

Sinonim dengan produksi ringan keremajaan, garapan terbaru Bernard Chauly, Istanbul Aku Datang memperlihatkan keselesaannya untuk mempertahankan identiti itu.

Filem ini menyaksikan Bernard kembali berkolaborasi dengan Rafidah Abdullah yang bertanggung jawab menulis skrip untuk dua garapannya terdahulu, Gol & Gincu dan Pisau Cukur. Bernard bertuah kerana dipertemukan Rafidah yang sentiasa berani untuk memberikan sesuatu yang segar dalam produksi filem tempatan.

Sama seperti dua filem arahannya yang terdahulu, Istanbul Aku Datang masih berlegar kepada pengisian ringan tetapi digarap kemas dengan susunan plot mengesankan.

Risiko besar

Barangkali Rafidah enggan mengambil risiko besar apabila selesa memilih naratif yang dekat dengan kelompok sasaran di pawagam.

Justeru, mengangkat tema percintaan remaja yang sarat warna menjadi pilihan terbaik untuk menggerakkan Istanbul Aku Datang. Meskipun dilihat sedikit klise, cerita filem ini tetap memiliki keistimewaan tersendiri untuk berada dalam kelompok filem yang wajar ditonton.

Skrip filem ini diolah dengan susunan plot kemas dan diterjemahkan Bernard dalam visual yang bakal menyita perhatian khalayak.

Penyatuan idea mereka juga menghadirkan filem yang mengheret emosi penonton untuk menyelami keindahan, kemanisan dan tangisan dalam mencari kebahagiaan.

Dibantu sinematografi indah yang mengambil latar Istanbul sebagai lokasi keseluruhan produksi, filem ini mengumpan penonton dengan jalan cerita ringkas tetapi mengesankan. Sering bekerjasama barangkali memudahkan Rafidah untuk mencungkil lagi kekuatan Bernard dalam menggerakkan jalan cerita filem terbitan bersama Grand Brilliance dan Red Films ini.

Tanpa perlu melemaskan penonton dengan plot menyesakkan, Istanbul Aku Datang membawa khalayak berlari dengan memusatkan kepada tiga pemain utama. Dibuka dengan Dian lakonan Lisa Surihani, seorang blogger yang tiba di Istanbul untuk bertemu kekasihnya, Azad (lakonan Tomok), penonton seterusnya disajikan dengan jalan cerita yang mengasyikkan.

Selami emosi

Perjalanan plot Istanbul Aku Datang tanpa membebankan khalayak untuk meneka apa seterusnya akan berlaku. Penonton dibawa berlari perlahan-lahan untuk menyelami emosi setiap pemainnya, lalu membongkar satu persatu tanda tanya di sebalik setiap permasalahan yang membangkitkan konflik.

Memiliki segala ramuan untuk diangkat sebagai filem komedi romantik tempatan terbaik, Istanbul Aku Datang juga diperkemaskan dengan keserasian setiap pemain utamanya. Malah, kehadiran watak pembantu dimainkan Aizat turut membantu menambah kekuatan filem ini.

Tidak keterlaluan dikatakan Istanbul Aku Datang adalah antara lakonan terbaik Lisa setakat ini. Watak Dian menuntutnya bermain emosi pelbagai ditanganinya dengan baik. Bernard berjaya mengawal lakonan Lisa, malah setiap emosi yang dituntut oleh watak Dian dilunaskan tanpa perlu berlebihan tetapi meninggalkan kesan.

Keserasian Lisa dan Tomok juga menyerlah biarpun itu adalah kali pertama mereka dipertemukan di layar perak. Tomok berjaya mencipta misteri dalam karakter Azad yang membuat penonton terjerat dalam misteri yang cuba dicipta Rafidah. Biarpun masih mentah, Tomok tidak canggung beraksi di depan kamera. Watak Azad dilunaskan dengan baik tanpa penonton menghidu muslihat di sebalik tindak tanduknya.

Kehebatan Beto untuk menguasai watak Harris tidak perlu disangkal. Sebagai pelakon berpengalaman, Harris di tangan Beto menghadirkan sejuta misteri untuk dicari jawapannya. Lontaran emosi Beto membantu memberi tenaga kepada perjalanan Istanbul Aku Datang. Keserasiannya dengan Lisa dan Tomok memancarkan aura dirinya sebagai pelakon yang jujur dan semula jadi.

Sinopsis Filem Istanbul Aku Datang

Filem ini berkisar Dian yang mengejutkan teman lelakinya, Azad pelajar jurusan perubatan dengan kehadirannya di Istanbul, Turki. Dia bertekad mengambil kursus pendek di sana di samping merancang pelbagai taktik bagi meyakinkan Azad untuk melamarnya sebelum pulang ke tanah air. Namun perancangan itu terkandas apabila Azad meminta Dian menyewa rumah sendiri. Dian mencekalkan diri dan mendapat bantuan seorang lelaki Turki untuk menyewa sebuah bilik. Bagaimanapun, kediaman itu sudah mempunyai penyewa iaitu, Harris seorang pelukis yang agak pendiam. Dian ditipu, wangnya dilarikan dan kini terpaksa berkongsi rumah dengan Harris.