BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, November 27, 2012

Dasar keluar caruman KWSP kekal

KWSP belum naikkan usia had pengeluaran caruman
Kuala Lumpur: Dasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pencarum mengeluarkan semua simpanan saraan pada umur 55 tahun kekal buat masa ini.

Selaras usia persaraan baru

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai, berkata pelbagai cadangan untuk menaikkan umur bagi pengeluaran penuh sebelum ini adalah selaras dengan pelaksanaan umur persaraan minimum pada usia 60 tahun.

“Ini adalah selepas Akta Umur Persaraan Minimum 2012 sudah diluluskan Dewan Rakyat pada 27 Jun lalu dan dibentangkan di Dewan Negara pada 16 Julai lalu.

“Oleh kerana Skim KWSP adalah suatu skim simpanan untuk persaraan pekerja, maka saya kira wajar pengeluaran caruman selaras dengan umur persaraan 60 tahun kerana tujuannya untuk memastikan ahli mempunyai lebih banyak simpanan untuk perbelanjaan dan tanggungan sara hidup apabila tidak bekerja,” katanya menjawab soalan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu).

Idris ingin mengetahui sama ada kerajaan akan melaksanakan peraturan pengeluaran KWSP keseluruhan pada usia 60 tahun berbanding usia persaraan 55 tahun dan apakah rasional kerajaan memperkenalkan usia pengeluaran pada usia 60 tahun.